DISKAUN TOL 10% DI KLK DAN LPT 1 SEMPENA DEEPAVALI

deepavali-2016-01

Sempena menyambut perayaan Deepavali yang bakal tiba, ANIH Berhad, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan insiatif berikut:

1. Diskaun tol sebanyak 10% untuk semua pengguna yang membuat bayaran secara elektronik di KLK dan LPT 1. Diskaun ini akan ditawarkan secara 24 jam, bermula jam 12.01 pagi hari Sabtu, 29 Oktober 2016.

2. Mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai langkah untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang selesa di KLK dan LPT 1 pada waktu puncak di musim perayaan Deepavali.

Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein dalam satu kenyataan berkata, pemberian diskaun tol sempena Deepavali ini bertujuan memberi peluang kepada pengguna membuat pilihan dan menikmati nilai tambahan dengan bayaran tol yang lebih rendah pada hari dan waktu yang ditetapkan.

“Pengenalan jadual TTA sempena Deepavali pula bertujuan untuk membantu mengagihkan aliran trafik ke waktu luar puncak, sekali gus secara tidak langsung membantu pengguna yang ingin ke pantai timur untuk menikmati perjalanan yang selesa,” katanya.

Jadual TTA untuk perayaan Deepavali kali ini menyarankan pengguna dari Lembah Klang yang ingin menuju ke Pahang pada 28 Oktober untuk memasuki KLK dan LPT 1 antara jam 1 petang hingga 4 petang atau antara 7 malam hingga 11 malam. Pengguna yang ingin menuju ke Terengganu dan Kelantan pula dinasihatkan memasuki lebuh raya antara jam 6 pagi hingga 11 pagi atau jam 5 petang hingga 8 malam.

Sementara itu, bagi pengguna dari Pahang yang ingin kembali semula ke ibu kota bermula 30 Oktober ini, mereka dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya antara jam 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam.
Pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara jam 8 pagi hingga 11 pagi atau 8 malam hingga 10 malam, sementara pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula jam 6 petang hingga 10 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

deepavali-2016-02

Pengguna dinasihati untuk merujuk kepada jadual TTA di laman web ANIH Berhad di www.anihberhad.com, mengikuti laman Twitter rasmi ANIH Berhad di @LPTTrafik atau Facebook di Lebuhraya Pantai Timur.
Jadual TTA yang diperkenalkan ANIH Berhad sejak 2009, terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia dirangka berdasarkan kepada analisis pergerakan trafik pada waktu puncak setiap kali musim perayaan pada tahun sebelumnya.

Pengenalan TTA bertujuan untuk membantu menyuraikan pergerakkan trafik di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.