Enjin 1.6 liter i-DTEC: Inovasi Baharu Honda!

Enjin bukan sahaja merupakan komponen penting di dalam sebuah kenderaan malahan untuk pengeluarnya juga. Boleh bayangkan Toyota tanpa enjin VVT-i? Subaru tanpa enjin Boxer? Proton tanpa enjin CamPro atau Honda tanpa enjin i-VTEC? Ibarat kasut tanpa tali, hendak berjalan pun tidak boleh. Daripada segi penjenamaan kesemua akronim itu penting untuk ‘menangkap’ imej pengguna tentang kelebihan sesuatu enjin tersebut. Persepsinya ialah Toyota terkenal dengan penjimatan bahan api manakala enjin i-VTEC pula terkenal dengan prestasi. Enjin juga boleh membawa persepsi buruk terhadap sesuatu jenama apabila tahap penggunaan bahan api nya tinggi. Walau bagaimanapun banyak faktor yang mempengaruhi penggunaan bahan api antaranya corak pemanduan, berat kenderaan, kesesakan trafik dan seumpamanya.

Mengikut trend dan keperluan semasa, pengeluar kereta berlumba-lumba dalam memperkenalkan teknologi dan inovasi baharu enjin mereka. Sasaran utamanya ialah enjin yang jimat bahan api namun ada juga pengeluar yang fokus kepada aspek lain seperti penggunaan komponen kereta yang ringan. Apa pun yang paling menonjol ialah teknologi enjin, ada yang mengeluarkan enjin hibrid, elektrik dan tidak kurang juga menambah baik teknologi sedia ada dan termasuk di dalam kategori itu ialah enjin diesel. Walaupun diakui dan terakui bahawa enjin diesel jimat bahan api namun di dalam konteks tempatan apa yang membuatkan teknologi tersebut ditolak ramai ialah bunyi dan emisinya yang kotor. Selain daripada itu faktor kurangnya penawaran enjin diesel dalam kereta kebanyakan juga merupakan faktor penting kenapa enjin diesel tidak popular. Terdapat beberapa pengeluar yang memasarkan opsyen diesel untuk kereta penumpang antaranya BMW dan Ford.

Walau bagaimanapun, di pasaran Eropah dan India, teknologi diesel begitu popular. Di Eropah, penawaran enjin diesel begitu luas dan opsyen wajib untuk ditawarkan. Inovasinya juga canggih hinggakan isu emisi yang kotor berkurangan. Bila isu tersebut selesai maka apa yang dinikmati oleh pengguna di sana ialah penjimatan bahan api mutlak. Terkenal dengan teknologi i-VTEC, Honda kembali dengan kempen teknologinya iaitu enjin diesel 1.6 liter i-DTEC yang merupakan siri pertama Earth Dreams Technology yang dilancarkan di Eropah. Enjin tersebut bakal dimuatkan ke dalam model Civic pada awal tahun depan. Di atas kertas, kuasanya ialah 120PS dengan tork yang tinggi iaitu 300 Nm pada 2000 rpm. Pengeluaran emisi CO2 juga rendah dengan 94g/km.

“Kunci utama di dalam falsafah Earth Dreams Technology ialah untuk mengimbangi aspek alam sekitar dan prestasi yang sinomim dengan Honda, kata Suehiro Hasshi, Ketua Projek Civic di Eropah. “Ianya penting untuk kereta keluaran kami seronok dipandu,” tambah beliau.

“Ini adalah pendekatan baharu dan iany bermula dari asas,” kata Tetsuya Miyake, Ketua Projek enjin 1.6 liter i-DTEC. Tiada penanda aras untuk kami kerana sasarannya rendah. Kami komited untuk membina penanda aras sendiri untuk diikuti oleh pesaing kami.”

Proses pembangunan enjin ini adalah mengenai kejuruteraan yang pintar dan tulen, kata Suehiro Hasshi. “Pendorong utama kami ialah membuat penambahbaikan yang kecil dan terperinci tetapi dengan perbezaan yang besar. Itu adalah cabaran dan cantiknya falsafah Earth Dreams Technology.

Enjin 1.6 i-DTEC tersebut dibina dengan kepala silinder aluminium yang disambungkan dengan blok aluminium ‘open deck’. Enjin tersebut merupakan paling ringan di dalam kelasnya iaitu 47kg lebih ringan berbanding enjin diesel 2.2 liter i-DTEC. Kesemua komponen berasingan direka semua untuk mengurangkan berat dan saiz manakala teknologi produksi yang canggih turut menyumbang kepada pengurangan berat. Ketebalan dinding silinder pula dikurangkan kepada 8mm, kurang 1mm berbanding enjin 2.2 liter i-DTEC. Selain daripada itu, omboh dan rod penyambung yang lebih ringan turut digunakan di dalam enjin i-DTEC baharu tersebut.

Penggunaan pengecas turbo adalah antara faktor enjin i-DTEC itu mempunyai tork yang tinggi. Untuk enjin baharu itu, Honda menggunakan pengecas turbo Garrett generasi keempat dengan kelajuan putarannya dikawal dengan tepat oleh sistem elektronik yang antara lainnya mengurangkan lengahan turbo (lag) dan memberikan prestasi optimum di antara julat kuasa rendah dan pertengahan serta prestasi tinggi. Turbo tersebut mempunyai tekanan boost maksimum 1.5 bar. Inovasi lain yang digunakan ialah sistem pancitan solenoid Bosch bertekanan tinggi iaitu 1800 bar. Tekanan yang tinggi itu membolehkan bahan api dipancitkan dengan kadar yang lebih laju dan atom semburan bahan api yang lebih sempurna. Hasilnya campuran bahan api dan udara menjadikan kebuk yang lebih efisyen dalam mencapai emisi dan pengunaan bahan api yang rendah.

Inovasi di dalam teknologi diesel seperti yang diceritakan ini menjanjikan penggunaan bahan api yang menjimatkan dan paling utama kurang pencemaran. Kita di sini masih tidak menikmati teknologi tersebut secara mudah dan murah namun perasan atau tidak, pikap moden yang dipasarkan yang banyak di atas jalan raya kita sekarang ini sudah kurang mengeluarkan asap hitam dan tebal. Itu hanyalah secebis daripada faedah teknologi diesel moden dan untuk membolehkan kita betul-betul merasa teknologi tersebut ialah dengan kesungguhan saudagar minyak dan kerajaan. Khabarnya kita masih tidak mempunyai kilang penapis teknologi diesel bersih dan dengar kata pelaburannya adalah tinggi. Desakan pengguna boleh mengubah senario itu. Harap-harap mereka yang mempunyai kuasa sedar yang teknologi mesra alam bukan sahaja daripada enjin hibrid atau elektrik malahan daripada enjin diesel juga!

Newspress

@muhd_gt

Muhammad

5 Comments

  1. Enjin diesel tk popular sebab diesel kt sini tk de quality. sesuai utk bot nelayan Apek je..

  2. terbaiklah ar ni..
    puas hati membacanya..
    bravo brother Mat GT..
    nak lagi.. nak lagi..

  3. akan sampai masanya .. no more vtec.. dan mazda dah mengorak ke arah itu dengan pelancaran cx5 dan coming soon mazda 6 berteknologi Skyactiv .. gua mampu merenung jauhhhhhhhh

Kata Anda//