DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Tandatangani Perjanjian Jualan Ekuiti Proton Holdings Berhad

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2017: DRB-HICOM Berhad hari ini menandatangani Perjanjian Muktamad yang menyaksikan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) dari China memegang 49.9% ekuiti PROTON Holdings Berhad (PROTON).

Pada hari yang sama, DRB-HICOM juga menjual keseluruhan sahamnya dalam Lotus Advance Technology Sdn Bhd kepada ZGH dan Etika Automotive Sdn Bhd. Perjanjian ini termeterai 30 hari selepas kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Dasar di Putrajaya bulan lalu.

Majlis disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, bersama Brig. Gen. (K) Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil, Pengerusi DRB-HICOM dan Pengerusi ZGH, Li Shufu. Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar menandatangani bagi pihak DRB-HICOM manakala An Conghui, Presiden Geely Holding Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group pula mewakili ZGH. Turut hadir ialah Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar berkata perjanjian ini merupakan suatu detik bersejarah bagi PROTON, yang mensasar pasaran automotif ASEAN yang lebih besar.

“ZGH, yang juga pemilik Volvo Cars dari Sweden, The London Taxi Company dan kereta jenama Geely, adalah rakan kongsi yang tepat untuk PROTON. Kejayaan mereka bersama Volvo dan The London Taxi Company, serta jenama mereka Geely membuktikan keupayaan mereka sebagai pengeluar kereta serta sebagai rakan kongsi. Dengan ZGH PROTON  kini mampu mensasarkan pasaran kenderaan penumpang ASEAN yang lebih besar,” jelas Syed Faisal.

Menurut perangkaan rasmi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Automotif ASEAN, jualan kereta penumpang bagi tahun 2016 di rantau ini telah mencapai 2.1 juta, peningkatan sebanyak 85% berbanding jualan pada tahun 2007. PROTON akan menjadi hab Asia tenggara untuk Geely.

Mahu kembali kuasai pasaran tempatan

Syed Faisal bagaimanapun berkata tumpuan utama mereka adalah untuk membawa PROTON kembali sebagai kereta terlaris Malaysia.

“Status PROTON sebagai kereta Nasional kini terjamin kerana DRB-HICOM masih merupakan pemegang saham majoriti. PROTON kini akan menumpukan usaha mereka untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam negara dengan kerjasama ZGH. Dengan keupayaan kedua-dua syarikat ini, saya yakin ia akan memberi kesan positif kepada pasaran melalui pengeluaran produk yang memenuhi kehendak pasaran dari segi reka bentuk dan kualiti,” tambah beliau lagi.

Jual Lotus untuk fokus kepada kenderaan penumpang

Lotus Evora 410

DRB-HICOM juga menamatkan penglibatannya dalam segmen kereta sport melalui penjualan Lotus. Syed Faisal berkata penjualan Lotus membolehkan tumpuan khusus diberikan kepada segmen pasaran kenderaan penumpang yang lebih luas. PROTON mengambil alih pengeluar kereta United Kingdom itu pada tahun 1996, dan beberapa model keluaran mereka mendapat manfaat daripada teknologi milik Lotus.

Li juga amat positif dengan perjanjian ini dan meluahkan harapan agar kerjasama ini dapat menghasilkan kejayaan.

“PROTON adalah jenama kebangsaan yang ikonik Malaysia. Ia merupakan simbol pencapaian kebangsaan dan semangat perindustrian di Malaysia. Kami berharap melalui kerjasama dengan DRB-HICOM, PROTON bakal menjadi jenama automobil  No. 1 di Malaysia semula dan mencapai kedudukan tiga teratas di Asia Tenggara.

Bagi Lotus pula, kami pempunyai rancangan untuk meningkatkan pelancaran model baharu dan juga meningkatkan kapasiti bagi memaksimakan daya tarik jenama ini. PROTON dan Lotus bakal mewujudkan sinergi bagi meletakkan ZGH sebagai antara pengiat industri utama di pasaran ASEAN, dan seterusnya meningkatkan kedudukan global kami serta mengukuhkan usaha mencapai sasaran jualan  tiga juta unit menjelang tahun 2020. Kami yakin masa depan yang lebih cerah akan dapat dikongsi bersama berlandaskan kepada nilai hormat, adaptasi, keterangkuman dan integrasi,” kata Li.

ZGH – Pemilik Volvo Cars dan London Taxi Company

ZGH mula mendapat perhatian dalam industri automotif global pada tahun 2010, ketika ZGH dengan berani membeli syarikat Sweden, Volvo Cars. Perjanjian tersebut dipandang sinis oleh banyak pihak, terutamanya di Eropah. Namun, selepas membuat pelaburan besar ke dalam Volvo, pada tahun 2016  ia mencatatkan keuntungan operasi sebanyak US $1.25b, tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 1927.

The London Taxi Company juga sedang dibaik pulih, dan ZGH akan untuk melaburkan sebanyak US $370m bagi menghasilkan Black Cabs yang ikonik di sekitar bandar London dalam versi elektrik. Langkah ini adalah bagi memenuhi syarat baru di kota London sejajar usaha mengurangkan pencemaran udara di kota tersebut.

Geely catat 760,00 jualan pada 2016

Di negara asalnya, Geely berjaya menjual kira-kira 760,000 unit kenderaan pada 2016, dua kali ganda dari jualannya pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini didokong oleh populariti segmen SUV di negara itu.  SUV Geely Boyue terbukti sangat popular di China. Geely berjaya menjual sejumlah 109,000 unit Boyue pada 2016 dan sehingga Mei tahun ini, sejumlah 103,000 unit telah dijual.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.