HONDA CITY 2017 DILANCARKAN DI THAILAND – RM69K HINGGA RM95K

Honda City Facelift 2017.01

Honda City generasi keempat merupakan antara produk laku keras Honda yang mencatat jualan memberangsangkan di Malaysia dan negara Asia Tenggara lain. Model itu menawarkan pakejing lengkap yang terdiri dari saiz dan ruang, prestasi enjin, harga dan sistem keselamatan.

Setelah dilancarkan pada tahun 2014, model popular itu kini menerima beberapa kemasan baharu pada bahagian luar dan dalam kereta. Honda telah melancarkan City facelift di ibu kota Thailand, Bangkok pada Khamis, 12 Januari 2017 yang merupakan lokasi pertama sebelum ke negara Asean lain.

Luaran

Honda City 2017 lengkap dengan lampu DRL LED untuk kesemua varian. Dari depan, jelas kelihatan pengaruh Honda Civic baharu dan nampak lebih moden dengan penggunaan lampu LED pada lampu utama dan kabus. Kemaskini lain ialah jeriji krom, bampar depan dan belakang baharu dan roda aluminium dwi tona.

Honda City Facelift 2017.03

Dalaman

Warna pada konsol gear dan papan pemuka kini digantikan dengan gun metallic yang memberikan efek gelap pada dalaman kereta. Balutan kerusi juga turut ditukar dan menerima corak baharu. Teknologi lampu LED tidak terhad pada luaran sahaja dan diguna pakai pada Lampu Penunjuk dan Interior. Skrin pula mempunyai paparan sesentuh yang boleh disambungkan tanpa wayar ke telefon pintar melalui Bluetooth. Sistem audio boleh menerima operasi Android dan iOS telefon pintar.

Peralatan lain ialah Paddle Shift 7 kelajuan, Suiz Kawalan Audio dengan butang untuk menerima dan menamatkan panggilan, Eco-Coaching, One-Push Ignition System dan Honda Smart Key System.

Enjin dan Transmisi

Berbeza dengan Toyota Vios facelift yang dibekalkan nadi kuasa baharu, enjin City 2017 masih kekal sama iaitu 1.5 liter SOHC i-VTEC berkuasa 117 hp pada 6,000 rpm dan tork 146 Nm pada 4,700 rpm. Catatan penggunaan minyak untuk transmisi CVT ialah 17.9 km/l dan 18.2 km/ untuk transmisi manual. Enjin Honda City di Thailand di tala dan harus serasi dengan minyak Ethanol E85.

Keselamatan

Terdapat enam beg udara pada Honda City 2017 selain dari Vehicle Stability Assist (VSA), Hill-Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS) dan kamera undur pelbagai sudut.

Honda City Facelift 2017.02

Varian dan Harga

Honda City dipasarkan melalui enam varian iaitu SV (SV+ CVT, SV CVT), V (V+ CVT, V CVT) dan S (CVT, MT). Juga setia dengan angka enam ialah warna yang terdiri dari Modern Steel Metallic, Crystal Black Pearl, Lunar Silver Metallic, Taffeta White, White Orchid Pearl dan warna baharu iaitu Cosmic Blue Metallic yang dipadankan dengan skema warna dalaman gelap sepenuhnya.

Harga Honda City bermula dari RM 69,380.31 untuk model asas hingga RM 94,735.66 untuk varian premium.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.