Jul 19

BARISAN SELEBRITI TERIMA SIJIL PEMANDUAN DARI TRD JEPUN – BAKAL BERLUMBA DALAM TOYOTA VIOS CHALLENGE

Toyota Vios Challenge

Dengan kesungguhan, kemahiran memandu yang dipelajari serta sijil kelayakan dari Toyota Racing Development (TRD) dari Jepun, seramai 24 orang pemandu perlumbaan kini telah tamat pengajian mereka di Sekolah Perlumbaan Vios Challenge.

Mereka kini bersedia untuk mempamerkan bakat dan pengalaman yang ditimba itu di dalam perlumbaan sulung Vios Challenge.

Perlumbaan Vios Challenge adalah acara utama Festival Toyota GAZOO Racing (TGR) pada 12 dan 13 Ogos akan datang bertempat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang

Toyota Vios Challenge

24 pemandu ini telah diberi kursus pengenalan wajib di mana mereka mempelajari perkara asas seperti protokol keselamatan dan perlumbaan, teknik yang betul untuk mengendalikan kenderaan dan cara terbaik untuk mengekalkan garisan lumba.

Pelajar kursus dibekalkan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai perlumbaan dengan selamat untuk menyertai perlumbaan sulung pada bulan hadapan.

Antara pelajar yang telah menamatkan pengajian dan menerima sijil mereka daripada Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy ialah lapan pelumba selebriti iaitu pelakon Fattah Amin, Diana Danielle, Shukri Yahaya dan Janna Nick, penyanyi Geraldine Gan dan Danny Koo, penulis blog Venice Min serta beatboxer Shawn Lee.

Turut menerima sijil yang sama ialah Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama yang akan menyertai para selebriti di dalam Kategori Promosi ketika perlumbaan Vios Challenge ini berlangsung.

Toyota Vios Challenge

Bercakap pada majlis pentauliahan itu, Ravindran percaya bahawa sukan permotoran adalah satu cara berkesan untuk membangunkan bakat manusia selain kemampuan jentera lumba. “Mencapai kejayaan di dalam litar perlumbaan adalah untuk mengetahui batas dan mencari keseimbangan diantara kedua-dua individu dan jentera lumba secara kolektif.

“Tiada komponen yang boleh melebihi antara satu sama lain. Dengan melengkapi semua pemandu ini kemahiran untuk berlumba, kami berharap mereka dapat memanfaatkan kelebihan dan potensi sebenar kereta lumba Toyota Vios dengan selamat dan secara bertanggungjawab ketika di dalam litar,” ujar beliau.

Bagi memastikan perlumbaan Vios Challenge ini dijalankan secara berkesan dan lebih selamat kepada semua pemandu selain memberikan pengalaman menonton yang lebih mengujakan kepada peminat sukan permotoran, Vios Challenge dibahagikan kepada tiga kelas perlumbaan.

  • 10 pelumba akan bersaing di dalam Kategori Super Sporting
  • 17 pelumba lagi akan bersaing di dalam Kategori Sporting
  • Baki 10 orang pelumba yang lain pula akan menyertai Kategori Promosi

Setiap kategori akan mempunyai dua pusingan dengan mata akan diberikan bagi kedudukan tertinggi untuk setiap pusingan.

Kawasan sekitar Stadium Batu Kawan direka khusus sebagai litar dengan jarak 1.65km mengikut bentuk stereng lumba arah pusingan jam. Ia mempunyai sembilan selekoh dengan laluan lurus terpanjang merangkumi 156m,yang mampu memberikan cabaran perlumbaan sebenar.

Festival berkenaan turut dibuka kepada umum secara percuma dengan pelbagai aktiviti lain seperti pertunjukan drift, trak makanan, sesi pandu uji dan penampilan istimewa model terbaru akan datang iaitu Toyota C-HR.

Selain itu, buat mereka yang berminat dengan kereta yang digunakan dalam perlumbaan, UMW Toyota Motor turut menawarkan versi replika yang diberi nama Toyota Vios Sports Edition.

Model istimewa ini mempunyai beberapa kelengkapan sama dengan versi perlumbaan seperti kit badan dengan spoiler tinggi dan grafik kereta. Turut eksklusif ialah suspensi sports yang dapat membantu kestabilan, kerusi balutan khas, alas kaki dengan logo Sports Edition, lampu ruang kaki hadapan serta plat khas dengan iluminasi pada ambang pintu.

Pemilik juga diberikan barangan ekslusif Sports Edition iaitu t-shirt polo dengan sulaman nama peribadi, topi dan gelas.

Toyota Vios Sports Edition dibina berasaskan Vios J automatik dan dipasarkan pada harga RM 85,300, tanpa insurans. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perjalanan. (tertakluk kepada terma dan syarat).

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.