ETCM LANCAR PUSAT 3S NISSAN DI TAIPING

Nissan 3S Taiping 2015.01

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) baru-baru ini melancarkan secara rasmi Pusat 3S Nissan di Taiping, pusat 3S ke-19 ETCM di Malaysia.

Ia menjadi Pusat 3S Nissan kedua yang dibuka pada tahun ini selepas pelancaran Pusat 3S Mega Johor Jaya, Mei lalu. Kedua-dua pelancaran tersebut – bersama satu lagi Pusat 4S Glenmarie yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, jelas membuktikan komitmen ETCM untuk meningkatkan rangkaian jualannya serta memastikan pengalaman pemilikan kenderaan pelanggan dapat dicapai di semua peringkat.

Pusat 3S Nissan ETCM di Taiping memiliki ruang binaan seluas lebih 17,846 kaki persegi. Ia terletak di lokasi strategik untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitarnya. Pusat sehenti ini menawarkan pelanggan kemudahan untuk memandu uji, membeli model-model terbaharu Nissan, servis kenderaan dan mendapatkan alat ganti untuk kereta Nissan mereka, semuanya di bawah satu bumbung.

Menelan kos pengubahsuaian sebanyak RM800,000, susun atur biik pameran yang baru itu boleh mempamerkan sehingga lapan (8) buah kenderaan Nissan pada satu-satu masa. Pusat servisnya pula mempunyai lapan (8) ruang penyelenggaraan dengan kapasiti menyelenggara sehingga 30 buah kenderaan sehari. Pusat 3S ini dikendalikan oleh 14 orang kakitangan jualan profesional Nissan serta enam (6) juruteknik yang mahir dan berpengalaman luas.

Pusat 3S Nissan Taiping menawarkan kemudahan dan keselesaan kepada para pelanggan ketika mereka menunggu. Antara kemudahan yang disediakan termasuklah sebuah ruang rehat dan ruang minuman, lengkap bersama ketersambungan WiFi serta Sudut Kanak-kanak, khas buat pelanggan yang datang dengan anak masing-masing.

Berucap pada majlis pembukaannya, Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng berkata, “Taiping sememangnya mengalami pertumbuhan yang cukup pesat. Di bawah pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara, kami dapat melihat perkembangan Bandar Taiping. Ia bukan sahaja berjaya menarik minat pelancong, malah pelabur tempatan dan asing. Dengan meningkatnya peluang perniagaan dan infrastruktur yang lebih baik, permintaan terhadap kenderaan penumpang dan komersial juga bertambah. Justeru, adalah penting untuk kami memastikan kehadiran kami di Taping dirasai. Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memberi sokongan kepada para pemilik kenderaan Nissan dan komuniti di sini menerusi sebuah Pusat 3S Nissan.”

Sehingga kini, ETCM mempunyai rangkaian ekstensif melibatkan 100 buah bilik pameran termasuk pengedar dan 60 buah Bengkel Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) di seluruh negara. ETCM mensasarkan untuk memiliki 20 buah Pusat 3S di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.