Honda Civic Tourer: Made in Britain!

Honda Civic Tourer 2013.06

Civic merupakan antara model paling laris Honda sejak berpuluh tahun dahulu. Model itu dijual di serata dunia sama ada di Amerika, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Asia. Civic merupakan model global dan lazimnya seperti model-model lain antaranya Accord, CR-V dan Jazz kesemua pasaran akan menerima model yang sama tetapi dengan berbeza aksesori. Walau bagaimanapun stratergi produk untuk Civic tidak sama apabila model Eropah langsung berbeza dengan pasaran lain.

Di Eropah mereka menerima model hatch back dengan rekaan yang jauh berbeza daripada Civic sedan di pasaran lain. Melebarkan lagi jurang pasaran Eropah dengan benua lain ialah varian Civic paling baharu iaitu Civic Tourer yang dikongsi kepada umum pada September lepas dan akan mula dijual pada awal tahun depan. Model itu dibangun dan direkabentuk di Eropah oleh tenaga kerja penyelidikan dan pembangunan (P&P) Honda Eropah dan turut akan diproduksikan di kilang Honda di Swindon, United Kingdom yang turut memasang CR-V dan Jazz.

Honda Civic Tourer 2013.05

“Saya begitu bangga dengan rekabentuk luaran Civic Tourer yang sporty, kemas dan dinamik yang mana tidak menampakkan sifat dalamannya yang pelbagai fungsi dan versatil. Untuk mengeluarkan sesuatu keistimewaan daripada kereta kompak, perekabentuk akan menggunakan ruang kabin yang ada dengan sebaik mungkin yang kebiasaannya akan menjejaskan rekabentuk. Oleh kerana platform Civic yang pintar, para perekabentuk mempunyai kebebasan untuk mengoptimumkan pakej yang diberi. Hasilnya ialah kereta yang mempunyai pengaruh kereta sport. Untuk saya, kekuatan kereta ini ialah terletak pada sinergi di antara kebolehgunaan, versatil dan eksperinya” kata Adrian Killham, Ketua Projek Civic Tourer.

Honda Civic Tourer 2013.07

Rekabentuk luaran Civic Tourer nampak kemas dan sporty, penggayaannya dipengaruhi oleh garisan keras yang bersambung dari tiang A hinggalah ke tiang D yang seolah-olah seperti garisan bumbung yang terapung. Cermin sukuan belakang pula turut menutupi tiang D manakala bingkai bonet belakang pula dinaikkan kepada 17mm berbanding Civic hatchback bagi menampakkan garisan yang menonjol. Civic Tourer menggunakan teknik yang sama dengan Civic hatchback yang mempunyai tangki minyak di bahagian tengah kereta. Tangki tersebut dipasangkan dibawah kerusi hadapan yang membolehkan saiz interior menjadi luas dan kerusi boleh lipat ke atas yang dipanggil Magic Seats. Luas ruang kargonya dikatakan boleh memuatkan dua basikal bukit bersaiz penuh atau tiga beg Samsonite bersaiz besar. Angka saiznya ialah (lantai ke bumbung) 624 liter dan meningkat kepada 1668 liter jika kerusi belakang direbahkan.

Honda Civic Tourer 2013.03

Untuk penjanaan kuasa, Civic Tourer dibekalkan dengan dua opsyen enjin iaitu 1.6 i-DTEC daripada famili Earth Dreams Technology atau 1.8 i-VTEC yang dipadankan sama ada dengan transmisi manual atau automatik. Enjin i-DTEC diesel mula sekali dipasangkan Civic hatchback dan kemudian pada C-RV. Enjin tersebut merupakan siri pertama enjin Earth Dreams Technology yang diperkenalkan di Eropah. Falsafah disebalik teknologi tersebut ialah untuk mengimbangkan di antara kuasa dan penjimatan bahan api yang juga sesuai untuk imej Civic Tourer. Komponen enjin 1.6 i-DTEC terdiri daripada penutup silinder dan blok aluminium yang merupakan enjin diesel paling ringan di dalam kelasnya. Geseran mekanikal telah dikurangkan yang menjadikannya setara dengan enjin petrol. Kesemua peralatan yang berputar telah dioptimumkan untuk mengurangkan geseran yang membolehkan penggunaan bahan api dijimatkan dan pada masa yang sama seronok untuk dipandu. Harus tahu enjin 1.6 i-DTEC sebenarnya direka khusus untuk pasaran Eropah.

Civic Tourer turut menggunakan Adaptive Damper System (ADS) yang inovatif. Penggunaan rear adaptive system adalah yang pertama kali diperkenalkan pada kereta produksi dan ianya mempunyai tiga talaan iaitu Comfort, Normal dan Dynamic yang mana kesemuanya dibangunkan untuk memberikan lebih kestabilan dan keselesaan di dalam pelbagai muatan dan keadaan pemanduan. Hasilnya Civic Tourer tetap selesa sewaktu meluncur di lebuh raya dan pada masa yang sama tegar dan lincah apabila dipandu di dalam keadaan pengendalian yang berprestasi.

Honda Civic Tourer 2013.01

Jika diikutkan nampak seperti pasaran di Eropah lebih bertuah dengan model yang secantik ini di tambah pula dengan enjin diesel yang menjimatkan. Sebenarnya di negara kita tidaklah asing sangat dengan Civic Eropah kerana banyak pengimport kenderaan terpakai membawa masuk Accord Euro R dan Civic Type R Euro. Tidak salah rasanya jika saya kata Malaysia adalah syurga Type R memandangkan Honda Malaysia turut mengimport masuk Civic Type R dari Jepun dan Malaysia adalah pengimport rasmi pertama model itu di dunia. Kesemua model Type R cantik dan dan dengan sikap rakyat negara kita yang terbuka tiada masalah rasanya untuk Civic Tourer ini dijual di dalam pasaran tempatan. Lihat sahaja bagaimana Toyota Caldina begitu banyak terjual beberapa tahun lepas. Dengar kata Honda juga sedang giat membangunkan Civic Euro Type R baharu dan jika pengimport turut membawa model itu maka layaklah negara kita dipanggil Civic Land! (Maka tinggal lah Evo Land di dalam kenangan).

Newspress

@muhd_gt

Muhammad

3 Comments

  1. pergh..sumpah lawa..tp tgok lame2 cm estima+wish+stream+odyssey pn ye..papepun,gua ttap stia mnunggu honda crosstour msuk mlaysia..kapan harus kutunggu..

Kata Anda//