Audi RS 6 Avant: Wagon 4.0 liter V8!

Mereka yang berada di Eropah mengambil serius mengenai kereta wagon. Pasaran di sana besar hinggakan wajib untuk kebanyakan pengeluar kenderaan mempunyai model wagon. Kebanyakan kereta jenis itu dibangunkan berasaskan model sedan tetapi dengan bumbung yang dipanjangkan menjadikan ruang bonet lebih besar. Baru-baru ini saya sempat memandu uji sebuah wagon buatan Sweden dan ya, wagon sememangnya praktikal. Jika disebut wagon, mungkin ramai yang membayangkan Nissan AD Resort namun sebenarnya banyak lagi model-model jenis itu di atas jalan raya tempatan seperti Volvo V50, Subaru Forester atau pun Mitsubishi Lancer Evolution Wagon. Selain daripada itu, Perodua Alza, Nissan Grand Livina, Honda Stream dan Toyota Wish sebenarnya juga boleh dikategorikan sebagai wagon cuma bezanya model-model tersebut mempunyai kerusi tambahan di barisan ketiga.

Untuk wagon yang dipaparkan kali ini, saya tidak pasti apakah label yang sesuai untuk digunakan kerana kuasanya sangat tinggi. RS 6 Avant buatan Audi ini hanya mengambil masa 3.9 saat untuk memecut dari sifar ke 100 km/j. Jika kereta yang laju digelar supercar maka layaknya RS 6 Avant ini digelar superwagon. Masakan tidak kerana enjin yang menguasakannya bersesaran 4.0 liter V8 TFSI dengan turbo berkembar! Output kuasanya pula ialah 560PS dengan tork setinggi 700 Nm. Sememangnya RS 6 Avant bukan wagon untuk kaum ibu menghantar dan mengambil anak ke sekolah. Kelajuan maksimum standard model itu ialah 249.45 km/j dan boleh ditingkatkan kepada 280 km/j melalui pilihan pakej Dynamic dan jika itu masih tidak memadai, pakej Dynamic plus membolehkan pemandu memecut sehingga 304 km/j. Saya tidak pasti siapa yang akan berani memandu selaju itu dengan sebuah wagon tetapi ianya adalah suatu yang tidak terjangkau dek akal jika difikirkan fungsi asal sebuah wagon sebagai kenderaan yang praktikal.

Walaupun dengan kelajuan maksimum yang sangat tinggi namun Audi masih lagi mementingkan ciri-ciri ekonomikal. Bagi mencapai matlamat tersebut, enjinnya dipasangkan teknologi start-stop dan pengurusan terma yang inovatif. Walau bagaimanapun, penyumbang terbesar penggunaan minyak yang ekonomikal ialah teknologi cylinder on demand (COD). Pada kelajuan rendah, sistem tersebut akan menutup injap masukan dan ekzos pada silinder ke 2, 3, 5 dan 8. Enjin 4.0 liter TFSI tersebut hanya akan menggunakan empat silinder dan lagi empat silinder akan diaktifkan semula apabila kereta dipandu laju. Katanya penukaran silinder tersebut mengambil masa yang pantas dan tidak akan disedari oleh pemandu kecuali isyarat penukaran yang dipaparkan pada gugusan meter.

Bagi menampung kuasa yang tinggi, enjin superwagon itu dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan tipronic. Gear-gear rendah diaplikasikan untuk prestasi optimum manakala gear tinggi iaitu kelapan pula untuk ‘cruising’ yang lebih menjimatkan minyak. Untuk corak pemanduan pelbagai, pemandu boleh memilih tiga mode pemanduan iaitu Drive, Sport dan Manual.

Untuk pengawalan dan pengendalian yang sepadan dengan prestasi enjin, RS 6 Avant dipasangkan teknologi adaptive air suspension. Talaan tersebut menjadikan badan kereta 20 mm lebih rendah dan secara pintar mengawal kesesuaian peredam (damping) berdasarkan permukaan jalan, corak pemanduan dan mode yang dipilih. Untuk menghentikan superwagon itu, Audi menggunakan brek cakera depan bersaiz 390mm dengan pengangkup enam omboh dengan warna pilihan hitam atau merah. Sebagai opsyen tambahan, pembeli boleh memesan cakera brek fibre-ceramic bersaiz 420 mm dengan warna anthracite grey. Menutup arca roda ialah roda bersaiz 20 inci selain daripada rim opsyen bersaiz 21 inci.

Badan kenderaan memainkan peranan penting dalam pengendalian di mana lebih kurang 20 peratus material badan RS 6 Avant diperbuat daripada aluminium manakala sejumlah besar komponen pula diperbuat daripada besi kekuatan tinggi. Dengan penggunaan material ringan, jurutera Audi berjaya mengurangkan berat produk mereka itu kira-kira 100 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya. Kesannya ialah pada nisbah kuasa dan berat yang menyumbang kepada prestasi, penjimatan dan kelincahan kenderaan.

Harga yang dianggarkan untuk sebuah Audi RS 6 Avant ini ialah GBP 77 ribu atau kira-kra RM379 ribu. Jika dibawa masuk ke pasaran tempatan pasti harganya berlipat kali ganda sesuai dengan kuasanya yang berlipat kali ganda berbanding wagon biasa. Baru-baru ini saya terserempak dengan RS 4 dan RS 6 lama, nampak bersahaja tetapi sebenarnya adalah musang yang menyamar sebagai biri-biri!

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

4 comments

Skip to comment form

    • audi on 13/12/2012 at 10:32 PM
    • Reply

    Nampak bersahaja tp sbnrnya musang yg mnyamar sebagai biri biri.
    Btul tu, sbb tu aku minat btol ngn rs6 yg sblom ni… Klo brenti sblah ferrari
    pon gua x teragak-agak nk ajak race..hahaha

  1. kereta idaman gua.. akan gua miliki ia satu hari nanti jika dilantik CEO kanan syarikat minyak urut kaki utk team Liga M

    • Hakim on 26/12/2012 at 1:25 AM
    • Reply

    Sy tiba2 terfikir. Apakata proton design kereta mcm ni. Perodua pun ok. Sumbat enjin 1.6 cps. Enjin apedehal. Sumbat 4.0 kang xlarat nak bayar roadtax pulak. Hehe

    Yg pntg lua nampak garang. Baru menarik minat pembeli. Bukan setakat muda. Yg tua pn mleleh

    • Lantoii on 02/01/2013 at 7:22 PM
    • Reply

    Pada aku preve bole di upgrade jadikan wagon. Sebab ape aku cakap macam tu, Sebabnya trimline badan preve dh ngam buat wagon dari skrg nie cuma tambah sahaja kt belakang bonet jadikan wagon. Kompom aku pecaya org akan cakap preve wagon lagi cantik dari sedan.

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.