ETCM MELANCARKAN NISSAN TEANA 2014 – DARI RM139,800

Nissan Teana 2014.01

Kuala Lumpur, 3 JUN 2014 – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini melancarkan Nissan Teana serba baharu yang amat ditunggu-tunggu. Dikilangkan di Tan Chong Motor Assemblies (TCMA), Serendah Malaysia, Nissan Teana serba baharu generasi ketiga menawarkan para pelanggan di Malaysia dengan penampilan yang lebih berprestij. Ia diserlahkan menerusi gayaan hadapan agresif, reka bentuk gril baharu yang kemas dan lampu utama dengan lensa projektor. Ia sememangnya sebuah sedan yang hadir bersama ciri pintar dan kontemporari, lari daripada reka bentuk sedan konvensional untuk segmen D.

Mencatat kejayaan di peringkat global, Nissan Teana serba baharu telah terjual sebanyak 600,000 unit di seluruh dunia sejak ia dilancarkan di pasaran China pada Februari 2013 (dikenali dengan nama lain di pasaran berbeza).

Pada majlis pelancaran, Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Dato’ David Chen berkata: “ETCM berbesar hati untuk memperkenalkan Nissan Teana serba baharu generasi ketiga kepada pengguna di Malaysia. Sedan terbaharu dalam segmen D ini merupakan model utama kami. Tagline Teana serba baharu iaitu “Drive to Greatness” membuktikan prestasi pemanduan, kemewahan dan keselesaan terbaik untuk semua pelanggan kami yang bijak menilai serta golongan usahawan muda. Setiap inci dan perincian Nissan Teana serba baharu telah dihasilkan dengan teliti untuk mereka yang menghargai perkara lebih baik dalam hidup. Kami percaya bahawa gayaan yang kemas, inovasi termaju dan kemewahan Nissan Teana serba baharu akan menawarkan pemanduan yang luar biasa!”.

Nissan Teana 2014.14

Perubahan utama pada Nissan Teana serba baharu ialah enjin QR25DE yang baru dibangunkan bersama penambahbaikan ketara pada julat tork yang rendah dan sederhana. Kebuk pembakaran yang telah dipertingkatkan dan kecekapan emisi juga membuatkan prestasi pemanduan varian 2.5XV lebih lancar dan ekonomikal. Enjin penuh kuasa ini didatangkan bersama sistem CVTC Berkembar (Twin Continuously Variable-valve Timing Control) Nissan.

Teana 2.5XV hadir dengan kuasa maksimum 173hp dan tork lebih tinggi iaitu 234Nm jika dibandingkan dengan model terdahulu (228Nm). Nissan mengekalkan penggunaan enjin MR20DE yang telah terbukti pada varian 2.0XL dan 2.0XE. Enjin empat silinder, 16 injap bersesaran 1,997cc itu menawarkan kuasa maksimum 136hp dan tork 190Nm.

Kesemua tiga varian itu dibekalkan dengan kotak gear XTRONIC CVT generasi seterusnya yang menawarkan penjimatan bahan api mengagumkan, berkuasa dan pecutan yang tepat terutama ketika hendak memotong kenderaan lain di lebuh raya. Ia juga tahan lasak berbanding transmisi automatik konvensional. 70% komponen XTRONIC CVT telah direka semula untuk mengurangkan tahap geseran dalaman dan menjadikannya lebih kompak. Berdasarkan kepada data ujian dalaman Nissan, Nissan Teana 2.0 liter baharu boleh mencapai jarak 13.5km/l manakala Teana 2.5 liter pula boleh bergerak sejauh 13.3km /l.

Nissan Teana 2014.17

Suspensi belakang Multi-link dan sistem Stereng Kuasa Elektro-Hidraulik (Electro-Hydraulic Power Steering, EHPS) telah digabungkan untuk menawarkan pemanduan yang lancar, selain lebih stabil dan mencengkam di atas jalan raya. Keseimbangan di antara stereng responsif dan pengendalian yang selesa membantu menawarkan pengalaman pemanduan lebih selamat serta meyakinkan ketika membelok.

Ciri AUC (Active Understeer Control) menggunakan logik kawalan pintar dan penggerak brek bermaklum balas tinggi untuk mengaktifkan brek pada bahagian dalam roda hadapan ketika mengambil selekoh tajam. Teknologi inovatif yang turut berfungsi ialah VDC (Vehicle Dynamic Control) dan TCS (Traction Control System). Ia membantu pemandu meningkatkan kawalan, selain menyediakan belokan yang selamat serta lancar di atas jalan yang licin, basah atau berpasir.
Rekaan luarannya cukup elegan dan menarik. Penampilan baharu yang lebih aerodinamik menyerlahkan rasa sebuah sedan yang premium dan berkualiti. Garis karekter yang beralun dan tajam dari arah hadapan ke belakang mencetuskan aliran momentum dan mengurangkan daya pekali seretan. Gril hadapan diletak dengan kemas di antara lampu utama jenis projektor yang menghasilkan gayaan berani dan sofistikated pada bahagian hadapan. Varian 2.5XV dilengkapi bumbung suria yang menawarkan pandangan dan cahaya semula jadi ke dalam kabin.

Melihat dengan lebih dekat ruang dalaman Nissan Teana serba baharu, anda pasti kagum dengan kemasan berwarna perak serta tempat duduk dibalut kulit yang lembut dan berkualiti tinggi. Kabin ini sememangnya luas dan selesa. Reka bentuk tempat duduk hadapan dioptimumkan untuk rasa lebih luas berbanding saiz sebenarnya. Terdapat penambahbaikan yang ketara pada ruang kaki penumpang belakang berbanding model sebelum ini.

Nissan Teana 2014.12

Nissan Teana serba baharu hadir bersama kapasiti ruang kargo sebanyak 516 liter. Tempat duduk yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 menggantikan reka bentuk yang ada pada generasi terdahulu bagi membolehkan barangan besar dapat disimpan dengan lebih mudah.

Sama seperti menaiki kelas pertama penerbangan, Nissan Teana serba baharu dilengkapi Reka Bentuk Tempat Duduk “Berinspirasikan kepada Sifar Graviti” yang membantu mengurangkan beban pada otot dan tulang belakang, selain menambah baik aliran darah. Ia membantu mengurangkan keletihan jika memandu dalam tempoh yang lama. Pada masa sama memastikan pengalaman pemanduan yang selesa sepanjang perjalanan yang jauh.

Bunyi bising di dalam ruang kabin Nissan Teana serba baharu telah dikurangkan secara signifikan. Terima kasih kepada penggunaan material yang menyerap bunyi bising, meredam getaran dan kekasaran (NVH). Bukan itu sahaja, varian 2.5XV dilengkapi Sistem Audio Premium BOSE dengan 9 unit pembesar suara yang menawarkan kualiti bunyi keliling mengagumkan.

Paparan ADAD (Advanced Drive Assist Display) bersaiz empat inci dengan warna grafik 3D diletakkan di hadapan pemandu agar mudah dilihat. Manakala butang kawalan audio dan sistem kawalan jelajah (cruise control) diletakkan pada stereng agar mudah dioperasi. Untuk lebih mudah dan selesa, Nissan Teana serba baharu dilengkapi Kawalan Suhu Automatik Dua Zon dengan corong pendingin hawa di belakang, Kunci Pintar (sistem kemasukan tanpa kunci) dan butang penghidup enjin.

Nissan Teana serba baharu menawarkan satu rangkaian ciri keselamatan inovatif yang mengutamakan aspek keselamatan pemandu dan penumpang. Ia dilengkapi enam beg udara SRS di seluruh kabin untuk melindungi mereka yang tersayang. VDC (Vehicle Dynamic Control) dan TCS (Traction Control System) bersama beberapa sistem kawalan keselamatan seperti AUC (Active Understeer Control), ABS (Anti-locking Braking System), EBD (Electronic Brakeforce Distribution) dan BA (Brake Assist System) yang membantu pemandu supaya terus dapat mengawal kenderaan dan mengelak halangan dalam situasi cemas. Ciri-ciri termaju ini meningkatkan kestabilan kenderaan dan mengelakkan gelinciran di atas jalan yang licin. Sementara HSA (Hill Start Assist) pula mengelakkan kereta daripada mengundur ketika hendak memulakan perjalanan di laluan berbukit.

Nissan Teana 2014.08

Lampu utama jenis Xenon dengan Pengaras Automatik dan Pembersih (hanya ada pada varian 2.5XV), mampu meningkatkan pandangan pada waktu malam. Lampu utama itu hadir dengan Sistem Lampu Automatik Termaju yang akan menyala secara automatik ketika hujan (atau kondisi gelap) apabila penggilap cermin hadapan dioperasikan secara berterusan.

Ciri-ciri keselamatan yang lain termasuklah Lampu Brek Ketiga LED yang diletakkan pada posisi tinggi, poin tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, tali pinggang keledar hadapan dengan pengehad beban dan pra-regangan, Emergency Locking Restraint (ELR) 3 poin, penggilap cermin hadapan boleh ubah kelajuannya, binaan badan kukuh serta binaan hadapan kenderaan untuk perlindungan pejalan kaki.

Nissan Teana serba baharu boleh didapati dalam tiga varian: 2.5XV, 2.0XL and 2.0XE. Lima warna disediakan termasuklah satu warna baharu iaitu biru (Storm Blue), selain warna perak (Tungsten Silver), hitam (Diamond Black), emas (Bronze Gold) dan putih (Brilliant White).

Harga Nissan Teana serba baharu di atas jalan ialah RM169,900 untuk varian 2.5XV, RM149,800 bagi model 2.0XL dan RM139,800 untuk 2.0XE. Semua varian ini hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km, mana-mana tiba dahulu.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.