BIASISWA PROTON UNTUK 30 PELAJAR IPTA DAN IPTS

SHAH ALAM, 14 Februari 2012 – Seramai 30 orang pelajar hari ini dianugerahkan biasiswa daripada syarikat pengeluar kereta nasional PROTON, bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan, perakaunan, ekonomi dan komunikasi ke 14 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terpilih di seluruh negara.

Penyampaian biasiswa tersebut telah disempurnakan oleh Penasihat PROTON, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu majlis yang diadakan hari ini. Turut hadir di majlis penyampaian biasiswa tersebut ialah YBhg Dato’ Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, Pengerusi PROTON, YBhg Dato’ Jaafar Indot selaku Pengerusi YAYASAN PROTON, dan Encik Suhaimi Sulong, Pengarah Kumpulan Sumber Manusia PROTON.

Sebanyak RM 2 juta telah diperuntukkan oleh YAYASAN PROTON, bagi membiayai kos pengajian kesemua 30 pelajar yang terpilih ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Jumlah peruntukan ini juga merangkumi yuran pengajian keseluruhan, elaun sara hidup, elaun buku dan tempat tinggal.

Biasiswa YAYASAN PROTON memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, anak-anak kakitangan PROTON dan pelajar yang mendapat keputusan akademik yang cemerlang. Bagi Tahun Kewangan 2011/2012, YAYASAN PROTON telah menerima sebanyak 404 permohonan, di mana seramai 236 pelajar telah disenarai pendek untuk ditemuduga bagi peringkat pertama dan seramai 99 pelajar dipanggil menghadiri temuduga bagi peringkat kedua.

Penerima-penerima biasiswa YAYASAN PROTON bagi penggal 2011/2012, kini menuntut di 14 IPTA dan IPTS iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Petronas (UTP), University Malaysia (UM), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Penganugerahan biasiswa-biasiswa ini, bertujuan untuk memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tetapi mempunyai pencapaian akademik cemerlang, memperolehi peluang yang sewajarnya untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat ijazah,” kata Encik Suhaimi Sulong, Pengarah Kumpulan Sumber Manusia PROTON.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberi keutamaan terhadap kebajikan serta menaik taraf dan membantu golongan berpendapatan rendah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Ia juga menggariskan komitmen PROTON, terhadap usaha negara untuk membina modal insan yang lebih mantap dan berkaliber melalui program pendidikan.” Ujar beliau lagi.

YAYASAN PROTON telah dipertanggungjawabkan oleh PROTON, untuk mentadbir dana bagi tujuan pendidikan, sains dan amal, selain mendorong untuk memajukan pendidikan bagi semua aliran yang diluluskan di bawah undang-undang pendidikan.

YAYASAN PROTON juga turut menghulur bantuan kewangan ke sekolah-sekolah terpilih melalui program Sekolah Angkat YAYASAN PROTON. Program ini ditubuhkan bagi membantu dan memberikan peluang kepada anak-anak daripada golongan miskin, yatim piatu dan mereka yang memerlukan, untuk sama-sama memperolehi pendidikan yang berkualiti dan seterusnya dapat mengubah nasib keluarga melalui kejayaan cemerlang dalam pendidikan.

Sejak penubuhannya pada tahun 1994, sejumlah RM 12 juta telahpun diperuntukkan di mana seramai 140 pelajar telah menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah. YAYASAN PROTON juga telah menyampaikan hadiah saguhati berbentuk wang tunai dan sijil kepada 292 pelajar lulusan PMR dan 86 pelajar lulusan UPSR di bawah program Pencapaian Akademik Cemerlang semenjak tahun 2006.

Sementara itu, seramai 45 pelajar di peringkat diploma dan 36 pelajar di peringkat ijazah, telah menerima wang tunai saguhati berjumlah RM1,000 dan RM2,000 di bawah Skim Bantuan Pembelajaran YAYASAN PROTON sejak tahun 2006.

Muhammad

4 Comments

  1. kalau nak apply lagi boley x???
    saye ni student IPTS yg lama dah minat nak sambung degree then nak keje ngan Proton…
    ada lagi ke???

Kata Anda//