Honda Civic Baharu (Gen-10) Kini Dibuka Untuk Tempahan – 1.5 VTEC Turbo!

Honda Civic AS 2015.01

Setelah dilancarkan di berapa pasaran dunia termasuk di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia, Honda Civic baharu (Gen-10) akhirnya ditawarkan di Malaysia. Honda Malaysia telah membuka tempahan untuk model serba baharu yang akan dilancarkan pada sukuan kedua tahun ini. Model itu dikatakan bakal menjadi pengubah permainan dengan pelbagai ciri baharu untuk segmen C dan kelas di atasnya. Honda sendiri percaya bahawa Civic generasi kesepuluh adalah model terbaik pernah dibina sejak pelancaran kereta lagenda itu pada tahun 1972. Untuk rekod, sejak 2001, Honda Malaysia telah berjaya menjual sebanyak 81,013 unit sehingga Mac lepas.

Honda Civic AS 2015.05

Di antara keunikan Honda Civic baharu ialah rekabentuk yang baharu sama sekali. Permukaannya lebih atletik dengan bonet depan yang lebih panjang menampakkan bentuk ala fastback. Pertama kali di Malaysia, Honda Civic didatangkan dengan lampu utama LED penuh yang digabungkan dengan DRL LED untuk suluhan yang lebih jelas. Selain daripada itu, Civic baharu juga lebih rendah dan lebar berbanding model lama. Tiang A juga direka semula dengan bentuk yang lebih nipis bagi membolehkan visual pemandu lebih jelas dan tidak terhalang terutama sekali sewaktu melalui selekoh.

Honda Civic AS 2015.02

Selain daripada rekabentuk yang revolusi, perubahan yang signifikan ialah pengenalan enjin 1.5L VTEC Pengecas Turbo dari barisan teknologi Earth Dreams Honda. Enjin VTEC Turbo itu berkuasa 173PS dengan tork 220Nm yang bersamaan prestasi kuasa enjin 2.4L. Enjin tersebut juga didatangkan dengan teknologi sistem pancitan kuasa terus. Dipadankan dengan enjin baharu ialah trasmisi CVT untuk pemanduan yang menyeronokkan tanpa penggunaan minyak yang besar. Selain 1.5 VTEC Turbo, Honda turut menawarkan enjin 1.8L i-VTEC berkuasa 141PS dengan tork 174Nm yang turut juga dipadankan dengan transmisi CVT. Versi 1.5L Turbo didatangkan dengan roda aloi 17 inci manakala model 1.8L bersaiz 16 inci.

Teknologi lain pada Civic baharu adalah seperti berikut:

  • Remote Engine Start – Ciri ini membolehkan pemandu menghidupkan enjin di dalam radius 40 meter dari jarak kereta hanya dengan sentuhan butang pada kunci. Ciri ini membolehkan penyaman udara dihidupkan terlebih dahulu sebelum memasuki kereta. Kereta dibawa lari? Usah risau kerana walaupun kereta dihidupkan, kereta berkunci.
  • Walk Away Auto Lock – Civic akan terkunci sendiri apabila lokasi pemandu melepasi radius 2.5 meter.
  • Electric Parking Brake – Tiada lagi brek tangan konvensional yang perlu ditarik atau diletakkan. Teknologi itu digantikan dengan butang elektronik di sebelah tuil gear.
  • Kerusi Boleh Laras Elektrik 8 Arah
  • Brake Hold
  • 6 Beg Udara, VSA, HSA, Emergency Stop Signal (ESS) dan ISOFIX

Kepada yang berminat untuk melihat secara fizikal, Honda Civic baharu ini bakal dipamerkan di pameran My Auto Fest 2016 yang berlangsung dari 20 hingga 22 Mei di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC).

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.