BMW 740Le xDrive kini dipasaran – RM598K

BMW Group Malaysia baru-baru ini memperkenalkan BMW 740Le xDrive Serba Baharu yang merupakan varian terkini BMW 7 Series di Malaysia. BMW 7 Series Hybrid Serba Baharu dengan Teknologi eDrive kini menawarkan inovasi yang mendahului industri daripada BMW i ke dalam limosin mewah dan moden di Malaysia.

Ia menjadi peneraju dalam segmen mewah melalui Keseronokan Pemanduan Elektrik daripada teknologi BMW eDrive. BMW 740Le xDrive dipasarkan pada harga RM598,000 (di atas jalan tanpa insurans).

Ketika memperkenalkan BMW 740Le xDrive Serba Baharu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Sejak diperkenalkan pada awal tahun lalu, BMW 7 Series telahpun mendefinisikan semula idea memandu sedan mewah dalam dunia automotif premium, ia juga membawa pulang anugerah World Luxury Car of the Year 2016. Di Malaysia, kami sudah menyerahkan lebih 600 unit BMW 7 Series sejak ia diperkenalkan. Ia jelas membuktikan tarikan limosin mewah ini. Kini, BMW 7 Series Hybrid Serba Baharu dengan Teknologi eDrive bukan sahaja menetapkan penanda aras yang lebih tinggi, malah menawarkan pelanggan dengan teknologi BMW eDrive paling maju yang telah kami bangunkan melalui kepakaran BMW i.”

Ketua Jualan BMW Malaysia, Raymond Tan berkata, “BMW 7 Series Hybrid Serba Baharu dengan Teknologi eDrive sememangnya hadir ke dalam portfolio BMW iPerformance yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia pada masa yang tepat. Terutama ketika kejayaan luar biasa dicatat oleh varian-varian BMW 3 Series dan BMW X5 yang telah diperkenalkan pada tahun lalu.”

“BMW X5 xDrive 40e dan BMW 330e yang diperkenalkan pada tahun lalu jelas membuktikan bahawa wujud permintaan serta keperluan ke atas kenderaan premium yang bukan sahaja menawarkan yang terbaik dari segi keselesaan, dinamik pemanduan dan prestij, malah menjadi peneraju dalam aspek kecekapan dan inovasi. Sehingga kini, kami telah menyerahkan lebih 2,500 unit BMW 330e dan lebih 2,000 unit BMW X5 xDrive 40e kepada pelanggan di seluruh negara,” kata Tan.

Reka bentuk: Elegan dan penuh emosi, mobiliti yang berpandangan jauh.

Gabungan di antara kemewahan moden pada BMW 7 Series dan falsafah masa depan BMW i dijelaskan ke dalam BMW 740Le xDrive Serba Baharu. Sekali gus menjadikan limosin mewah ini sebagai ikon dan mobiliti yang berpandangan jauh.

Ciri-ciri khas yang menyerlahkan keupayaan pemanduan inovatif sebuah BMW 740Le xDrive Serba Baharu dengan Teknologi eDrive termasuklah lencana eDrive pada tiang C dan logo BMW i pada panel sisi hadapan limosin ini.

BMW 740Le xDrive Serba Baharu hadir dengan penampilan yang hebat menerusi tapak roda dan perkadaran seperti model sebelumnya. Seterusnya mengekalkan kedudukannya sebagai model sedan paling besar yang pernah dibina oleh BMW sehingga kini.  Gaya yang elegan itu disempurnakan lagi dengan satu set rim aloi ringan jejari berkembar bersaiz 19 inci.

Terbaik dari dua dunia: Kepakaran BMW eDrive dan teknologi BMW TwinPower Turbo.

BMW 740Le xDrive Serba Baharu menggabungkan inovasi terbaik enjin pembakaran dalaman dan sistem pacuan elektrik untuk menawarkan prestasi mengujakan bersama penjimatan bahan api serta emisi yang ketara. BMW 740Le xDrive Serba Baharu dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 2.0 liter dengan kepakaran BMW TwinPower Turbo yang diambil daripada keluarga enjin EfficientDynamics BMW Group. Menjadi enjin paling berkuasa pernah dipasang pada model siri keluaran BMW, enjin pembakaran dalaman itu mampu menjana kuasa maksimum 258hp dengan tork puncak 400Nm.

Dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang telah dioptimumkan, BMW 740Le xDrive Serba Baharu berupaya mencatat kelajuan maksimum 250km/j. Enjin baharu itu juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi seperti pengecas turbo TwinScroll yang diintegrasikan ke dalam pancarongga ekzos besi tuang, Pancitan Berketepatan Tinggi dengan tekanan maksimum 200 bar, double-VANOS untuk hamburan tork dan kuasa lebih padu, serta versi terkini teknologi VALVETRONIC paling maju.

Manakala kepakaran eDrive pula diambil daripada pengetahuan BMW i yang berpegang kepada prinsip motor segerak. Ini membolehkan kereta mencapai output maksimum 113hp dan tork 250Nm dalam mod pemanduan elektrik sepenuhnya. Jarak pemanduan elektrik BMW 740Le xDrive Serba Baharu adalah berdasarkan kepada kitaran 41KM New European Driving Cycle (NEDC).

Enjin pembakaran dalam ini patuh mengikut arahan pemandu dengan maklum balas yang mengasyikkan. Diintegrasikan sepenuhnya dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan, motor elektrik juga bertindak sebagai generator yang berfungsi sama ada dengan mengalihkan beban enjin atau menyimpan kembali tenaga ketika membrek – bergantung kepada mode hibrid yang dipilih. Tenaga yang dijana kemudian disalurkan ke dalam bateri bervoltan tinggi.

Gabungan enjin pembakaran dalaman dan sistem pacuan elektrik menawarkan output mencecah 326hp dan tork puncak 500Nm. Hasilnya, pecutan serta merta dan kuasa dinamik setiap kali pedal minyak ditekan. Ini membolehkan sedan plug-in hybrid ini memecut dari 0 – 1000km/j dalam masa hanya 5.3 saat.

Butang eDrive yang diletakkan di konsol tengah membolehkan pemandu menentukan konfigurasi sistem pacuan plug-in hybrid. Dalam mode AUTO eDrive, enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik diselarikan secara pintar untuk memaksimumkan pemanduan bebas emisi – ia hanya akan mengaktifkan enjin pembakaran dalaman pada kelajuan sekitar 80km/j atau apabila pendikit minyak ditekan keras. Pemanduan elektrik sepenuhnya ditawarkan dalam mode MAX eDrive di mana kereta digerakkan oleh motor elektrik. Biarpun begitu, enjin pembakaran dalaman boleh diaktifkan dengan menekan pendikit minyak. Akhir sekali, ciri Battery Control membolehkan pemandu untuk mengaktifkan penggunaan bateri bervoltan tinggi secara manual dengan menetapkan jumlah caj untuk digunakan dalam perjalanan nanti.

Pengalaman Pemanduan Khas dengan mode ADAPTIVE dan BMW xDrive buat pertama kalinya dalam sebuah sedan.

BMW 740Le xDrive Serba Baharu membawakan ciri Driving Experience Control – boleh diaktifkan menerusi satu suis pada konsol tengah – ke satu tahap baru melalui pengenalan mode ADAPTIVE yang menetapkan maklum balas kereta mengikut gaya dan profail laluan pemandu. Sementara mode-mode seperti ECO PRO, COMFORT dan SPORT telah dipertingkatkan untuk menyerlahkan lagi komposisi pemanduan yang dinamik, selesa dan efisien yang mempengaruhi pengalaman memandu.

Aspek Sheer Driving Pleasure menerusi sistem BMW xDrive dipertingkatkan lagi apabila ia dipasang buat pertama kalinya ke dalam model sedan BMW di Malaysia.  Sistem pacuan semua roda pintar itu merupakan sistem pacuan semua roda paling fleksibel dalam segmennya. xDrive beroperasi secara proaktif serta membolehkan kuasa diagihkan ke roda hadapan dan belakang mengikut keperluan. Malah, sistem ini mampu menyalurkan hampir 100% kuasa ke setiap roda. Ini menawarkan cengkaman maksimum, tujahan optimum dan pemanduan dinamik yang sangat tepat kepada BMW 740Le xDrive Serba Baharu.

Ruang dalaman: Rekaan istimewa untuk keselesaan luar biasa.

Reka bentuk yang berpandangan jauh dan fungsi kreatif diserlahkan pada ruang kabin BMW 740Le xDrive Serba Baharu. Bakal pembeli boleh menjangkakan inovasi sama yang ditawarkan pada penerima anugerah World Luxury Car of the Year 2016, termasuklah ciri BMW Touch Display pada monitor dan BMW Gesture Control.

Atmosfera ruang kabin ini juga diperkaya dengan Rekaan Lampu Ambien yang merangkumi Welcome Light Carpet pada bahagian hadapan pintu depan yang mengalu-alukan kedatangan pemandu dan penumpang ke dalam kereta. Sementara lampu ambien di dalam kereta pula menawarkan enam warna dan mood berbeza. Sama seperti BMW 7 Series generasi keenam, BMW 740Le xDrive Serba Baharu turut menampilkan bumbung kaca panoramik Sky Lounge yang dipasang dengan lebih 15,000 butiran lampu LED.

Beralih ke bahagian belakang kereta, unit kawalan BMW Touch Command diletakkan di konsol tengahnya – ini merupakan satu lagi inovasi yang mengubah segmen kenderaan mewah. Sebagai tablet bersaiz 7 inci pertama yang boleh dialih keluar dan disambung dengan sistem kenderaan, penumpang kini boleh mengakses semua fungsi hiburan dan ciri keselesaan yang ada.

Ketika anda dihiburkan dengan sistem bunyi yang terdiri daripada 16 unit pembesar suara bunyi keliling 600w Harman Kardon, keselesaan dipertingkatkan lagi dengan tempat duduk yang dibina bersama pelarasan elektrik untuk pemandu dan penumpang hadapan. Tempat duduk penumpang belakang juga tidak kurang selesanya dengan fungsi lapan program urutan, termasuklah program Vitality.

Autoriti dengan aplikasi BMW Connected app.

Arahan ke atas sedan plug-in hybrid mewah baharu ini boleh dibuat menerusi aplikasi BMW Connected. Ia bukan sahaja membolehkan pemandu untuk memantau prestasi kereta, malah menentukan atmosfera ruang kabin. Melalui aplikasi BMW Connected, pemandu boleh meningkatkan keselesaan ruang dalaman kenderaan dengan mengawal fungsi pendingin hawa menggunakan telefon pintar.

Aplikasi BMW Connected juga membolehkan pengguna memantau tahap caj bateri bervoltan tinggi, lokasi stesen pengecasan, jarak menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya dan jumlah petrol yang dapat dijimatkan.

Pelbagai status data kenderaan dan operasi fungsi terpilih juga boleh dikendalikan oleh BMW Display Key melalui ciri Touch Display bersepadunya.  Pemandu boleh memeriksa takat minyak di dalam tangki, jarak terkini kenderaan, status caj, status sistem kunci berpusat, tingkap dan bumbung kaca, mengetahui masa serta mengaktifkan sistem pendingin hawa dan ventilasi dari dalam kenderaan.

Kecekapan luar biasa digabungkan dengan ciri keselamatan menyeluruh dan teman ketika memandu untuk pengalaman yang lebih baik.

Kelincahan prestasi sedan ini disempurnakan lagi dengan penjimatan bahan api dan emisi yang sangat rendah daripada BMW iPerformance. Memanfaatkan Teknologi BMW eDrive yang diambil daripada kepakaran BMW i, BMW 740Le xDrive Serba Baharu mencatatkan penggunaan bahan api cuma 2.5l/100km dan emisi CO2 56g/km. Penggunaan tenaga elektrik oleh sedan ini juga cukup mengagumkan iaitu 13.9 kWh bagi setiap 100km.

Kecanggihan teknologi chasis yang menjadi asas kepada kepakaran BMW eDrive diserlahkan melalui dinamik keselesaan yang boleh diubah suai. Sebagai varian BMW iPerformance, chasis BMW 740Le xDrive Serba Baharu terdiri daripada dua gandar suspensi udara dengan pelarasan ketinggian automatk dan Kawalan Peredam Dinamik yang menawarkan tahap keselesaan terbaik.

Aspek keselamatan pula hadir dalam rangkaian peralatan yang merangkumi beg udara hadapan dan sisi, beg udara bahagian kepala/curtain pada tempat duduk hadapan dan belakang, beg udara untuk lutut pemandu, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang dan Sistem Perlindungan Aktif – serta banyak lagi.

Turut ditawarkan pada sedan plug-in hybrid mewah ini ialah BMW ConnectedDrive serta pelbagai sistem bantuan pemanduan, termasuklah paparan head-up terbaru BMW, Parking Assistant, Driving Assistant Plus dan sistem Surround View.

Opsyen mengecaj dengan BMW 360° ELECTRIC.

Dengan kapasiti tenaga kasar mencecah 9.2 kWh, bateri lithium-ion bervoltan tinggi pada BMW 740Le xDrive Serba Baharu boleh dicaj semula menggunakan soket kuasa domestik. Manakala caj penuh menggunakan BMW i Wallbox Connect boleh dicapai dalam masa kurang lima jam. Proses mengecaj boleh diuruskan sama ada menerusi aplikasi BMW Remote pada telefon pintar atau grafik dalam kluster instrumen kereta.

Sebagai sebahagian daripada program BMW 360° ELECTRIC, para pemilik BMW 740Le xDrive Serba Baharu telah menyertai pembeli BMW i8, BMW 330e dan BMW X5 xDrive40e untuk menikmati akses mudah ke rangkaian 181 stesen ChargEV milik GreenTech Malaysia di seluruh negara melalui servis mobiliti BMW ChargeNow.

BMW 740Le xDrive Serba Baharu didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), biru (Imperial Blue), putih (Mineral White) dan kelabu (Sophisto Grey). Pada bahagian dalam pula, upholsterinya ialah kulit Nappa yang eksklusif bersama kemasan kayu berwarna kelabu (Poplar Grain Grey).

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.