ETCM BUKA PUSAT 3S PERTAMA DI KUCHING

Nissan Kuching 2014.01

KUCHING (24 Jun 2014) – Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) hari ini merasmikan pembukaan Pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) di Kuching, Sarawak, sekali gus menandakan satu lagi kejayaan dalam sejarahnya. Pusat 3S itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Yang Berbahagia Dato James Chan Khay Syn yang ditemani oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Yang Berbahagia Dato’ David Chen.

Berucap pada majlis pembukaan tersebut, Dato’ David berkata, “Pusat 3S Kuching merupakan Pusat 3S ETCM pertama di Kuching dan paling besar di Malaysia Timur, dan kami akan terus berkembang demi meluaskan manfaat kepada para pelanggan. Di sini, para pelanggan dan orang awam boleh menikmati pengalaman Nissan sepenuhnya. Kami juga kekal komited untuk menawarkan produk yang berkualiti, bernilai untuk wang dan servis selepas jualan terbaik bagi memenuhi permintaan serta ekspektasi pelanggan.”

Pusat 3S Kuching ETCM baharu terletak di hab automotif bandar Kuching yang strategik. Ia dibina di atas sebidang tanah seluas 1.58 ekar dengan jumlah kawasan binaan mencecah 42,000 kaki persegi.

Susun atur Pusat 3S yang baru direka bentuk ini nyata segar dan moden. Ia melibatkan sebuah bilik pameran yang mampu mempamerkan sehingga lapan buah kenderaan Nissan pada satu-satu masa. Untuk kemudahan serta keselesaan pelanggan, kelengkapan yang disediakan termasuklah sebuah lounge dan ‘coffee bar’ dengan ketersambungan WiFi. Sudut Kanak-kanak untuk pelanggan yang membawa anak masing-masing juga disediakan. Sebagi tambahan, bengkel yang memiliki 23 ruang servis boleh menyelenggara sehingga 130 buah kenderaan sehari. Di pusat sehenti ini, para pelanggan boleh memandu uji dan membeli model-model baharu Nissan. Ia juga membolehkan kenderaan diservis dan mendapatkan alat ganti untuk kereta Nissan mereka.

“Pada tahun 2013, ETCM telah menjual kira-kira 5,000 unit kenderaan Nissan di Malaysia Timur. Lebih separuh daripadanya datang dari Sarawak dengan pertumbuhan lebih 20% berbanding tahun 2012. Ketika rangkaian produk kami terus berkembang dan bertambah baik, adalah penting bagi kami mengukuhkan sokongan selepas jualan untuk para pelanggan,” tambah Dato’ David.

Sehingga kini, ETCM telah memiliki satu rangkaian 106 bilik pameran yang ekstensif termasuk para pengedar serta 59 bengkel Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) di seluruh negara. Pusat 3S ETCM dijangka dibuka pada tahun 2014, termasuklah satu pusat di Tawau, Sabah dan Glenmarie, Shah Alam. ETCM mensasarkan untuk memiliki 18 pusat 3S di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun 2014.

ETCM percaya bahawa hubungan jangka masa panjang dengan pelanggan terjalin sebaik sahaja pembelian dibuat. Justeru, amat penting bagi ETCM membina hubungan ini dengan menawarkan servis yang terbaik secara konsisten pada kualiti tertinggi. ETCM terus menjadikan Kepuasan Pelanggan sebagai keutamaan No. 1 demi memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.