Honda City rupa baharu (facelift) dibuka untuk tempahan – Pelancaran pada S1 2017

Honda City Malaysia Facelift 2017

  • Honda City rupa baharu (facelift) dibuka untuk tempahan
  • Pelancaran pada suku pertama 2017
  • Lampu utama LED dengan DRL LED untuk City gred V

Selepas dilancarkan di Thailand pada Januari 2017, Honda Malaysia kini membuka tempahan Honda City facelift yang bakal dilancarkan di pasaran tempatan pada suku pertama 2017.

City generasi keempat itu dilancarkan pada Mac 2014 dan merupakan model terlaris Honda Malaysia dan pendahulu kereta segmen B dengan jualan melebihi 100,000 unit .

Pembaharuan pada Honda City Facelift

Nadi kuasa Honda City facelift masih sama seperti sebelum ini iaitu 1.5L i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi CVT untuk pemanduan seimbang di antara prestasi dan penjimatan.

Perubahan pada Honda City facelift lebih kepada estetik seperti varian V yang dilengkapi lampu utama dengan DRL dan lampu kabus yang kesemuanya dicahayakan oleh lampu LED.

Turut baharu ialah spoiler ‘duck tail’ juga dengan lampu brek LED. Roda aluminium juga baharu dengan warna dua tona.

Lampu belakang LED dan kamera undur pelbagai sudut pula menyegarkan lagi imej City facelift dan menambah lagi praktikaliti kereta sedan ini.

Kini standard untuk kesemua varian ialah butang penghidup enjin (push start) dan kemasukan pintar (smart entry) buat kemudahan pengguna.

Saiz but belakang pada 536L adalah terbesar dalam kelasnya dan berpadanan untuk keperluan pemandu dan penumpang dalam perjalanan jauh.

Ciri keselamatan – VSA, HSA dan ESS untuk kesemua varian

City terus mengekalkan penanda arasnya dalam kelengkapan sistem keselamatan kereta segmen B.

Varian V yang merupakan paling premium dilengkapi dengan enam beg udara.

Kesemua varian Honda City facelift dipasangkan Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS). Berikut ialah fungsi terminologi sistem keselamatan tersebut:

VSA – mengurangkan under steer atau over steer semasa kecemasan atau selekoh tajam.

HSA – menahan kereta dari tergelongsor ke belakang apabila brek dilepaskan dalam keadaan curam.

ESS – mengaktifkan lampu brek ketiga dan kecemasan kepada kenderaan berdekatan apabila kereta dibrek secara mengejut.

Honda City facelift bakal dilancarkan pada sukuan pertama tahun ini atau selewatnya pada Mac depan.

Berikut ialah tiga gambar Honda City Facelift versi Thailand yang dilancarkan pada Januari 2017:

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.