Fiat Punto 2012: Stail Bertemu Teknologi

Generasi muda sekarang boleh jadi tidak berapa mengenali jenama Fiat berbanding generasi saya atau generasi yang lebih senior. Ketika itu model-model Fiat seperti Punto, Coupe ataupun Multipla banyak di atas jalan raya Malaysia. Berbelas-belas tahun dahulu rekabentuk model-model tersebut mendahului zaman dan tidak hairanlah ramai yang menentang arus perdana dengan membeli kereta buatan Itali itu. Nampaknya formula rekabentuk yang cantik dan menawan hati bukanlah hak milik mutlak pengeluar kereta Korea sahaja malah terlebih dahulu digunakan oleh pengeluar lain. Melalui Fiat juga kita boleh belajar bahawa rekabentuk yang cantik sahaja tidak memadai kerana perlu ada model susulan yang sesuai. Dua tiga tahun lepas pengimportnya ada membawa beberapa model baharu seperti Punto dan 500 dan nampaknya gagal mendapat sambutan. Fiat di Malaysia kini telah pun lesap dari pasaran.

Barangkali Malaysia dan Asean bukanlah pasaran penting buat Fiat kerana mereka masih banyak produk untuk pasaran luar. Di United Kingdom misalnya, pembeli di sana sudah boleh membeli Fiat Punto 2012. Harus tahu, segmen supermini yang mana Punto berada adalah pasaran paling kompetitif dan dinamik di mana kira-kira satu per empat dari total keseluruhan kereta baharu yang terjual adalah daripada segmen tersebut. Masakan tidak kerana di dalam pasaran itu sahaja terdapat lebih kurang 30 model daripada pengeluar Eropah, Jepun dan Korea yang bersaing bagi merebut kek pasaran. Punto pula sejak dilancarkan pada tahun 1993 telah menjadi peneraju pasaran di mana sebanyak 8.5 juta unit telah terjual di seluruh Eropah. Punto baharu disasarkan untuk menyambung legasi tersebut.

Punto 2012 menerima beberapa perubahan antaranya rekabentuk luaran, varian warna, roda aloi, warna dan material interior dan paling signifikan ialah enjin baharu TwinAir. Ditawarkan melalui versi tiga atau lima pintu, Punto menawarkan pakej kereta yang kompak, mesra alam, cantik, selamat, selesa dan seronok untuk dipandu. Terdapat lima varian yang berbunyi riang-ria seperti Pop, Easy, Lounge, GBT dan TwinAir. Varian Pop direka untuk mereka yang sensitif dengan harga tetapi pada masa yang sama mahukan stail. Pada bahagian dalaman, kerusinya dirias dengan ‘inserts’ denim dan kesemua model didatangkan dengan Daytime Running Lights (DRL). Varian Easy pula dijangka menjadi model terlaris melalui kombinasi ciri-cirinya seperti gayaan dan teknologi. Beberapa perbezaan di antara model Pop ialah adanya pembuka pintu dan tingkap dengan warna sama seperti badan kereta, kunci kawalan jauh, kerusi belakang boleh pisah 60/40, cermin boleh panas (heated) dan penyaman udara kawalan manual. Lucu bunyinya kerana di Malaysia beberapa spesifikasi itu adalah standard namun di Eropah lain cara tawarannya.

Varian Lounge pula adalah model dengan spesifikasi tinggi. Interiornya didatangkan dengan kemasan baharu terutama sekali pada papan pemuka. Peralatan lain adalah kerusi yang lebih sporty, perehat lengan (depan), kawalan suhu, pengawal luncur (cruise control), lampu ambien pada papan pemuka dan lampu kabus depan.

Varian GBT pula dibangunkan sempena meraikan sokongan Fiat kepada British Cycling. Varian ini diasaskan oleh model Easy dengan rim yang lebih sporty, suspensi yang direndahkan, cermin privasi yang digelapkan, spoiler belakang dan skirt sisi sama warna dengan warna badan. Varian TwinAir juga turut diasaskan daripada model Easy tetapi dengan rim 15 inci diamond finish, penutup cermin belakang dan tiang pintu berkilat, kerusi unik dan cermin privasi yang digelapkan.

Selain daripada perubahan kosmetik, barisan enjin Punto 2012 turut dirasionalisasikan. Apa yang baharu ialah penambahan enjin turbo TwinAir yang menawarkan prestasi enjin empat silinder tetapi ekonomikal seperti dua silinder. Teknologi MultiAir didatangkan sepasang iaitu dengan turbo dan tanpa turbo. Falsafah teknologi TwinAir ialah pada kawalan kebuk pembakaran yang dibuat secara terus melalui injap kemasukan berbanding pada pendikit seterusnya memberi lebih penjimatan dan kuasa berbanding enjin dengan saiz sama. Barisan enjin petrol seterusnya disempurnakan oleh enjin 1.2 dan 1.4 liter yang menggunakan injap pemasaan variabel terkini bagi memastikan penggunaan minyak yang ekonomikal dan seronok untuk dipandu. Tidak lengkap untuk pasaran Eropah jika tidak ditawarkan enjin diesel. Untuk Punto ini, ditawarkan ialah dua jenis enjin MultiJet 2. Kedua-duanya mempunyai kuasa berbeza iaitu 75hp dan satu lagi versi 85hp menawarkan teknologi baharu dengan hanya pengeluaran karbon dioksida sebanyak 90g/km.

Varian baharu Punto yang dibawa masuk sebelum ini boleh ditemui di atas jalan raya tetapi amat sukar untuk ditemui. Sudah jadi seperti barang rare. Sudahnya saya pernah terserempak model baharu dijual pada harga yang lebih murah dari harga sebenar di dalam laman web jual beli barangan. Mungkin pasaran Asean tidak penting untuk Fiat memberi perhatian serius atau boleh jadi prioriti mereka lain. Tidak seperti jenama Eropah lain seperti Peugeot, VW atau pun Renault yang nampak nilai dan potensi duit kita. Untuk info, Fiat adalah pemilik jenama eksotik iaitu Ferrari dan jenama seksi iaitu Alfa Romeo. Anehnya kedua-dua jenama itu dijual secara rasmi di tempat kita.

Newspress

Garaj Kosmo

@muhd_gt

Silakan kongsi:

2 comments

    • Alteja on 24/07/2012 at 12:04 PM
    • Reply

    Gila ahhh ding dong…. takde yg minat Fiat kot……

    • dolsarip on 27/07/2012 at 2:52 PM
    • Reply

    kalau tak silap aku masa ni jgk ada satu lg model fiat bravo kot…

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.