ETCM LANCAR KEMPEN KESELAMATAN NISSAN 2015 DI LEGOLAND® MALAYSIA RESORT

Nissan Safety Campaign 2015.01

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini telah melancarkan Kempen Keselamatan Nissan 2015 di LEGOLAND® Malaysia Resort. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosialnya terhadap para pelanggan dan orang awam. Kempen Keselamatan Nissan telah dibangun dan dijalankan dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran-kemahiran penting berkaitan keselamatan jalan raya kepada golongan dewasa serta kanak-kanak. Pada tahun ini, kempen tersebut akan memberi fokus kepada mendidik kanak-kanak dan orang dewasa menerusi dua program – Karnival Keselamatan Kanak-kanak ‘Program Keselamatan Pertama Saya dengan Nissan’ dan Pengalaman Pemanduan Selamat.

Menurut Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng, maklum balas yang diterima oleh ETCM terhadap Kempen-kempen Keselamatan sebelum ini amat memberangsangkan. Justeru, ia menjadi motivasi buat ETCM untuk meneruskannya pada tahun ini.

“Memang sangat membanggakan apabila dapat melihat Kempen Keselamatan Nissan menjadi semakin berpengaruh dari tahun ke tahun hasil sokongan padu daripada para pelanggan kami. Tahun ini, fokus kami adalah untuk mendidik generasi muda dengan pengetahuan asas keselamatan menerusi aktiviti-aktiviti yang kreatif dan menyeronokkan. Lagi pun, mereka adalah harapan masa depan negara.

“Kami harap dapat berkongsi dan menyampaikan mesej-mesej penting berkaitan keselamatan bagi mengelak kemalangan jalan raya serta kebakaran daripada berlaku. Sekali gus memupuk kemahiran ini sejak dari usia muda. Justeru, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan korporat kami, LEGOLAND Malaysia atas sokongan mereka dalam menjayakan Kempen Keselamatan ini,” katanya.

Nissan Safety Campaign 2015.02

Karnival Keselamatan Kanak-kanak 2015 akan dikendalikan oleh Pengasas Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya, Kapten K. Balasupramaniam. Untuk tahun 2015, ETCM turut menambah satu inisiatif baharu yang dikenali sebagai ‘Menyelamatkan Diri daripada Kebakaran’. Ia fokus kepada mendidik para peserta bagaimana untuk menangani kebakaran dengan selamat serta kemahiran ikhtiar hidup pada waktu kecemasan. Dalam usaha untuk menjangkau lebih ramai audien, Karnival Keselamatan Kanak-kanak akan diperluaskan ke seluruh negara. Kempen pada tahun ini akan berakhir dengan Program Pemanduan Selamat kepada para pemilik kenderaan Nissan.

Para pemilik kenderaan Nissan yang ingin menyertai program ini boleh menghubungi Jabatan Perhubungan Pelanggan ETCM di talian +603-4047 8788 atau hantar e-mel ke crd@tanchonggroup.com. Penyertaan adalah berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.