ETCM BAKAL MELANCARKAN NISSAN NP300 NAVARA SERBA BAHARU

image

KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2015 – Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd (ETCM) hari ini mengumumkan bahawa model Nissan NP300 Navara serba baharu bakal tiba di pasaran Malaysia pada November 2015.

NP300 Navara melakukan debut tahun lalu di Thailand. Ia juga telah dilancarkan di Vietnam, Laos, Myanmar, Kemboja, Filipina, Indonesia dan Australia pada tahun ini. Terbaharu, NP300 Navara diperkenalkan di Eropah semasa Frankfurt Motor Show 2015.

Navara generasi ke-12, NP300 Navara lahir daripada warisan trak pikap Nissan yang panjang iaitu selama 80 tahun. Ia terbukti menerusi lebih 14 juta orang pelanggan di 180 buah negara. Legasi kecemerlangan dan kebolehpercayaan Nissan dalam segmen yang sangat mencabar ini sememangnya tidak dapat dinafikan. NP300 Navara mencipta penanda aras dengan reka bentuk baharu, keselesaan premium, kemudahan dan teknologi termaju. Karekternya menawarkan fleksibiliti untuk menjadi tahan lasak dan boleh dipercayai untuk melaksanakan tugas, malah ia juga selesa dan luas untuk aktiviti hujung minggu.

Ketika mengumumkan ketibaan Nissan NP300 Navara serba baharu, Pengarah Perancangan Produk dan Pemasaran ETCM, Tan Keng Meng berkata, “Kami sangat teruja untuk memperkenalkan Nissan NP300 Navara serba baharu ke pasaran Malaysia. Kami percaya bahawa NP300 Navara memiliki banyak kelebihan dengan reka bentuk yang berani dan pelbagai ciri inovatif. Setiap inci NP300 Navara telah dijurutera untuk mengatasi cabaran laluan paling sukar, pada masa sama menawarkan pengalaman pemanduan yang selesa – sekali gus menjadikannya trak yang tiada tandingan.”

Enjin 2.5L Diesel YD25 Nissan yang telah ditambah baik mampu menawarkan kuasa maksimum 190 PS dan tork 450Nm/2,000rpm, menjadikannya trak pikap paling berkuasa dalam segmennya. Dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan bersama mode manual – pertama dalam kelasnya –  NP300 Navara menjadi peneraju dengan lebih kuasa, pecutan yang lebih lancar serta menjimatkan bahan api.

Sebagai trak pikap buatan Jepun pertama di Malaysia yang dilengkapi suspensi belakang jenis Multi-Link, NP300 Navara benar-benar mendefinisikan semula aspek pemanduan yang selesa. Sistem suspensi serba baharu yang tahan lasak ini dapat meningkatkan keseronokan pemanduan dan pengendalian yang lebih lancar dan stabil – membawa tahap keselesaan seperti SUV – walaupun dengan beban penuh.

Dari arah hadapan, DNA reka bentuk Nissan yang tersendiri itu cukup menonjol.  Lampu Utama LED yang lengkap dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL) berbentuk ‘boomerang’ Nissan yang pertama dalam kelasnya, melengkapkan gril signatur ‘V-motion’ Nissan serta menyerlahkan aspek estatiknya. Di bahagian belakang, spoiler baharu menunjukkan sifat sporty NP300 Navara.

Keselesaan adalah sangat penting untuk trak pikap sebenar. Jadi, NP300 Navara mengaplikasikan Tempat Duduk yang Diinspirasikan daripada Graviti Sifar (Zero Gravity Inspired Seats) seperti model-model premium Nissan lain. Tempat duduk ini memberi sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan. Manakala pendingin hawa dua zon dan corong udara di bahagian belakang pula memberikan penyejukan kabin yang optimum.

Mereka yang ingin melihat trak pikap ini dengan lebih dekat dijemput untuk mengunjungi Siri Jelajah Nissan yang diadakan di seluruh negara bermula 15 Oktober 2015. Pengunjung juga boleh melihat paparan 3D NP300 Navara di lantai yang pertama seumpamanya.

Perincian mengenai Siri Jelajah Nissan adalah seperti berikut:

image

Muhammad

Kata Anda//