Balik Raya Punya Cerita 2014

Safety

Ini merupakan tahun keempat gua menulis berkenaan Balik Raya Punya Cerita. Lama juga gua bersama keluarga GT ini. Kalau nak diikutkan, gua memang tak punya idea nak menulis bagaimana lagi dah. Tapi gua anggap, ini sebagai Khidmat Sosial jadi gua rasa tidak salah untuk berkongsi dengan Sekutu semua. Mana yang bermanfaat, silalah guna. Kalau gua merapu, anggap sahaja itu sebagai pemanis mulut untuk menyedapkan lagi bahan cerita.

  1. Seperti biasa, perkara-perkara rutin untuk pemeriksaan berkala gua fikir tak patut nak bagi ingat lagi dah. Besar panjang dah masing-masing, iya tak?
  2. Berkenaan timing belt, walaupun odometer baru menunjukkan perbatuan hanyalah sekitar 70,000km, tapi gua rasa elok juga tukar jika tempoh hayat kenderaan telahpun melebihi usia 4 tahun. Getah dah mati orang kata. Ibarat bom jangka boleh putus sewaktu mendaki Bukit Putus. Clutch Plate kalau dah kematu pun elok pergi tukar juga.
  3. Pastikan juga keadaan angin tayar mencukupi untuk menampung lebihan bebanan kenderaan. Angin tayar simpanan pun jangan lupa juga untuk diperiksa.
  4. Afdalnya, bacalah doa minta dipermudahkan sebelum memulakan perjalanan waima lu orang hanya nak balik kampung setakat Beranang sahaja. Minta dengan Dia, Insya Allah Dia pasti bagi.
  5. Usai membaca doa, pakailah tali pinggang kaledar demi keselamatan. Patutnya perangai tarik tali pinggang kaledar hanya sewaktu berhadapan dengan Penguatkuasa tidak lagi berlaku. Berhadapan dengan sekatan jalanraya takut. Berhadapan dengan kemalangan haram nak beringat.
  6. Buatlah isian petrol yang berhampiran dengan perjiranan rumah anda. Ketahuilah, punya berderet kenderaan yang beratur untuk mengisi petrol di kawasan yang berhampiran dengan Plaza Tol serupa malam hari waktu harga petrol menaik.  Buang masa bukan? Isian semula kad Touch n Go pun boleh dilakukan bersekali.
  7. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan diri pemandu berada cukup cergas.  Apatah lagi nak memandu siang hari di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mengantuk dan dahaga memang berkawan baik pada masa ini.  Jadi, silalah sedar diri dan berhentilah berehat buat seketika di Rehat & Rawat.
  8. Buat mereka yang memandu MPV buatan Thailand berjenamakan Jepun, silalah sedar diri sekali lagi bahawasanya yang dipandu itu adalah MPV bukannya GT86. Usah dicuba untuk memotong kenderaan di hadapan sekiranya kadar ketewasan kepada Lori Balak yang bertentangan sangat tinggi. Ingat, destinasi akhir yang dituju adalah Felda Chiku, Gua Musang dan bukannya Hospital Bentong.
  9. Genggam erat stereng dengan menggunakan kedua belah tangan pada had kelajuan kebangsaan. Jangan dibuat perangai belum cukup umur pegang stereng tangan sebelah sahaja.
  10. Kalau boleh memandu dengan had kelajuan kebangsaan, pandulah selaju itu. Karang dah bertembung dengan kesesakan lalu lintas yang dasyat, nak menyesal pun tiada guna. Itu jam baru lu orang sedar apa itu ertinya jiwa kelajuan.
  11. Nak pandu laju boleh, tapi tolonglah jangan konsisten erti. Er, maksud gua pedal minyak tu sentiasa berada di lantai. Jenis merembat tak tentu hala. Ingat, lu orang bukanlah Lewis Hamilton yang punya tahap konsentrasi yang cukup tinggi untuk memandu laju.
  12. Memandu laju di lebuhraya dengan jumlah kenderaan yang banyak agak ekstrem juga sebenarnya. Kebarangkalian kenderaan di hadapan menekan brek akibat ada kenderaan lain yang menukar lorong sesuka hati tanpa memberikan signal memang lumrah. Jadi, jarakkanlah dengan kenderaan di hadapan.
  13. Bila dah bertembung dengan kesesakan lalu lintas di lebuhraya, janganlah dibuat perangai menggunakan Laluan Kecemasan itu. Berbuih dah pesan, masih nak guna juga atas alasan nak cepat sampai. Kalau nak cepat sampai, balik kampung dua minggu sebelum raya derr!!
  14. Sekiranya perlu membuat pit stop di tepi lebuhraya kerana tayar pancit misalannya, silalah pastikan ada sebarang tanda diletakkan di bahagian belakang kenderaan, sekurangnya 10-15 meter sebagai tanda isyarat anda mengalami masalah. Dan silalah berhati-hati sewaktu menukar tayar tersebut secara indie. Jika perlu, hubungi sahaja PlusLine dan tunggukan sahaja kehadiran PlusRonda untuk membantu sama menukar tayar tersebut. Tidaklah berasa rugi sangat bayar tol mahal-mahal tu kan.
  15. Sewaktu menghampiri Plaza Tol Sg Petani Utara misalannya, silalah keluarkan Kad Transit & Kad Touch n Go dengan kadar segera. Patutnya tak dibuat lagi dah perangai terhegeh-hegeh nak cari kad & wang sewaktu berhadapan dengan Akak Jurutol itu. Ingat, ini bukannya macam cerita Tol Gate Girl. Kenderaan di belakang beratur bukan main banyak lagi.
  16. Sewaktu dah selamat sampai ke kampung halaman, silalah panjatkan kesyukuran kepada Ilahi. Bukan semua orang mampu sampai dengan selamat dan bergaya. Masih ada lagi insan-insan yang hanya mampu sampai setakat Wad Kecemasan sahaja.

P/S: Pesanan akhir gua cuma satu, berhati-hatilah dan sentiasa berwaspada dengan keadaan kenderaan & jalanraya. Moga Sekutu semua selamat sampai ke destinasi yang dituju. Selamat Hari Raya Eidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Sama-sama kita doakan agar perjalanan pergi dan pulang semuanya selamat dan di bawah lindungan Nya. Amin.

#prayforgaza #prayforworldpeace

-min-

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.