ETCM Melancarkan Kereta Elektrik Nissan Leaf – RM168,800!

Nissan Leaf 2013.05

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pada Khamis minggu lepas melancarkan kereta elektrik 100% yang sudah lama ditunggu-tunggu iaitu Nissan LEAF pada Nissan LEAF yang merupakan Kenderaan Elektrik (EV) paling laris dengan jualan mencecah 87,000 di seluruh dunia (berdasarkan pada akhir bulan Oktober 2013), kini ditawarkan kepada rakyat Malaysia. Ekonomikal untuk dimiliki dan diselenggara, ia mendefinasikan kembali semua tanggapan mengenai sebuah kereta tradisional, di samping menjadi galakan ke arah menjadi pemandu yang bertanggungjawab.

“Kami amat komited kepada eko-mobiliti dan percaya EV adalah masa depan. Pelancaran Nissan LEAF 100% Elektrik menjadi bukti kepada komitmen kami terhadap matlamat ini. Ia bukan sekadar sebuah kenderaan emisi sifar yang bergaya, malah mampu menawarkan prestasi pemanduan mengagumkan yang direalisasikan menerusi teknologi Nissan. Kami percaya ia akan diterima baik oleh pengguna yang peka terhadap alam sekitar. Selain sedang mencari-cari kereta yang dinamik serta memberi impak minimum kepada alam sekitar,” kata Pengarah Pemasaran & Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng.

Nissan Leaf ETCM 2013.01

Ketua Pakar Produk untuk Nissan LEAF 100% Elektrik, Tooru Abe memberitahu, “Nissan LEAF ialah sebuah kereta yang praktikal dan boleh digunakan setiap hari. Ia juga boleh memuatkan lima orang dewasa dengan selesa, selain menawarkan prestasi pemanduan, walaupun di atas lebuh raya.”

Nissan LEAF 100% Elektrik menampilkan bonet enjin yang kompak, spoiler bumbung, bampar belakang dengan peresap udara dan garis sisi ikonik yang digabungkan bersama rekaan lampu belakang yang nyata menyumbang kepada aspek aerodinamiknya. Rekaan lampu hadapan LED yang tersendiri (dengan biasan warna biru) dan lampu belakang LED menambahkan lagi gayanya. Boleh menempatkan lima orang penumpang dewasa tanpa sebarang masalah, ia tampil dengan ruang kabin dibalut kulit dan suede. Di samping kluster tengah yang mesra peranti terkini dan ‘bebas dial’. Terdapat juga Meter Digital Berkembar yang memaparkan maklumat seperti kelajuan, kuasa bateri Li-ion, anggaran jarak pemanduan dan meter-eko untuk mengukur status pemanduan eko anda.

Di bahagian belakang, ruang kargo seluas 370 liter (VDA method) tersedia. Tempat duduk belakang boleh dilipat untuk mendapatkan ruang seluas 720 liter. Tempat duduk belakang juga dilengkapi tali pinggang keledar tiga poin dan ISOFIX demi memastikan keselamatan para penumpangnya. Memiliki teknologi tercanggih, Nissan LEAF 100% Elektrik dilengkapi Pemasa Kawalan Cuaca, Pemasa untuk Pengecasan, sistem pengurusan jarak termaju serta satu Penunjuk ECO yang memaparkan pemanduan ECO semasa dan jangka masa panjang (pokok ECO).

SONY DSC

Jentera ini menawarkan maklum balas dan pecutan lancar secara serta-merta sebaik sahaja pendikit minyak ditekan. Ia nyata sepadan dengan pengalaman pemanduan yang amat senyap. Memandangkan ia hanya dikuasakan oleh satu unit motor elektrik, maka kereta ini adalah sifar emisi dan tiada impak terhadap alam sekitar. Melakukan nyahpecutan atau memandu menuruni bukit akan menukar tenaga kinetik daripada kuasa tork roda menjadi tenaga elektrik menerusi sistem brek janaan semula yang inovatif, sekali gus mengecas pek baterinya. Empat mode pemanduan disediakan – mode D biasa, mode D-ECO, mode B dan mode B-ECO bagi disesuaikan dengan kondisi pemanduan. Dalam keadaan caj penuh, Nissan LEAF 100% Elektrik mempunyai jarak jangkaan sejauh 195 kilometer, berdasarkan kepada Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC).

Lebih menarik lagi Nissan LEAF 100% Elektrik adalah ekonomikal untuk digunakan, 75 peratus lebih murah berbanding kos bahan api kenderaan yang dijana oleh enjin petrol (berdasarkan kepada kadar elektrik di Malaysia) sekarang. Penyelenggaraannya juga murah, penjimatan sebanyak 80 peratus dalam tempoh lima tahun jika dibandingkan dengan kenderaan konvensional.

Pemandu Nissan Leaf tidak perlu pergi ke stesen petrol dan tidak perlu risau mengenai kenaikan harga minyak. Setiap Nissan LEAF 100% Elektrik didatangkan bersama unit pengecasan di rumah yang membolehkan ia dicas ketika tidak digunakan. Alat pemasa membolehkan pengecasan dilakukan dengan selamat pada sepanjang malam dan turut dilengkapi sistem ketetapan awal masa mengecas. Tempoh mengecas semula pek bateri yang kehabisan tenaga adalah sekitar empat jam dengan menggunakan unit pengecasan di rumah berkuasa 6.6kWh. Terdapat juga panel solar yang dipasang pada spoiler bumbung yang terus mengecas bateri berkuasa12V untuk mengoperasikan lampu, penggilap cermin, audio dan aksesori lain. Sebagai tambahan, kini terdapat 15 pusat pengecasan EV awam yang terletak di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru. Tambah menarik lagi, kesemua stesen pengecas EV ini ditawarkan secara percuma kepada orang ramai.

SONY DSC

Aspek keselamatan Nissan LEAF 100% Elektrik terjamin dengan enam beg udara, selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brake Assist (BA), Hill Start Assist (HSA) dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC). Ia juga menawarkan tahap perlindungan yang tinggi, terima kasih kepada binaan Zon Tubuh Nissan yang mengekalkan kekukuhan kompartmen penumpang dan mengurangkan kecederaan pejalan kaki. Mendapat rating tinggi dalam ujian pelanggaran, Nissan LEAF 100% Elektrik telah menerima penarafan lima bintang oleh Euro NCAP.

Nissan LEAF 100% Elektrik hadir dalam 5 pilihan warna – putih (Pearl White), biru (Blue Ocean), perak (Brilliant Silver), metalik (Metallic Slate) dan hitam (Super Black). Ia ditawarkan pada harga RM168,800.00 di atas jalan.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.