Haval H2 CKD Kini Di Pasaran – RM98K dan RM102K

Pengedar rasmi jenama Haval di Malaysia, Go Auto melancarkan model Haval H2 versi pemasangan tempatan (CKD) dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan dari segi penampilan dengan harga bermula RM98,950 untuk Comfort Auto dan RM 101,950 Premium Auto, termasuk insurans dan cukai jalan.

Haval H2 CKD menampilkan rekaan rim dan tambahan warna baharu, iaitu Haval Blue bersama pilihan warna sedia ada, Haval Red.

Pengarah Eksekutif Go Auto, Datuk SM Azli Tan Sri SM Nasimuddin Kamil berkata, pihaknya menyasarkan penjualan sebanyak 2,100 unit Haval H2 CKD sehingga 2018.

“Haval H2 CKD sudah sedia ada di 14 bilik pameran pengedar Haval seluruh negara,” katanya.

Haval H2 juga berada dalam senarai model-model Haval yang akan dieksport ke Batam, Indonesia dan Cambodia.

Mengenai Haval H2 CKD, SUV tersebut masih mengekalkan spesifikasi sama, iaitu enjin petrol 1.5L VVT pengecas turbo. Dengan bantuan kotak gear automatik 6-kelajuan, ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 147hp pada 5,600rpm dan tork 210Nm pada 2,200rpm-4,500rpm.

Dari aspek rekaan luaran, Haval H2 CKD dipadankan dengan lampu halogen bersama lampu LED nyalaan siang. Gril dengan kemasan krom ternganga luas membuatkan ia tampak lebih garang dan menarik.

Selain rim dan warna baharu, semua ciri lain Haval H2 CKD adalah sama dengan versi CBU seperti butang tekan-mula, masukan tanpa kunci, panel meter multi fungsi dan punat kawal roda stereng. Ini termasuk ciri penyaman udara dual zon automatik, sistem hiburan audio dan video, kerusi pemandu elektrik 5-tetapan, dan bumbung suria boleh laras.

Ciri keselamatan pula mengetengahkan 6 beg udara, iaitu dua di depan, dua sisi dan dua tirai, yang disepadukan bersama sensor dan kamera undur, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) Program Stabiliti Elektronik (ESP) dan penyandar kepala aktif untuk meminimumkan kecederaan spinal.

Haval H2 CKD turut mendapat penarafan lima bintang dalam ujian perlanggaran dilakukan badan keselamatan China, C-NCAP.

Selain itu, Go Auto turut memperkenalkan pakej ‘Jaminan Beli Balik’ (Buy Back Guarantee) dengan memberi jaminan 50 peratus nilai kenderaan dalam tempoh 5 tahun akan datang. Ini bermakna, HAVAL akan membeli semula pada harga 50 peratus daripada harga jualan jika pemilik menjual kenderaan dalam tempoh 5 tahun.

Muhammad

Kata Anda//