Honda Civic 2016 Dilancarkan Di Amerika Syarikat – Rekabentuk Fastback Dengan Enjin 1.5 Turbo!

Honda Civic AS 2015.01

Setelah lama gambar risikan Honda Civic 2016 tersebar di alam maya, model global yang dinanti itu akhirnya dilancarkan secara rasmi melalui siaran langsung di YouTube pada awal pagi Khamis. Civic generasi kesepuluh itu tampil dramatik dengan rekabentuk fastback dan lebih sporty. Civic 2016 direka baharu sepenuhnya untuk mengembalikan karakter sporty Civic dan menetapkan tanda aras baharu daripada segi keseronokan pemanduan, keselamatan, kecekapan bahan api dan perincian tersendiri.

Daripada segi ukuran di antara Civic generasi kesembilan, Civic 2016 lebih lebar sebanyak 2 inci, seinci lebih rendah dan 1.2 inci lebih panjang di antara roda depan dan belakang (wheelbase). Hasilnya boleh dilihat melalui bahagian bonet depan yang lebih panjang, agresif, dinamik dan gayaan belakang fastback ala Audi. Pengaruh rekaan Eropah diteruskan melalui bumbung dan bahagian belakang yang sleek dan mendap ke bawah selain daripada arca roda yang mengembang. Rekaan lampu belakang juga agresif manakala lampu utama tampak moden dengan nyalaan LED.

Honda Civic AS 2015.04

Model utama Honda itu bukan sahaja dibekalkan dengan rekabentuk yang segar malah dilengkapi dua pilihan enjin baharu bersesaran 2.0 liter dan 1.5 liter turbo. Untuk pasaran AS, Enjin 2.0 DOHC i-VTEC dipadankan sama ada dengan transmisi 6 kelajuan manual atau CVT manakala opsyen enjin 1.5 turbo pula dipadankan dengan transmisi CVT.

Ciri-ciri keselamatan Civic 2016 juga canggih melalui teknologi Honda Sensing yang terdiri daripada Collision Mitigation Braking, Road Departure Mitigation dan pertama kali untuk Honda iaitu Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow yang memberi penanda aras baharu untuk pesaing sekelasnya.

Honda Civic AS 2015.02

Honda Civic 2016 adalah model pertama di AS yang mempunyai pelbagai jenis gayaan badan iaitu sedan, coupe, model berprestasi (Si), hatchback 5 pintu dan paling mengujakan Civic Type-R yang merupakan barisan paling lengkap sepanjang 43 tahun sejarah Civic.

Untuk pasaran tempatan pula, sesebuah model lazimnya akan mula dipasarkan di antara 12 hingga 18 bulan selepas pelancaran perdana. Untuk rekod, Honda Civic generasi kesembilan dilancarkan di pasaran tempatan pada Julai 2012.

 

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.