Honda Brio Amaze: Sedan Comel Mesra Alam!

Honda Brio Amaze 2013.07

Tahukah anda Honda sebenarnya bermula sebagai kereta rakyat? Sebelum dikenali sebagai jenama premium Honda sebenarnya mengeluarkan kereta-kereta rakyat seperti Civic dan City yang ekonomikal dan praktikal. Selang berpuluh tahun kedua-dua model tersebut berada di dalam segmen premium. Lihat sahaja harga Civic yang melebihi seratus ribu dan begitu juga City yang bermula daripada RM85 ribu hingga RM90 ribu. Faktor cukai juga adalah faktor kenapa kedua-dua model itu menjadi premium namun adat orang bisnen takkan hendak biarkan senario itu berlaku begitu sahaja. Untuk bersaing terutama sekali di pasaran negara membangun seperti Asean adalah penting untuk mempunyai model entry-level yang mampu dimiliki oleh kebanyakan orang.

Di Thailand, kerajaannya menggalakkan pengeluar menghasilkan model kereta yang menjimatkan atau lebih dikenali sebagai Eco Car yang kemudiannya melayakkan mereka untuk mendapat insentif cukai dan sebagainya. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pengeluar Jepun seperti Mitsubishi, Suzuki dan Nissan masing-masing menghasilkan kereta Eco seperti Mirage, Swift dan March. Tidak ketinggalan ialah Honda dengan model Brio Amaze.

Honda Brio Amaze 2013.08

Pada November tahun lepas di Thailand, Honda telah melancarkan Brio Amaze bersesaran 1.2 liter. Jiran kita itu adalah negara pertama di Asia yang menerima model tersebut. Kata Encik Pitak Pruittisarikorn, Naib Presiden Eksekutif Honda Automobile (Thailand) Co. Ltd. “Sejak kembali beroperasi sepenuhnya selepas lapan bulan, Honda telah mencatat rekod baharu di dalam industri automotif Thailand daripada segi pelancaran model baharu. Pelancaran Brio Amaze adalah yang kesepuluh untuk tahun 2012 dan merupakan kereta Eco kedua Honda. Diasaskan daripada model Brio hatchback, Brio Amaze merupakan pencapaian penting apabila ianya merupakan projek kerjasama di antara jurutera Jepun dan Thailand yang berpusat di Pusat Penyelidikan dan Pembangungan (R&D) Honda Asia Pasifik yang terletak di Thailand khusus untuk memenuhi kehendak pasaran di Thailand dan Asia. Brio Amaze adalah model yang tepat untuk pelanggan Thailand yang mahukan kereta pertama yang menarik dengan harga berpatutan,” kata Encik Pitak.

Rekabentuk Brio Amaze menggunakan konsep Smart Micro dan tidak dilupakan ialah DNA Honda iaitu Man Maximum Machine Minimum yang meletakkan prioriti terhadap pemandu dan penumpang. Gayaan diluar diserlahkan dengan garisan badan yang bermula dari depan hingga belakang. Muka depan diceriakan dengan gril krom manakala lampu belakang yang nampak seperti Honda City juga dikemaskan dengan lid krom. Dikuasakan oleh enjin SOHC i-VTEC bersesaran 1.2 liter, 4 silinder, 16 injap dengan output 90hp, Brio Amaze dikatakan hanya menggunakan 1 liter petrol untuk perjalanan sejauh 20km. Model itu benar-benar kereta Eco yang mengikut piawaian Euro 4. Untuk lebih mesra pemandu dan juga standard untuk kereta bandar ialah stereng berkuasa elektrik (EPS) dengan radius pusingan yang kecil iaitu 4.6 meter. Sistem keselamatan kereta cili padi itu terdiri daripada struktur badan G-CON, ABS, EBD, beg udara pintar (i-SRS) untuk pemandu dan beg udara (SRS) untuk penumpang yang mematuhi standard UNECE yang memberi perlindungan impak depan dan sisi. Antara ciri utama lain ialah kunci kawalan, sistem audio 2 DIN, sambungan USB dan AUX, perehat lengan penumpang belakang dan sembilan pemegang cawan.

Honda Brio Amaze 2013.09

Brio Amaze menawarkan penyelesaian yang ideal untuk mobiliti daripda Honda. Kereta itu menawarkan keharmonian di dalam sifat yang berlawanan seperti kelincahan tetapi dengan keluasan dan keselesaan, keseronokoan pemanduan tetapi dengan penjimatan minyak dan kereta Eco dengan sistem keselematan yang komprehensif. Brio Amaze ditawarkan melalui empat varian dengan harga yang bermula dari sekitar RM47 ribu hingga sekitar RM53 ribu.

Untuk mereka yang berkenan, sukar untuk saya memberi kepastian sama ada Honda akan membawa masuk Brio Amaze ke pasaran tempatan. Rasanya mustahil memandangkan posisi Honda yang berada di dalam segmen sederhana mewah dan produk murah hanya akan menjejaskan reputasi tersebut. Walau bagaimanapun tiada yang mustahil cuma Honda harus menyelesaikan isu struktur cukai terlebih dahulu. Lagi pun, Mitsubishi telah membuktikannya dengan membawa masuk Mitsubishi Mirage!

Honda Asia

@muhd_gt

Muhammad

3 Comments

  1. kelas B nih
    klo masok Malaysia mmg saingan BLM Vios Almera
    seronok tgk…makin mencabar market

Kata Anda//