Hari Yang Manis Apabila Anak Malaysia Mencipta Sejarah Di MotoGP – Khairul Idham Pawi Juara di GP Argentina!

Khairul Idham Pawi.201601

Ahad lepas merupakan hari yang manis buat negara apabila Khairul Idham Pawi (SuperKIP), pelumba Moto3(TM) berjaya menjuarai pusingan perlumbaan di Argentina. SuperKIP dari Honda Team Asia baru tiga kali membuat penampilan di kejohanan dunia itu berjaya mencipta sejarah sebagai pelumba negara yang pertama menaiki podium tempat pertama. Berikut ialah komen beliau mengenai kejayaan yang dicapainya.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan di dalam keadaan yang sukar ini dan walaupun begitu perlumbaan tidaklah begitu sukar kerana tim saya telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang. Semasa perlumbaan, saya telah membuat yang terbaik untuk kekal konsisten di dalam catatan masa pusingan dan menjarakkan kedudukan dengan pelumba lain. Saya ingin berkongsi kejayaan ini dengan semua yang sentiasa menyokong saya.”

Selain daripada kejayaan Khairul Idham Pawi, negara turut berbangga apabila Adam Norodin dari pasukan DRIVE M7 SIC Racing Team berjaya menduduki tempat kedua di dalam perlumbaan yang sama hinggalah beliau jatuh sebelum garisan penamat. Pada selekoh terakhir, Adam berjaya memintas J.Navarro sebelum beliau melalui permukaan jalan yang basah dan seterusnya terbabas. Paling menarik dan mengharukan apabila beliau tidak berputus asa dengan mengangkat kembali motosikalnya dan menolak hingga ke garisan penamat sambil diiringi tepukan penonton. Beliau melepasi garisan pada kedudukan kesebelas dan seterusnya mencatatkan mata pertama untuk musim ini.

Seorang lagi pelumba negara iaitu Zulfahmi Khairuddin yang mewakili pasukan Orelac Racing VerdNatura memperolehi kejayaan yang membanggakan apabila mendapat tempat kelapan di perlumbaan WorldSBK di litar Aragon. Berikut ialah status bersahaja Zulfahmi yang dipetik dari media sosial semasa beliau menonton perlumbaan MotoGP.

“Abis race no 8. Tak cukup laju akhir race. Tayar abis sebab push awal2. Tak kira la apa jadi. Skrg semua org duduk depan tv tengok moto3 and moto2 race di Argentina. Cuaca tgah hujan skrg. Warm up tadi Khairul Idham Pawi no1 Adam Norrodin no7. Tgok Pescao plak ni. Harap2 hujan lagi sampai race. Because ‘The Malaysian’ love to race in Wet! Maybe podium or Win? Who knows. Go Adam, Pawi and Hafizh.”

Sementara itu, Hafizh Syahrin dari pasukan PETRONAS Raceline Malaysia meneruskan keputusan yang konsisten apabila menamatkan perlumbaan di tempat keenam pada saingan Moto2 di GP Argentina. Hafizh sepatutnya boleh menduduki tempat kelima namun beliau tersilap percaturan apabila menyangkakan perlumbaan masih tinggal satu lagi pusingan. Berikut merupakan komen Hafizh selepas perlumbaan.

“Saya agak kecewa kerana tidak menyelesaikan perlumbaan di kedudukan ke-5. Saya mempunyai rentak dan saya tahu saya boleh melakukannya. Saya tersalah tafsir bahawa masih ada satu lagi pusingan sedangkan itu adalah pusingan terakhir! Saya akan memastikan bahawa saya akan melakukan yang lebih baik pada perlumbaan seterusnya. Terima kasih semua!.”

Hafizh kini memungut 23 mata dengan ranking keempat di dalam Moto2. Perlumbaan GP seterusnya ialah di litar Austin, Texas, Amerika Syarikat.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.