BMW M3 Saloon dan BMW M4 Coupé : Model Ikonik BMW M

BMW M4 Coupe 2014.06

Pelancaran dua model baharu BMW M3 Saloon dan BMW M4 Coupé menandakan ketibaan generasi kelima kereta ikonik berprestasi daripada BMW M. Buat pertama kali, model Coupé dan Saloon mempunyai nama tersendiri berbeza dengan sebelum ini yang menggunakan nama model asas yang dinaiktaraf.

Buat pertama kali juga ialah penggunaan enjin pengecas turbo untuk model BMW M bersesaran 3.0 liter enam silinder sebaris yang dilengkapi dengan teknologi M TwinPower Turbo yang dibangunkan khusus untuk model itu dengan output kuasa 431hp. Kuasa tork pula setinggi 550Nm yang boleh digunakan dari serendah 1,850 rpm. Di sebalik peningkatan kuasa, penggunaan minyak dan emisi turun sekitar 25 peratus.

BMW M3 Saloon 2014.02

Berat model berprestasi itu turut dikurangkan sebanyak 80kg berbanding model sebebelumnya yang menyumbang kepada pengendalian yang dinamik dan kecekapan tenaga. Kaedah pengurangan berat badan yang dilakukan ialah dengan menggunakan lebih banyak peralatan yang ringan seperti bumbung yang diperbuat daripada bahan carbon-fibre reinforced plastic (CFRP). Konsep yang memandu pembangunan kereta ini adalah mudah iaitu berkuasa tinggi, berat yang rendah dan keseronokan pemanduan.

Para jurutera BMW M telah memberi perhatian kepada prestasi aerodinamik dan semasa membangunkan projek ini mereka berkerja rapat dengan pemandu profesional BMW Motorsport. Kedua-dua model itu menjalani ujian yang ekstensif dan talaan di lokasi yang bukan calang-calang iaitu di litar Nürburgring Nordschleife.

BMW M3 Saloon 2014.03

Jurutera turut memberi perhatian dalam mengoptimumkan pengaliran angin ke seluruh badan kereta untuk prestasi tinggi sementara memastikan enjin dan brek mendapat penyejukan yang diperlukan walaupun beroperasi dengan tekanan yang kuat di litar lumba. Peralatan aerodinamik seperti rekaan apron depan yang agresif, bawah badan kereta yang tertutup dan lip spoiler di belakang M3 Saloon atau bootlid spoiler pada BMW M4 Coupé mengurangkan angkatan kereta (lift) dengan jumlah yang sama pada bahagian depan dan gandar belakang seterusnya membantu dalam aspek pengendalian.

Enjin enam silinder sebaris baharu dengan pengecas turbo menjanjikan keseronokan kepada pemandunya. Konfigurasi enjin kedua-dua model M3 Saloon dan M4 Coupé sebenarnya berpatah balik kepada enjin klasik enam silinder sebaris seperti yang digunakan pada model generasi kedua dan ketiga model sport itu. Berbanding enjin V8 pada model sebelum ini, kuasa enjin baharu dinaikkan sedikit kepada 431hp manakala tork puncak berjaya ditingkatkan kira-kira 40 peratus kepada 550Nm. Memacu kepada 100km/j hanya mengambil masa sebanyak 4.3 saat dengan transmisi manual manakala dengan transmisi M DCT pula hanya mengambil 4.1 saat. Kelajuan maksimum kereta berprestasi ini ialah 249km/j dengan sekatan elektronik.

BMW M4 Coupe 2014.08

Nadi kuasa M Twin Power Turbo terletak pada dua pengecas turbo mono-scroll, sistem pancitan kejituan tinggi, pemasa injap boleh ubah VALVETRONIC dan pemasa aci sesondol boleh ubah Double-VANOS. VALVETRONIC dan Double-Vanos bergerak secara gandingan dalam mengawal injap masukan. Hasilnya ialah penghantaran kuasa lebih lancar dan cekap, respon enjin yang pantas dan menariknya penggunaan minyak dan bahan api berkurangan.

Suspensi Adaptive M yang didatangkan sebagai pakej standard di UK mempunyai beberapa seleksi bagi menyesuaikan permukaan jalan. Pemandu boleh melaras suspensi mengikut pilihan COMFORT, SPORT dan SPORT+ dengan talaan paling selesa untuk jalan biasa atau keras sedikit untuk jalan berliku atau SPORT+ untuk pemanduan di litar lumba. Mode SPORT+ berfungsi dengan meminimumkan pergerakan badan kereta dan memaksimum ciri-ciri dinamik semasa di litar lumba.

Newspress

@muhd_gt

Muhammad

Kata Anda//