En. Adrian Salleh – Pemilik Pertama Honda Civic Type R (FK8R) Di Malaysia

Honda Malaysia pada 29 November lalu telah menyerahkan Civic Type-R (FK8R) kepada En. Adrian Salleh yang merupakan pemilik pertama model hebat itu di Malaysia. Majlis penyerahan tersebut diadakan dalam satu satu majlis pusat 3S Honda, Botanic Auto Mall, Bandar Botanic, Klang.

En. Adrian Salleh sebenarnya adalah peminat Civic Type R sejak dahulu lagi dan pernah terlibat dalam kaji selidik apabila Honda Malaysia mahu memperkenalkan Civic Type R (FD2R) pada tahun 2007.

Pada waktu itu, Malaysia adalah satu-satunya negara selepas Jepun yang menawarkan Civic Type R secara rasmi. Dari tahun 2007 hinga 2011, sebanyak 421 unit Civic Type R telah terjual.

Civic Type R FK8R adalah model Type R global pertama dan telah berjaya menarik perhatian ramai setelah berjaya dinobatkan sebagai kereta pacuan roda depan (FF) terpantas di Litar Nurburgring di Jerman iaitu 7 minit 43.80 saat pada April 2017.

Sejak tempahan dibuka Honda Malaysia, sambutan Civic Type R  adalah diluar jangka. Sehingga kini Honda Malaysia sudah menerima 70 tempahan melebihi sasara awal sebanyak 30 unit sebulan.

“Saya memang kagum dengan penampilan Civic Type R yang sporty dan garang. Walaupun berkuasa tinggi, ia tetap sesuai untuk dipandu setiap hari. Ciri paling unik ialah tiga mode pemanduannya iaitu COMFORT, SPORT dan +R. Saya memang sudah tidak sabar untuk memandunya,” kata Adrian Salleh dengan penuh teruja.

Sebagai tanda penghargaan, En. Adrian Salleh turut menerima barangan istimewa iaitu kamera GoPro HERO 5 dan Honda Ultra Glass Body Coating bernilai RM5,300 daripada Honda Malaysia.

Type R ialah model ikonik perlumbaan dan prestasi Honda dengan reputasi sejak 25 tahun lalu. Ciri-ciri pembangunannya ialah prestasi dinamik dan mekanikal ringkas untuk mencapai prestasi terbaik di jalan raya dan trek perlumbaan.

Civic Type R telah dibangunkan dari platform Honda Civic Hatchback dengan ketegaran rangka badan yang tinggi.

Setiap Civic Type R didatangkan dengan plat nombor bersiri yang diletakkan di konsol tengah sebagai salah satu lambang eksklusf model ini.

Dari segi keselamatan, Civic Type R dilengkapi Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Pengunci Anti-Kunci (ABS), Kawalan Cengkaman, Electronic Brake Distribution (EBD) dan Garis Panduan Dinamik. Model ini juga dilengkapi dengan ISO Fix dan sejumlah enam beg udara.

Civic Type R diimport dari kilang Honda di Swindon, United Kingdom sementara enjinnya dihasilkan di Anna, Ohio (Honda of America Manufacturing Inc).

Waranti untuk Civic Type R adalah 5 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dengan selang servis setiap  10,000 km di mana-mana 20 Pengedar Sport Honda di seluruh negara.

Honda Civic Type R ditawarkan dalam warna Championship White pada harga RM320,000 (tidak termasuk insurans).  Mereka yang berminat boleh berkunjung ke mana-mana 20 Pengedar Sport Honda untuk melihat dan membuat tempahan Civic Type R ini.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.