Boon Siew Honda Melancarkan Honda EX5 Dream FI

Honda EX5 Dream FI 2015.06 Boon Siew Honda baru-baru ini telah memperkenalkan model terbaharunya, Honda EX5 Dream FI yang merupakan generasi terkini siri EX5. Honda EX5 Dream FI kini lebih berkuasa, menawarkan prestasi dinamik, lebih pantas dan selamat, selain memiliki penampilan lebih sporty dan menarik. Ia turut mengekalkan ciri-ciri seperti praktikaliti, kualiti, penjimatan bahan api dan bernilai untuk wang. Ciri-ciri serba baharu dan dipertingkatkan pada Honda EX5 Dream FI telah direka khas untuk pasaran Malaysia. Model ini merupakan versi yang dinaik taraf daripada model EX5 Dream 110 yang dilancarkan pada tahun 2013. Ciri-ciri tersebut direka berdasarkan kepada maklum balas dan komen daripada pelanggan terhadap model EX5 Dream 110. EX5 Dream FI adalah edisi EX5 yang baharu dan telah ditambah baik. Ia merupakan model naik taraf daripada model EX5 110 yang dikenali dan telah dilancarkan dua tahun lalu. EX5 Dream FI ialah produk yang Boon Siew Honda boleh syorkan dengan penuh yakin kerana spesifikasinya direka berdasarkan kepada kehendak pelanggan. Honda EX5 Dream FI 2015.07 EX5 Dream FI ialah model cub pertama dalam kelasnya yang dipasang dengan teknologi baharu iaitu sistem enjin FI yang dibangunkan untuk meningkatkan kuasa serta penjimatan bahan api. Jadi, menunggang di lebuh raya dan jalan biasa pastinya lebih lancar berbanding sebelumnya. Menerusi penggunaan teknik kawalan elektronik, sistem pancitan bahan api (FI) membolehkan enjin hanya memerlukan nisbah udara-bahan api yang minimum. Hasilnya, ia mampu menawarkan prestasi yang mesra alam dan kualiti tunggangan lebih baik. Sistem FI biasanya digunakan pada motosikal berenjin lebih besar dan motosikal lumba seperti MotoGP untuk kawalan yang lebih efektif.

Menerusi kombinasi enjin 110cc dan sistem FI pada EX5 Dream FI, model baharu ini mampu menawarkan kuasa, pecutan dan penjimatan bahan api yang lebih tinggi. Tangki minyak berkapasiti 4.3L yang telah ditambah baik itu pasti dapat mengurangkan kekerapan mengisi petrol. Sekali gus menawarkan kemudahan kepada penunggang untuk perjalanan yang lebih jauh.   Boon Siew Honda turut menyatakan ciri-ciri keselamatan termaju yang ada pada model EX5 Dream FI. Rekaan yang mengasingkan lampu belakang dan lampu isyarat membelok membolehkan kenderaan lain dari arah belakang melihat penunggang EX5 Dream FI dengan lebih mudah. Panel meter dengan rekaan baru pula menampilkan tolok dan penunjuk yang lebih jelas dan mudah dilihat. Ciri ini memang berguna untuk mereka yang menunggang pada waktu malam dan di laluan yang gelap.

Honda EX5 Dream FI 2015.08

Dari segi penampilan pula, EX5 Dream FI direka agar kelihatan lebih moden dan bergaya. Penutup bahagian kepala yang tirus dengan logo krom memberikan tarikan yang menawan dan sporty. Penutup mufler krom pula bukan sahaja kelihatan lebih menarik, malah turut bertindak sebagai ciri keselamatan tambahan. EX5 Dream FI yang boleh didapati dalam tiga warna iaitu merah metalik (Euphoria Red Metallic), biru metalik (Vital Blue Metallic) dan ungu metalik (Mariana Purple Metallic). Harga di bilik pameran (motosikal sahaja) ialah  RM4299 (penghidup kaki). Boon Siew Honda yakin bahawa harga yang menarik dan ciri-ciri hebat ini akan memacu jualan EX5 Dream FI untuk mencapai sasaran 37,200 unit pada tahun ini.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.