HONDA BR-V KINI DI PASARAN – HARGA DARI RM 85.8K HINGGA RM 92.8K

honda-br-v-2017-01

Honda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Crossover BR-V tujuh tempat duduk sepenuhnya yang bergaya dan praktikal. Honda BR-V atau singkatan kepada Bold Runabout Vehicle dibangunkan khas oleh Honda R&D Asia Pacific Co., Ltd. (HRAP) untuk pasaran Asia dan Oceania. Ia menjadi model HRAP pertama yang diperkenalkan di Malaysia.

Dengan pengenalan BR-V serba baharu, Honda Malaysia kini menawarkan rangkaian lengkap kenderaan utiliti menerusi model SUV iaitu CR-V, HR-V sebagai Crossover Kompak dan akhir sekali, BR-V serba baharu sebagai sebuah Crossover tujuh tempat duduk.

NADI KUASA

BR-V dikuasai oleh enjin 1.5L i-VTEC dan dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) yang dibangunkan di bawah “Honda Earth Dreams Technology” untuk meningkatkan penjimatan bahan api serta menawarkan prestasi pemanduan lebih baik.

honda-br-v-2017-06

REKA BENTUK LUARAN

Padat dengan pelbagai ciri praktikal dan nilai tambah yang pastinya menarik minat golongan berkeluarga, pereka BR-V tidak berkompromi dengan penampilannya. Rekaan bahagian luaran sebuah SUV itu menyerlahkan penampilan yang aktif dan lasak manakala reka bentuk solid wing pada bahagian hadapan kelihatan begitu kemas dan bergaya.

Set rim aloi dua tona bersaiz 16”, Rel Bumbung dan Lampu Nyalaan Siang (DRL) melengkapkan lagi rupa dan rasa sebuah SUV yang lasak. Kamera dan alat pengesan mengundur juga ditawarkan pada Crossover tujuh tempat duduk ini dalam memberi kemudahan kepada pemiliknya.

REKA BENTUK DALAMAN

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam BR-V dapat dirasai material yang bergaya dan berkualiti tinggi, ruang dalaman luas dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.

Varian V tampil dengan lebih menarik menerusi pelbagai ciri premium untuk segmen B seperti Paparan Audio bersaiz 6.1” dan Pendingin Hawa Automatik, Butang Penghidup Enjin dan Kemasukan Pintar, kemasan kulit, stereng dibalut kulit dan butang kawalan audio.

honda-br-v-2017-07

Bukan itu sahaja, praktikaliti BR-V diserlahkan lagi menerusi pelbagai konfigurasi tempat duduk di mana tempat duduk baris kedua boleh dilipat dan dinaikkan (One Touch Tilt & Tumble) menjadi pisahan 60:40 dengan hanya satu sentuhan mudah manakala tempat duduk baris ketiga pula hadir dengan konfigurasi Tilt & Tumble 50:50. Sebanyak 11 pemegang tempat minuman untuk memberi kemudahan kepada sebuah keluarga yang besar tanpa perlu berkompromi dengan aspek ruangnya.

Crossover ini mempunyai pelbagai ciri yang mendahului kelasnya seperti memiliki ruang kargo paling luas (223 liter apabila semua tempat duduk dinaikkan, 539 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat), output enjin paling tinggi (120PS) dan jarak ketinggian dari tanah sehingga 201mm.

honda-br-v-2017-03

KESELAMATAN

Aspek keselamatan menjadi keutamaan Honda ketika membangunkan BR-V baharu. Crossover ini menerima skor lima bintang keselamatan oleh ASEAN NCAP dan dilengkapi dua Beg Udara Hadapan SRS, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Pendakian (HSA), Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD) dan ISO Fix.

LEBIH SENYAP

BR-V serba baharu turut menerima penambahbaikan dari segi bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) yang merangkumi bahagian Bulkhead (BHD) untuk mengurangkan bunyi, penebat pada bahagian dalam kemasan bumbung, hud dan pintu selain menambah baik aspek getaran pada stereng. Hasilnya, ialah kualiti pemanduan yang senyap dan selesa untuk seisi keluarga.

WARNA

BR-V serba baharu didatangkan dalam lima warna iaitu Merah (Dark Ruby Red Pearl), Kelabu (Modern Steel Metallic), Perak (Lunar Silver Metallic), Putih (Taffeta White) dan warna baharu, Perang (Golden Brown Metallic).

honda-br-v-2017-05

AKSESORI

BR-V serba baharu juga hadir bersama tiga pakej aksesori yang versatil untuk meningkatkan lagi eksklusiviti dan praktikaliti kenderaan ini.

Pakej Utiliti yang ditawarkan pada harga RM1,280 merangkumi Visor Pintu, bekas pada bahagian kargo, Trunk Organiser, Pelindung Cahaya Matahari dan Filem Perlindungan pada pintu.

Pakej Urban yang terdiri daripada Spoiler Belakang, Pemijak Sisi dan Kemasan Pemijak Kaki ditawarkan pada harga RM2,945.

Pakej Modulo pula berharga RM3,750 yang menawarkan kemasan pada bahagian hadapan dan belakang, selain Skirting Sisi serta Spoiler Belakang.

WARANTI

Di samping harga BR-V yang menarik, Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dengan selang servis 10,000km di mana-mana 88 buah pengedar Honda di seluruh negara.

honda-br-v-2017-08

VARIAN & HARGA

Honda Malaysia menawarkan BR-V dalam dua varian iaitu E dan V. Kedua-dua varian ini direka untuk memenuhi keperluan berbeza dalam kalangan pelanggan BR-V serba baharu.

Varian E ditawarkan pada harga RM85,800 (Harga Atas Jalan dengan Insurans), manakala varian V pula berharga RM92,800 (Harga Atas Jalan dengan Insurans) seunit.

Honda Malaysia telah berusaha keras untuk memasarkan BR-V serba baharu sebagai sebuah kenderaan yang mampu milik dan pada masa yang sama padat dengan pelbagai nilai tambah.

Sasaran jualan BR-V serba baharu ialah 800 unit sebulan.

BACA: (35 Foto) Galeri Gambar Honda BR-V dan Kit Modulo

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.