Honda Accord 2016 Facelift Kini Di Pasaran. Harga Dari RM145K – RM173K

Honda Accord 2016 Facelift

Honda Malaysia menetapkan satu penanda aras baharu bagi sedan eksekutif menerusi pelancaran Accord Baharu. Accord Generasi ke-9 yang telah direka semula itu menawarkan nilai pakej yang hebat. Pada masa yang sama, ciri-ciri premium dikekalkan pada semua variannya.

Accord yang meraikan ulang tahun ke-40 pada tahun ini merupakan model utama (flagship model) Honda. Di Malaysia, lebih 75,000 unit Accord sudah berada di atas jalan raya dan ia kekal menjadi sedan eksekutif kegemaran sejak diperkenalkan pada tahun 2001, hasil daripada DNA kualiti, kehalusan buatan dan premium yang sedia ada.

Berucap pada majlis pelancarannya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Katsuto Hayashi berkata, “Berdasarkan data kami, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dari Januari hingga Ogos tahun ini jatuh sebanyak 15% berbanding tempoh sama tahun lalu. Dengan jualan keseluruhan bermula Januari hingga Ogos 2016 mencecah 55,751 unit, kami berjaya mengekalkan posisi No.1 dalam segmen kenderaan Bukan-Nasional. Dalam tempoh yang sama, perkongsian pasaran kami adalah sebanyak 15%, sekali gus mengekalkan Honda No.2 dalam kedudukan keseluruhan TIV.”

Honda Accord 2016 Facelift

“Sepanjang tempoh yang mencabar ini, para pelanggan akan lebih berhati-hati dengan perbelanjaan mereka. Jadi, mereka mahukan sebuah kenderaan yang bukan sahaja bernilai, malah memiliki pakej keseluruhan terbaik dari segi jualan dan selepas jualan. Kami juga mendapati pengguna di Malaysia masih gemarkan sedan berbanding jenis kenderaan yang lain. Jadi, adalah penting buat kami untuk menawarkan satu siri model sedan yang lengkap kepada pelanggan. Accord Baharu jelas menawarkan satu tahap ekspektasi yang baru ke atas sebuah sedan eksekutif. Ia juga melengkapkan tawaran siri sedan kami yang terdiri daripada City, Civic dan Accord di Malaysia,” jelas Encik Hayashi lagi.

Accord Baharu ditawarkan dalam tiga varian; 2.0VTi (RM142.8K), 2.0VTi-L (RM153.8K) dan 2.4VTi-L (RM172.8K). Varian paling tinggi dikuasakan oleh enjin “Earth Dreams Technology” Honda yang revolusionari demi menawarkan pengalaman pemanduan lebih mengujakan dan menjimatkan bahan api. Accord Baharu telah direka semula untuk menawarkan penampilan luaran yang lebih sofistikated dan maskulin menerusi rekaan bampar hadapan baru. Di samping itu, lampu utama LED penuh gaya pada bahagian hadapan dan belakang serta rim dua tona berwarna hitam dan perak melengkapkan lagi penampilan dinamiknya. Bagi memenuhi keperluan gaya hidup ekskutif moden, Accord Baharu dilengkapi unit Paparan Audio Skrin Sentuh Bersaiz Tujuh inci bersama i-MID yang serasi dengan Apple CarPlay dan ia juga serasi dengan Android Auto apabila ia dilancarkan nanti. Ciri Telefon Bebas Tangan Dengan Pengecaman Suara dan MirrorLink pula pasti memudahkan lagi urusan berkomunikasi dan hiburan ketika memandu.

Honda Accord 2016 Facelift

Tahap premium yang ditawarkan oleh Accord kepada para pelanggannya dapat dilihat melalui ciri-ciri yang satu kelas lebih tinggi daripadanya. Terutama varian 2.0 VTi, ia kini hadir dengan ciri-ciri seperti Kemasukan Pintar, Butang Penghidup Enjin dan Kawalan Jelajah yang biasanya boleh didapati pada varian tinggi 2.0L. Pada masa sama, varian tinggi 2.0VTi-L yang merupakan varian paling laris dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan seperti Honda LaneWatch, Cermin Pandang Belakang Auto Malap, Penggilap Cermin Automatik, Tempat Duduk Berkuasa untuk Penumpang Hadapan, Beg Udara Sisi dan Beg Udara Jenis Curtain Sisi. Ciri-ciri varian 2.4VTi-L juga telah ditingkatkan lagi untuk memberi lebih nilai kepada para pelanggan.

Memandangkan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Honda, ketiga-tiga varian Accord kini dilengkapi enam beg udara, selain Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Emergency Stop Signal (ESS), Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA), Multi-Angle Rearview Camera dan ISO Fix. Dengan sasaran jualan sebanyak 500 unit sebulan, sedan eksekutif yang anggun dan premium ini dijangka dapat membantu Honda Malaysia mencapai sasaran jualan 90,000 unit kenderaan pada tahun ini. Honda Malaysia yakin bahawa pengalaman pemanduan premium bersama pakej luar biasa yang ditawarkan oleh Accord Baharu mampu membuatkannya kekal popular dalam segmen D.

Accord Baharu yang dilengkapi pelbagai ciri lebih baik ini merupakan model pertama Honda yang ditawarkan dengan warna baharu iaitu Biru (Obsidian Blue Pearl). Warna-warna baru lain yang ditawarkan pada rangkaian Accord Baharu ialah Putih (White Orchid Pearl) dan Perak (Lunar Silver Metallic). Accord Baharu juga boleh didapati dalam warna Kelabu (Modern Steel Metallic) dan Hitam (Crystal Black Pearl).

Bagi memberi lebih nilai dan kemudahan kepada pelanggan, Accord Baharu hadir bersama jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had bersama selang servis setiap 10,000km.

Muhammad

Kata Anda//