Feb 01

BMW 118i M Sport dan BMW 330e M Sport Baharu sempena sambutan CNY@BMW

  • BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW 118i M Sport dan BMW 330e M Sport baharu sempena sambutan CNY@BMW.
  • Model hatch kompak 118i dan BMW 3 Series Hybrid tampil lebih sporti melalui pakej M Sport.

BMW Group Malaysia mengumumkan pengenalan dua model M Sport baharu – BMW 118i M Sport dan BMW 330e M Sport. Kedua-dua kereta itu diperkenalkan sempena kempen CNY@BMW yang sedang berlangsung di semua pengedar BMW di seluruh negara.

Sewaktu memperkenalkan varian terbaharu daripada BMW Group Malaysia itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata,

“BMW 1 Series kekal menjadi satu-satunya kereta dengan sistem pacuan roda belakang dalam segmennya. Kereta ini bukan sahaja sporti dan dinamik malah berpegang teguh kepada janji kami iaitu Sheer Driving Pleasure. BMW 330e pula ialah varian baharu sedan sports premium yang kami perkenalkan pada acara BMW Innovations Day baru-baru ini. Kini ia tampil dengan lebih prestasi bagi melengkapkan lagi teknologi yang diambil daripada BMW i.”

Luaran BMW 118i M Sport dan BMW 330e M Sport.

BMW 118i M Sport dan BMW 330e M Sport baharu hadir bersama pakej M Aerodynamics, Suspensi M Sport dan rim aloi ringan M bersaiz 18 inci memberikan kedua-dua jentera itu penampilan sporti dan berprestasi tinggi.

Kedua-dua model itu dipasang dengan gril double kidney BMW bersama kerangka krom. Gril tersebut berwarna hitam berkilat untuk memberikan gaya yang lebih agresif. Gaya sporti jentera ini disempurnakan lagi dengan jalur BMW Individual berkilat dan logo M pada panel sisi untuk menyerlahkan sisi dinamiknya.

Bukan itu sahaja, lampu utama serta lampu kabus pada BMW 118i M Sport and BMW 330e M Sport didatangkan dengan butiran unit LED. Ia juga dilengkapi sistem Comfort Access sebagai ciri standard.

BMW 330e M Sport mengekalkan fungsi tambahan yang berguna seperti kamera undur dan Bumbung Kaca Elektrik.

Ruang Kabin BMW 118i M Sport dan BMW 330e M Sport.

Elemen M Sport dapat dilihat dengan jelas di ruang kabin kedua-dua jentera seperti jalur berwarna biru pada papan pemuka, stereng M yang dibalut kulit bersama butang sport dan multi fungsi. Tidak ketinggalan kemasan bumbung BMW Individual berwarna hitam dan tempat duduk sports elektrik dengan fungsi memori untuk pemandunya.

BMW ConnectedDrive

Bagi menawarkan lebih keselesaan dan kemudahan, BMW 330e M Sport dilengkapi fungsi Park Assist yang membolehkan kereta diparkir sendiri. Kedua-dua buah kereta ini dipasang dengan Navigation System Professional yang hadir bersama paparan 3D beresolusi tinggi dan monitor bersaiz 8.8 inci.

Sebagai tambahan, varian baharu ini didatangkan dengan fungsi BMW ConnectedDrive. Ia menawarkan pelbagai ciri yang mendahului pesaingnya dalam industri menerusi perkhidmatan seperti Intelligent Emergency Call, Teleservices, Concierge Services dan Remote Services.

Intelligent Emergency Call – Panggilan automatik jika berlaku kemalangan atau kecemasan

Intelligent Emergency Call berfungsi dengan membuat panggilan secara automatik dan menghantar bantuan dengan pantas jika berlaku kemalangan atau kecemasan. Ini bagi memastikan penumpang dan pemandu kenderaan menerima bantuan sebaiknya secepat mungkin.

Rangkaian alat pengesan di sekeliling kenderaan boleh berkomunikasi dengan Pusat Panggilan BMW apabila berlakunya kemalangan. Dengan bantuan GPS, kakitangan pusat panggilan BMW akan menerima data lokasi kenderaan yang tepat, seterusnya menghantar unit kecemasan terdekat untuk memberi bantuan perubatan sewajarnya kepada mangsa.

Panggilan kecemasan juga boleh dibuat dengan menekan butang SOS di dalam kereta.

BMW Teleservices – Sistem penghantara data ke pusat servis

BMW Teleservices pula berfungsi dengan menghantar data yang relevan dengan servis secara automatik daripada kereta ke Pusat Servis BMW apabila tempoh servis semakin hampir. BMW Service Partner boleh mengakses data kenderaan, menilai semua informasi yang relevan dan menyediakan masa lawatan kenderaan ke bengkel secara efektif.

BMW Concierge Services

BMW Concierge Services ibarat fungsi ‘pembantu peribadi’ yang boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang. Sama ada ingin mencari ATM, restoran atau hotel terdekat, agen-agen di pusat panggilan BMW dari Concierge Services sentiasa ada untuk memberi bantuan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Program ini merupakan yang pertama seumpamanya ditawarkan dalam industri.

Remote Services dan eDrive Services

BMW 118i M Sport turut menawarkan fungsi Remote Services sebagai satu ciri standard. Manakala BMW 330e M Sport hadir dengan ciri eDrive Services sebagai tambahan kepada fungsi Remote Services. Ciri itu membolehkan interaksi dengan kenderaan dibuat menerusi BMW Connected App pada peranti mudah alih.

Pengguna boleh mengawal beberapa fungsi seperti lampu, hon dan memeriksa status takat minyak kenderaan. Khas untuk BMW 330e M Sport, BMW Connected App membolehkan sistem pendingin hawa kenderaan diaktifkan dari jauh, selain menyediakan status pengecasan bateri.

Warna, Waranti dan Harga BMW 118i M Sport dan BMW 330e M

BMW 118i M Sport dan BMW 330e M Sport hadir dalam warna-warna seperti hitam (Black Sapphire), kelabu (Mineral Grey), biru (Estoril Blue) dan putih (Alpine White).

BMW 330e M Sport baharu boleh didapati di semua pengedar BMW di seluruh negara mulai hari ini. BMW 118i M Sport pula akan mula ditawarkan pada Isnin, 13 Februari 2017.

Harga runcit (di atas jalan, tidak termasuk insurans dengan Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama 5 Tahun, Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW) ialah:

BMW 118i M Sport – RM 188, 800.00

BMW 330e M Sport – RM 258, 800. 00

CNY@BMW

Sepanjang dua hujung minggu iaitu pada 4-5 dan 11-12 Februari, BMW Group Malaysia meraikan kedatangan Tahun Baru Cina di semua pengedar sah di seluruh negara. Para pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti untuk seluruh keluarga seperti berikut:

  • Feather Painting (melukis bulu burung)
  • Sandalwood Fan Artistry
  • Chinese Round Fan Painting
  • Mask Painting (melukis topeng)
  • Chinese Kite Artistry (seni layang-layang Cina)
  • Lion Head Making
  • Watercolour Painting (mewarna dengan cat air)
  • Kaligrafi Cina

Semua pengedar sah BMW di seluruh negara sedang menganjurkan program ‘Cabutan Bertuah pandu Uji’ hingga Ahad, 12 Februari 2017.

Pengunjung yang memandu uji mana-mana model BMW boleh turut serta dalam cabutan bertuah itu dan berpeluang memenangi hadiah mencecah RM88,888 untuk membeli sebuah kereta BMW baharu.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.