Balik Raya Punya Cerita 2015 : Kisah Dan Teladan

Proton Iriz Penang 2014.13

Sedar tak sedar, rupanya ini adalah kali kelima gua menulis Balik Raya Punya Cerita [BRPC] dalam GT ini. Lama jugalah gua bertindak sebagai Skru Gantian. Dan menulis entri BRPC ini dah seumpama menjadi rutin tahunan yang tak harus dilepaskan untuk berkongsi cerita dan kisah. Moga ianya bermanfaat kepada semua. Memandangkan ini kali kelima, rasanya macam tak berapa seronok pula untuk gua menulis serupa tahun-tahun sudah. Bagi menampilkan sedikit kelainan, izinkanlah gua menulis gaya seorang blogger..eceh.

Persediaan Sebelum Pulang Beraya

Keyakinan gua bahawasanya rakyat Malaysia sudah semakin celik kereta tentang penjagaan & penyelenggaraan kereta sebenarnya amat-amatlah tinggi. Jadi, gua tidak mahu ulas bab ini. Masing-masing sudah besar panjang. Kemalangan jalanraya yang berlaku di pelusuk negara ini pun jarang sangatlah yang berpunca daripada kegagalan jentera untuk berfungsi dengan sebaiknya. Lebih kepada sikap dan cara pemanduan kita yang sebetulnya menjadi punca, iya tak?

Gua syak, ramai yang memilih untuk pulang beraya bermula Selasa malam sehinggalah ke malam Hari Raya. Maka, sudah tentulah fizikal serta mental pemandu harus berada pada tahap yang cemerlang lagi terbilang untuk memandu pada waktu kelam yang mana kadar visual mata serta kemahiran mengagak berapa jauh kereta yang berada di belakang akan menurun dengan begitu drastik. Rehat sang pemandu kena cukup. Pastikan juga PowerBank yang baru dibeli secara atas talian telah dicas secukupnya bagi kegunaan mengecas semula gadjet milik anak-anak. Iyalah, nak tempuh jem yang dasyat ini, sudah tentu dengan gadjet mampu mendiamkan anak-anak kecil kita, iya tak? Bekalan untuk sahur juga jangan dilupakan memandangkan kawasan Rawat & Rehat pasti dipenuhi dengan umat Islam yang lain juga ingin bersahur. Dengan ada bekalan, sudah tentu perasan khuatir makan secara berdiri tidak wujud sama sekali. Berhenti tepi jalan dalam keadaan selamat, dan selamat bersahur!

Jom Bertolak Sekarang

Setelah selesai membaca doa moga perjalanan pulang ke kampung dipermudahkan, maka bolehlah bertolak sekarang. Tali pinggang keselamatan pun jangan buat-buat lupa pula. Sebelum menghampiri Plaza Tol, tolonglah buat isian semula Kad Touch N Go dan mengisi petrol terlebih dahulu. Karang bila dah beratur panjang, mood nak pandu kereta pun dah lari sikit, iya tak? Sewaktu  mula memasuki lebuhraya, silalah tingkatkan tahap keberhati-hatian sehingga ke 150%. Genggam stereng dengan kedua belah tangan dan jangan nak gatal tangan sebelah lagi sibuk nak mengemaskini status FB “Menuju ke kampung tercinta. Moga selamat sampai..”. Bila memandu dalam keadaan kelam begini, rasa seperti mahu disorongkan bantal memang tidak dapat dinafikan. Jadi, jikalau tidak ingin berada di atas katil Wad Kecemasan, berhentilah berehat sebentar untuk mengecas semula tenaga di tempat yang sepatutnya.

Bila memasuki kawasan lebuhraya, had kelajuan ERL jangan sesekali dicontohi. Selain daripada menghormati orang tua, kita juga disarankan untuk menghormati had kelajuan kebangsaan. Tapi kebiasaannya musim perayaan sebegini, keadaan di lebuhraya cenderung untuk bertukar menjadi parkir bergerak. Silalah tingkatkan kesabaran sekali lagi. Lorong kecemasan yang sedia terhidang di sebelah kiri itu jangan sesekali dicuba atau dirasa. Cuba elakkan aliran tunai mengalir ke kerajaan melalui Saman Trafik. Buat belanja beli susu anak pun ada afdalnya juga.

Sewaktu memandu tu pula, pandulah dengan tenang. Berikan jarak yang sewajarnya dengan kenderaan di hadapan. Kalau kenderaan dah mula cucuk rapat, elok juga anda mengalah dan memberikan laluan. Tak ruginya beralah. Dan bila dah sesak tu, perangai suka menukar lorong kejap ke kiri, kejap ke kanan usahlah diamalkan. Cukup 40 orang sumpah, alamatnya ke longkong tepi lebuhraya nak istigfar pun tiada gunanya.

Ada Masalah Pula, Bagaimana?

Sekiranya perjalanan pulang ke kampung terdapat halangan perkara yang tidak terduga, radiator bocor atau tayar pancit misalannya, cubalah berhenti di tempat yang benar-benar selamat. Jika perlu mendapatkan bantuan perkhidmatan kecemasan, hubungi sahaja PLUS atau syarikat penginsuran kenderaan bagi mendapatkan bantuan. Berbaloilah juga bayar premium insuran yang mahal itu kan. Jika berhenti, pastikan isyarat telah diberikan kepada pengguna yang lain bahawa anda sedang menghadapi masalah yang harus ditangani. Bimbang juga kena sodok dengan treler nanti.

Selamat Sampai Ke Kampung Halaman

Nah, setelah puas menempuh jem yang berpanjangan dari malam membawa ke malam, sampailah jua akhirnya ke destinasi yang dituju. Sebelum panjat tangga rumah di kampung, panjatkan juga ungkapan Syukur kerana anda kini telah selamat sampai di kampung halaman tercinta, Eceh. Maka dengan ini, gua bagi pihak GT ingin mengucapkan Selamat Menyambut Eidil Fitri kepada semua. Ingat, jangan pernah berkompromi dengan keselamatan. Pandu Cermat, Jiwa Selamat.

-min-

Azmin

Penulis Indie

Kata Anda//