Citroën DS3 Cabrio: Sensasi Pemanduan Tanpa Bumbung!

Tidak lama dahulu, Citroën mempunyai kehadiran yang kukuh di dalam negara. Antara model-model popular ialah BX, ZX, Picasso dan C3. Jenama dari Perancis itu juga terkenal dengan teknologi suspensi boleh laras automatik yang mendahului zaman. Paling menarik di dalam sejarah Citroën ialah syarikat itu merupakan pengeluar kereta pertama secara besar-besaran diluar Amerika Syarikat. Citroën wujud sudah lama iaitu sejak dari tahun 1919 lagi.

Kebelakangan ini walaupun dengan pengenalan model-model baharu dengan harga yang lebih rendah dari pengeluar Eropah lain, Citroën tetap gagal untuk kembali kepada zaman kegemilangannya. Saya pernah bertanya kepada seorang rakan iaitu editor terkenal majalah automotif, kenapa Citroën yang merupakan subsidiari Peugeot dan mempunyai model yang lebih kurang sama gagal untuk mendapat kepercayaan pembeli walaupun dengan harga yang lebih murah. Hakikatnya mungkin kerana penjenamaan yang tidak berkesan atau pembeli kurang yakin dengan khidmat pengedar menyebabkan jenama itu tenggelam tidak naik-naik.

Terkini, Citroën tempatan sudah bertukar pengedar dengan pelancaran semula model-model baharu. Persaingan akhirnya akan menguntungkan pengguna. Baru-baru ini Citroën UK melancarkan varian terbaru model popular mereka iaitu DS3 Cabrio. Dilancarkan hampir tiga tahun lepas, DS3 telah terjual sebanyak 200 ribu unit serata dunia. Secara kumulatif pula, famili DS yang terdiri daripada DS3, DS4 dan DS5 telah mencapai jualan sebanyak 300 ribu unit di seluruh dunia di dalam tempoh hanya 30 bulan. DS3 Cabrio mengekalkan ciri-ciri unik yang terdapat pada model DS3 hatchback dengan rekaan yang kompak, perkadaran dinamik, bumbung terapung dua tona dan tiang B ‘sirip ikan yu’ serta rupa depan yang menonjol dengan lampu LED yang merupakan signaturnya. Pada bahagian belakang ialah lampu 3D LED yang diinspirasikan daripada rekaan model konsep Citroën Revolte dan Survolt. Bahagian tengah lampu terdiri daripada 31 lampu LED dengan cermin reflektor separuh yang akan memantulkan cahaya dengan efek ‘infiniti’.

Memandangkan DS3 ini adalah versi Cabrio maka ciri paling menarik ialah bumbungnya yang boleh dibuka. Bumbung tersebut diperbuat daripada kanvas berkualiti dan dioperasikan sepenuhnya secara elektrik walaupun pada kelajuan 121 km/j. Ciri tersebut agak penting sebenarnya kerana jika hujan turun secara tiba-tiba atau pun panas terik pemandu boleh menutup atau membuka bumbung pada kelajuan tinggi. Bumbung kanvas itu boleh digunakan dengan tiga kedudukan iaitu sederhana, horizontal dan penuh dengan masa operasi buka dan tutup dalam hanya 16 saat. Walaupun bumbung dibuka dengan keadaan horizontal, penumpang belakang tetap dapat menikmati ruang bukaan tanpa halangan. Tidak hanya didatangkan dengan rekaan biasa, bumbung DS3 Cabrio ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu Hitam, Blue Infinite dan Moondust Grey DS Monogramme.

Dari segi casis, DS3 Cabrio sama seperti model hatchback cuma memandangkan ianya adalah model Cabrio beberapa pengukuhan telah dibuat pada bahagian belakang supaya lebih tegar. Walaupun model Cabrio ini tiada bumbung besi dengan hanya bumbung kanvas tetapi ianya lebih berat daripada model hatchback sebanyak 25kg. Penambahan berat itu sebenarnya agak ringan memandangkan tipikal model Cabriolet 100kg lebih berat berbanding model hatchback.

Untuk janaan kuasa pula, DS3 Cabrio boleh dibeli dengan tiga pilihan enjin petrol gred Euro V iaitu VTi 82, VTi 120 dan enjin paling ‘juara’ dan popular iaitu THP 155. Enjin VTi dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan manakala enjin THP 155 pula dengan transmisi enam kelajuan manual. Untuk mendapatkan pemanduan dengan penjimatan minyak, pemandu dibekalkan dengan Gear Efficiency Indicator (GEI) yang merupakan ciri standard pada model-model kereta masakini. Sistem keselematan kereta Eropah seperti biasa didatangkan dengan senarai penuh antaranya ABS dengan EBD, ESC, Emergency Brake Assist (EBA) dan sejumlah beg udara.

Orang kata, cuaca di Malaysia tidak sesuai untuk menggunakan kereta Cabriolet namun sebenarnya kereta jenis itu sudah lama dipasarkan di dalam negara. Peugeot misalnya tetap setia dalam memasarkan model itu cuma bumbungnya adalah jenis hard-top. Sukar agaknya DS3 Cabrio untuk dipasarkan di sini tetapi model-model Citroën lain tidak kurang hebatnya. Baru-baru ini Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa mengumumkan antara strategi penurunan harga kereta ialah dengan membenarkan banyak model di dalam sesebuah segmen. Citroën kini nampaknya ingin merebut kembali pasaran mereka. Pembeli pula lebih banyak pilihan yang meyakinkan dari pengeluar Eropah. Monopoli sesuatu jenama bukanlah suatu yang positif untuk pengguna.

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

1 comment

    • audi on 15/03/2013 at 3:47 PM
    • Reply

    Design DS ni suma lawa2, tp syg xfeymes cam kereta eropah lain mcm vw, peugeot..

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.