Diskaun 10% Tol KL-Karak Sempena Tahun Baru Cina 2017

Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba, ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan insentif diskaun tol 10% kepada semua kelas kenderaan yang menggunakan Touch ’n Go dan SmartTag sebagai mod pembayaran.

Pemberian insentif ini akan bermula dari jam 12.00 pagi hingga 11.59 malam pada 28 Januari 2017.

Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Nik Hussein berkata, selain daripada pemberian insentif diskaun, syarikat juga menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke Pantai Timur di musim perayaan ini.

Pematuhan TTA dapat membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada masa yang sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan.

TTA membantu menyuraikan trafik di lebuh raya kerana lonjakan jumlah kenderaan di lokasi yang turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas pada musim perayaan, khususnya pada waktu-waktu puncak.

Sementara itu, Dato’ Nik Fauzi berkata untuk keselesaan pengguna dan kelancaran trafik di setiap plaza tol, pengguna disarankan untuk sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

“Untuk makluman, perkhidmatan tambah nilai di lorong tol beroperasi mengikut keadaan trafik. Sekiranya trafik mulai padat, operasi tambah nilai akan ditutup bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol”, kata Dato’ Nik Fauzi.

Lokasi tambah nilai kad Touch ‘n Go ialah di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) seperti berikut:

  1. Plaza Tol Gombak
  2. Plaza Tol Bentong
  3. Plaza Tol Karak
  4. Plaza Tol Temerloh
  5. Plaza Tol Kuantan

Waktu operasi ialah dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Pengguna juga dinasihati untuk merujuk kepada jadual TTA di laman web ANIH Berhad di www.anihberhad.com, mengikuti laman Twitter rasmi ANIH Berhad di @LPTTrafik atau Facebook di Lebuhraya Pantai Timur untuk informasi terkini.

Perodua Catat 207,100 Unit Jualan Pada 2016 – Dominasi Pasaran Automotif 11 Tahun Berturut-turut!

Walaupun 2016 adalah tahun yang mencabar untuk industri automotif, Perodua berjaya mengharunginya dengan bergaya apabila mencatat jualan melebihi 207,100 unit kenderaan atau 37.5% dari keseluruhan 579,600 jumlah industri kenderaan (TIV). Angka pegangan itu merupakan yang tertinggi sepanjang penubuhan syarikat. Dengan rekod tersebut, Perodua telah mendominasi jualan kenderaan tempatan untuk kali kesebelas berturut-turut.

“Walaupun 2016 adalah tahun yang mencabar, kami berbesar hati untuk mengumumkan kesemua model dari Alza hingga Bezza adalah pendahulu dalam segmen masing-masing,” kata Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Rekod Jualan

Perodua Bezza mencatat jualan memberangsangkan iaitu sebanyak 36,000 unit walaupun hanya dilancarkan pada bulan Julai 2016 menjadikannya sedan kompak nombor 1 dalam segmen A.

Untuk 2017, Perodua mensasarkan untuk memegang 34% pasaran atau 202,000 dengan jangkaan TIV sebanyak 590,000 unit berbanding 579,600 unit pada tahun 2016.

Eksport

Pasaran eksport pula menyaksikan peningkatan jumlah sebanyak 6% pada 2016 atau 4,700 unit berbanding 4,400 unit pada tahun 2015 dengan majoriti penghantaran ke Indonesia.

Pengeluaran

Pada tahun 2016 Perodua telah mengeluarkan sebanyak 213,000 kenderaan iaitu penurunan sebanyak 16,000 unit berbanding tahun 2015. Pengurangan itu disebabkan permintaan yang menurun sepanjang tahun 2016.

Di antara faktor penurunan permintaan ialah pengguna yang masih membuat penyelarasan dengan keadaan ekonomi mencabar, syarat pinjaman lebih ketat dan persaingan sengit di kalangan pemain industri.

Fokus dan Perolehan Sampingan

Untuk tahun 2017, Perodua akan memberi fokus kepada perolehan dari khidmat selepas jualan untuk meraih lebih keuntungan. Berdasarkan rekod 2016, perolehan dari khidmat servis meningkat ke RM682 juta berbanding RM600 juta pada tahun 2015.

Honda CB650F dan CBR650F 2017 Kini Dengan Warna Baharu – RM 44.7K dan RM 46.8K

Khusus untuk peminat Honda CB650F dan CBR650F, Boon Siew Honda telah melancarkan dua warna baharu yang istimewa iaitu Hitam Matte dengan chasis Merah dan Hitam Matte dengan chasis Putih. Penambahan warna istimewa ini adalah untuk menarik perhatian penggemar motosikal berkuasa yang ingin menaiktaraf motosikal sedia ada atau memiliki motosikal sport dengan harga mampu milik.

Khusus untuk peminat Honda CB650F dan CBR650F, Boon Siew Honda telah melancarkan dua warna baharu yang istimewa iaitu Hitam Matte dengan chasis Merah dan Hitam Matte dengan chasis Putih. Penambahan warna istimewa ini adalah untuk menarik perhatian penggemar motosikal berkuasa yang ingin menaiktaraf motosikal sedia ada atau memiliki motosikal sport dengan harga mampu milik.

Sejak pelancarannya di peringkat antarabangsa, motosikal empat silinder dengan berat sederhana itu menerima sambutan menggalakkan dari pemilik motosikal berkuasa tinggi. Kedua-dua model dilengkapi paparan digital seperti meter kelajuan, graf bar, tolok minyak dan jam serta meter berkembar. Terdapat juga sistem sekuriti HISS dan lampu belakang LED.

Khusus untuk peminat Honda CB650F dan CBR650F, Boon Siew Honda telah melancarkan dua warna baharu yang istimewa iaitu Hitam Matte dengan chasis Merah dan Hitam Matte dengan chasis Putih. Penambahan warna istimewa ini adalah untuk menarik perhatian penggemar motosikal berkuasa yang ingin menaiktaraf motosikal sedia ada atau memiliki motosikal sport dengan harga mampu milik.

Motosikal ini boleh didapati di Kedai Honda Impian bermula 23 Januari dan ke atas pada harga RM 44,730.94 untuk model CB650F dan RM 46,850.94 untuk model CBR650F termasuk CBP.

Honda CB650F dan CBR650F didatangkan berserta 2 tahun waranti atau perbatuan sejauh 20,000 km yang mana dahulu.

Berikut ialah gambar Honda CB650F 2017 dengan skema warna baharu:

Berikut ialah gambar Honda CBR650F 2017 dengan skema warna baharu:

VW Kini Di Batu Pahat – Pusat 3S Pertama Di Utara Johor

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan SP Supreme Autohaus telah membuka Pusat 3S Volkswagen Batu Pahat dan ia adalah satu-satunya Pusat 3S Volkswagen di bahagian utara Johor. Dengan keluasan sekitar 25,000 kaki persegi, bilik pameran Pusat 3S Volkswagen Batu Pahat mampu mempamerkan sehingga lima buah kenderaan dan enam ruang penyelenggaraan. 

Pusat 3S itu juga dilengkapi peralatan diagnostik dan selepas jualan terkini yang telah diluluskan oleh pihak Volkswagen Jerman dan dikendalikan oleh staf selepas jualan terlatih dan berpengalaman.

Bagi kemudahan pelanggan, lounge Pusat 3S ini dilengkapi perkhidmatan WiFi, sebuah kafe dengan minuman ringan dan TV untuk hiburan semua.

SP Supreme Autohaus telah melabur sebanyak RM6.5 juta untuk Pusat 3S ini. Cawangan itu dibina untuk khidmat jualan dan perkhidmatan selepas jualan kenderaan Volkswagen di kawasan Batu Pahat, Muar, Kluang, Yong Peng, Segamat dan kawasan-kawasan berhampiran.

Berucap pada majlis pelancarannya, Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter mengalu-alukan pembukaan Pusat 3S Volkswagen Batu Pahat ke dalam rangkaian Pusat 3S Volkswagen yang semakin berkembang di seluruh negara.

“Sebagai sebahagian daripada usaha kami dengan rakan pengedar untuk terus menambah baik kemudahan, kami harap penambahan pusat 3S ini akan dapat meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggan kami di Batu Pahat dan kawasan sekitarnya. Tahniah kepada SP Supreme Autohaus atas pelancaran pada hari ini dan terima kasih atas komitmen anda terhadap jenama Volkswagen,” kata Winter.

Pengarah Urusan SP Supreme Autohaus, Sia Chai Lim menyatakan bahawa kerjasama di antara SP Supreme dan VPCM yang bermula sejak lebih dua tahun lalu akan terus berkembang.

“Kami telah berusaha keras sejak bilik pameran pertama kami dilancarkan pada tahun 2014. Kami benar-benar komited ke atas peniagaan dan kepuasan pelanggan. Dengan sokongan VPCM serta keyakinan kami ke atas jenama ini, kami merancang untuk terus mengembangkan perniagaan dan akan melancarkan satu lagi Pusat 3S di Permas Jaya bulan depan,” katanya.

Bilik pameran dan jualan Pusat 3S Volkswagen Batu Pahat beroperasi setiap hari mulai jam 9:00am hingga 6:00pm. Manakala perkhidmatan selepas jualan pula beroperasi dari Isnin hingga Jumat dari jam 9:00am hingga 6:00pm dan mulai 9:00am hingga 4:00pm pada Sabtu.

Bahagian jualan dan selepas jualan akan ditutup pada cuti umum.

Haval M4 Kini Dikenali Sebagai H1 – Harga Dari RM53K Hingga RM73K


SUV Haval yang dahulunya dikenali sebagai Haval M4 kini ditukar nama kepada Haval H1. Nama terbaru ini ditukar selepas pengeluarnya, Great Wall Motors Compay Limited dijenamakan semula sebagai Haval untuk meningkatkan jualan di peringkat global dan khususnya di Asean.

Ketua Pegawai Eksekutif GO Auto, Ahmad Azam Dato’ Sulaiman berkata penjenamaan semula Haval M4 kepada H1 diharapkan dapat mengukuhkan lagi jenama dari negara China itu.

Haval – Ada Segalanya

Nama Haval adalah merujuk kepada Have All yang bukan sahaja bermaksud harga mampu milik bahkan dilengkapi teknologi terkini.

Haval M4 dan Haval H1

Perbezaan di antara Haval M4 dan Haval H1 ialah pada jeriji krom dan logo Haval pada stereng, but dan tempat duduk. Transmisi pula hanya didatangkan opsyen tunggal iaitu AMT.

Nadi Kuasa

Haval H1 dilengkapi enjin 1.5 VVT MPI yang berkuasa 105hp pada 6,000 rpm dan 138Nm pada 4,200 rpm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan AMT.

Sistem Keselamatan

Pakej keselamatan Haval H1 agak lengkap di mana kesemua variannya dilengkapi ESP/ESC, ABS + EBD, Brake Assist, Hill Start Assist dan TCS Draft Control.


Status EEV

GO Auto mencatat sejarah apabila menjadi syarikat pertama menerima lesen pembuatan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Kedua-dua model iaitu H1 dan H2 turut menerima pengiktirafan EEV dari MITI.

Varian, Harga dan Waranti

Haval H1 dipasarkan melalui tiga varian iaitu H1 Comfort AMT berharga RM60,017 dan Varian H1 Premium AMT berharga RM65,852 (AT).

Khusus untuk mereka yang mahukan edisi istimewa terdapat varian H1 Elite yang dilengkapi lampu utama halogen dengan LED, sistem multimedia DVD dengan navigasi, perakam video (DVR), lampu DRL dan kerusi balutan kulit.

Haval H1 Elite dipasarkan pada harga RM72,659.

Terdapat enam pilihan warna iaitu Putih, Perak, Hitam, Biru, Merah dan Oren.

Sesuatu yang harus dipuji apabila kesemua varian Haval H1 didatangkan dengan 7 tahun waranti tanpa had perbatuan.

Menambah lagi tarikan, bermula 1 Januari 2017 Haval memperkenalkan skim Jaminan Beli Semula di mana pengeluar itu akan membeli semula kenderaan Haval pada harga 50% dari harga jualan sekiranya pemilik menjual kenderaan dalam tempoh 5 tahun.

MINI Countryman JCW Design Edition – Edisi Khas Sempena Tahun Baru Cina 2017

Sempena meraikan kedatangan Tahun Ayam, MINI Malaysia memperkenalkan MINI Countryman JCW Design Edition yang baru dan bergaya. MINI Countryman edisi terhad baharu itu adalah hasil inspirasi kejayaan MINI dalam menawarkan pemanduan mengujakan. Ia menampilkan rekaan agresif untuk meneroka apa jua keadaan dan pada masa yang sama menjadi model aktiviti aktif premium kompak untuk kegunaan harian.

Ketika memperkenalkan varian baharu MINI Countryman itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Sekali pandang sahaja, anda sudah tahu bahawa MINI Countryman JCW Design Edition ini memiliki penampilan yang mantap. Ia direka untuk para peminat MINI dan diinspirasikan oleh prestasi dan sukan bermotor. MINI baharu ini menyerlahkan ekspresi John Cooper Works dengan penuh rasa bangga dan memberi inspirasi terhadap semangat kembara dalam diri kita semua dengan bergaya.”

Kit Aerodinamik John Cooper Work

MINI Countryman JCW Design Edition dengan Kit Aerodinamik John Cooper Works menampilkan kereta itu lebih mantap dan berkuasa yang memberi refleksi terhadap warisan sukan bermotor John Cooper Works. Kit penuhnya merangkumi spliter hadapan, skirting sisi, peresap belakang dan kemasan pintu yang membuatkan kereta ini kelihatan begitu sporty serta maskular berbanding model standard.

MINI Countryman JCW Design Edition baharu juga dipasang dengan jalur John Cooper Works Sport Stripes yang selari dari bahagian hadapan hingga ke belakang serta pada sisi kereta. Ini memberikan MINI penampilan yang lebih agresif dan mantap.

Bukan itu sahaja, MINI Countryman JCW Design Edition menjadi satu-satunya MINI yang menawarkan lampu projektor LED MINI pada pintu yang boleh ditukar dan berfungsi ketika masuk dan keluar dari kereta.Sebaik sahaja pintu dibuka, satu grafik akan dipancarkan ke permukaan jalan. Selain logo MINI, ia juga hadir dengan rekaan bendera Union Jack dan John Cooper Works.

Nadi Kuasa – 190hp,7.8 saat, 212km/j, 240Nm dan 260Nm.

Di samping penampilannya yang menyerlah, MINI Countryman JCW Design Edition juga menawarkan dinamik pemanduan go-kart yang tiada tandingan apabila dijana oleh enjin berkuasa 190hp. Ia mampu mencatat kelajuan 100km/j dari kedudukan pegun dalam masa hanya 7.8 saat dengan pecutan maksimum 212km/j. MINI Countryman JCW Design Edition juga menawarkan kuasa tork mencecah 240Nm hingga 260Nm dengan Fungsi Overboost.

Dalaman

Di bahagian kabin, MINI Countryman JCW Design Edition baharu menawarkan pilihan elemen reka bentuk dan fungsi yang baru. Ini termasuklah MINI Visual Boost dengan skrin LCD warna beresolusi tinggi bersaiz 6.5 inci. Kereta ini turut dipasang dengan stereng sports dibalut kulit dengan Paddle Shifter.

Tempat duduknya yang sporty dibalut kulit bersama upholsteri Leather Gravity Carbon Black. Kemasan dalaman Piano Black yang hitam berkilat itu juga menampilkan elemen krom. Sama seperti model MINI yang lain, kereta ini hadir dengan pendingin hawa automatik.

Karekter MINI Countryman JCW Design Edition baharu yang versatil dipertingkatkan lagi menerusi ruang but seluas 350 liter. Ia boleh ditambah menjadi 1,170 liter apabila tempat duduknya dilipat. Setiap tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan konfigurasi 40:20:20 juga boleh boleh ditolak 13cm ke hadapan untuk memberi ruang but yang lebih besar.

Dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat, perubahan susunan tempat duduk boleh dibuat untuk menempatkan lebih banyak kargo tanpa perlu mengorbankan aspek keselesaan penumpang. MINI Countryman JCW Design Edition juga dilengkapi satu lantai kompartmen rata yang menawarkan ruang penyimpanan ekstra dan versatil di bawah lantai kargonya.

Park Distance Control

Dengan ciri Park Distance Control, urusan masuk dan keluar dari ruang parkir yang sempit menjadi lebih mudah. Satu lagi ciri yang sangat membantu untuk pemanduan di bandar dan dapat diaktifkan dengan hanya menekan butang Sport Button, ia akan menukar maklum balas enjin dan kuasa tambahan kemudian disalurkan kepada stereng.

Warna, Waranti dan Harga

MINI Countryman JCW Design Edition didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu putih (Light White), merah (Blazing Red), biru (Starlight Blue) dan hijau (Jungle Green).  Semuanya dilengkapi bumbung dan perumah cermin sisi berwarna hitam.

Kereta ini didatangkan beserta Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama 5 tahun dengan Servis Berjadual Percuma

Harga runcit (di atas jalan tidak termasuk insurans) MINI Countryman JCW Design Edition baharu yang hadir bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama 5 tahun dan Servis Berjadual Percuma ialah RM242,888.00 seunit.

Promosi Tahun Baru Cina

MINI Countryman JCW Design Edition baharu akan hadir di semua pengedar sah MINI di seluruh negara bersama kempen istimewa sempena sambutan Tahun Baru Cina bermula hari ini sehingga 31 Mac 2017.

Sepanjang tempoh kempen ini, semua pengedar MINI di seluruh negara akan menganjurkan rumah terbuka di mana pemilik baharu MINI Countryman JCW Design Edition bakal menerima paket ‘Ang Pow’ dan barangan MINI selepas menjalani sesi pandu uji. Orang ramai juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga.

Berikut ialah 10 gambar MINI Countryman JCW Design Edition

(25 Foto) Galeri Gambar Porsche Cayman GT4 Clubsport

Porsche Cayman GT4 Clubsport adalah versi perlumbaan model Cayman GT4 dan kini berada di Malaysia.  Model Clubsport itu dipertontonkan Sime Darby Auto Performance (SDAP) dan dibangunkan khusus oleh Porsche Motorsport untuk tim yang berminat menggunakannya dalam perlumbaan.

Cayman GT4 Clubsport dikuasakan oleh enjin 3.8 liter ‘flat-six’ yang dipadankan transmisi dwi klac Porsche dan gandar belakang dengan gear kebezaan (differential) mekanikal serta tuil penganjak gear pada stereng. Pegas gegelung pula diambil dari sebuah lagi model perlumbaan iaitu 911 GT3 Cup yang menyertai 20 perlumbaan satu jenama Porsche di serata dunia.

Berat Cayman GT4 Clubsport hanya 1,300 kg yang turut dilengkapi rangka keselamatan, kerusi perlumbaan dan tali pinggang keledar 6 poin dengan fokus untuk mengurangkan berat kereta. Tugas memperlahankan kereta digalas oleh cakera brek besi di keempat-empat tayar dengan diameter 380 milimeter.

Dengan kos penyelenggaraan lebih rendah berbanding model perlumbaan khusus Porsche yang lain, Cayman GT4 Clubsport adalah jentera sesuai untuk pemandu muda atau yang baru berjinak dengan perlumbaan dan pelumba amatur.

Setakat ini, empat tim perlumbaan telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kategori GT4 Clubsport Blancpain GT Asia 2017 yang merupakan sasaran dan kempen Porsche untuk melihat kereta ini bertanding di serata Asia.

Tim atau individu yang berminat dengan jentera perlumbaan ini boleh menghubungi Sime Darby Auto Performance untuk pertanyaan lanjut.

Berikut ialah 25 gambar Porsche Cayman GT4 Clubsport:

 

Susur Keluar Persimpangan Salak, Lebuhraya KL-Seremban Ditutup Selama Seminggu

Operator Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KLS) – ANIH Berhad mengumumkan penutupan susur keluar di sekitar Persimpangan Salak, Lebuhraya KLS, secara berperingkat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf mulai 16 Januari 2017, dari jam 10 malam hingga 5 pagi. Kerja-kerja ini dijangka siap dalam masa seminggu.

Pengguna dinasihatkan untuk mengikuti laluan alternatif yang disediakan serta mematuhi arahan papan tanda di lokasi. Untuk maklumat trafik, sila hubungi Talian Bantuan KLS di 03-91732020.

ANIH Berhad mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama dari semua pengguna lebuh raya. Kesulitan kini adalah untuk keselesaan di masa hadapan.