Diskaun 10% Tol KL-Karak Sempena Tahun Baru Cina 2017

Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba, ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan insentif diskaun tol 10% kepada semua kelas kenderaan yang menggunakan Touch ’n Go dan SmartTag sebagai mod pembayaran.

Pemberian insentif ini akan bermula dari jam 12.00 pagi hingga 11.59 malam pada 28 Januari 2017.

Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Nik Hussein berkata, selain daripada pemberian insentif diskaun, syarikat juga menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke Pantai Timur di musim perayaan ini.

Pematuhan TTA dapat membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada masa yang sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan.

TTA membantu menyuraikan trafik di lebuh raya kerana lonjakan jumlah kenderaan di lokasi yang turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas pada musim perayaan, khususnya pada waktu-waktu puncak.

Sementara itu, Dato’ Nik Fauzi berkata untuk keselesaan pengguna dan kelancaran trafik di setiap plaza tol, pengguna disarankan untuk sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

“Untuk makluman, perkhidmatan tambah nilai di lorong tol beroperasi mengikut keadaan trafik. Sekiranya trafik mulai padat, operasi tambah nilai akan ditutup bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol”, kata Dato’ Nik Fauzi.

Lokasi tambah nilai kad Touch ‘n Go ialah di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) seperti berikut:

  1. Plaza Tol Gombak
  2. Plaza Tol Bentong
  3. Plaza Tol Karak
  4. Plaza Tol Temerloh
  5. Plaza Tol Kuantan

Waktu operasi ialah dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Pengguna juga dinasihati untuk merujuk kepada jadual TTA di laman web ANIH Berhad di www.anihberhad.com, mengikuti laman Twitter rasmi ANIH Berhad di @LPTTrafik atau Facebook di Lebuhraya Pantai Timur untuk informasi terkini.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.