Audi RS 3 Sportback: Edisi Terhad Yang Istimewa!

Audi RS 3 Sportback merupakan sebuah kereta yang sangat istimewa. Pada tahun 2011, model itu ditawarkan di dalam edisi terhad iaitu hanya 500 unit sahaja. Dek kerana sambutan yang hangat RS 3 Sportback habis dijual di dalam masa yang singkat. Baru-baru ini, Audi UK mengumumkan semula penjualan model itu sekali lagi, kali ini dengan unit yang lebih terhad, iaitu hanya 250 unit sahaja. Harganya pula sama seperti edisi 2011 iaitu GBP 39,930 (RM194,000).

Audi RS 3 Sportback dikuasakan oleh enjin 2.5 liter dengan pengecas turbo dengan kuasa total 340ps dan 450Nm. Kuasa yang tinggi itu kemudiannya dipisahkan ke atas jalan raya melalui sistem Audi yang terkenal iaitu quattro all-wheel drive. Tenaga dari enjin diselerakkan oleh transmisi tujuh kelajuan klac berkembar S tronic tukaran cepat (rapid fire shifts). Prestasi kelajuan yang dicapai juga impresif iaitu dari pegun hingga 100km/j hanya mengambil masa 4.6 saat manakala kelajuan tertinggi pula ditetapkan melalui kawalan elektronik pada 249km/j.

Walaupun RS 3 Sportback adalah model prestasi namun itu tidak bermakna penggunaan minyak boleh dibiarkan sesuka hati. Prestasi tidak semestinya bermakna enjinnya dahagakan petrol. Oleh itu, bagi mendapatkan penggunaan minyak yang ekonomikal, model itu menggunakan sistem pam minyak (oil pump) berdasarkan permintaan (on demand) dan sistem penjanaan semula (regeneration) tenaga semasa nyahpecutan. Selain daripada itu, material blok enjin yang digunakan adalah daripada jenis vermicular graphite yang lebih kuat dan ringan daripada besi tuang (cast iron). Sayap depan pula menggunakan material gentian kaca yang diperkuatkan dengan polimer. Kedua-dua kaedah pembuatan tersebut adalah antara ciri-ciri yang menyumbang kepada berat badan sebanyak 1575kg dan 216ps untuk setiap tan nisbah kuasa kepada berat.

Faedah yang didapati juga boleh dirasai bukan setakat pada kuasa yang diperoleh malah pada pemanduan dan pengendalian kereta yang turut disumbang oleh sistem suspensi MacPherson hadapan yang direndahkan dan suspensi four-link belakang. Keseimbangan badan turut diperolehi daripada trek yang dilebarkan iaitu 1,564mm manakala tugas untuk mencengkam jalan dimaksimumkan oleh roda aloi 19 inci dengan siri tayar 235/35 untuk depan dan 225/35 untuk belakang. Sistem quattro all-wheel drive dengan kawalan elektronik klac multi-plate pula menyempurnakan lagi kawalan kenderaan dengan lebih cengkaman, keyakinan dan kestabilan.

Pakej kawalan kereta tidak terhenti setakat itu sahaja, turut dilengkapi ialah kawalan kestabilan elektronik (ESC) yang dibangunkan khas. Ianya dilengkapi dengan mode Sport yang melengahkan aplikasi brek dan rencatan pecutan (retardation) bagi mendapatkan lebih penyesuaian pengendalian tanpa kompromi pada keselamatan. Sekali-sekala jika pemandu wagon ini mahu ke litar lumba, sistem ESC tersebut boleh dimatikan.

Untuk pengawalan stereng, teknologi yang digunakan ialah electromechanical rack and pinion yang sesuai dengan nisbah gear 16.2:1 untuk lebih ‘keasyikan’ sewaktu mengambil selekoh. Brek cakera yang digunakan pula diangkup oleh empat omboh bagi menjamin kereta berhenti dengan berkesan.

Pada bahagian luaran, fasia depan terdiri daripada apron depan yang lebih yang diacukan sekali dengan ruang udara lebih besar, gril tunggal dengan warna antrasit (batu arang) dan lampu utama Xenon yang menurut Audi untuk memaklumkan kepada pemandu depan bahawa ini adalah RS 3 Sportback. Sisi kereta pula didominasi oleh arca yang lebar sepadan dengan roda 19 inci yang digunakan. Dibelakang pula dipasangkan spoiler bumbung yang besar yang kemudiannya disempurnakan oleh peresap warna hitam kilat dan ekor ekzos berkembar.

Pada bahagian interior pula, kerusi sport dibalut oleh kulit nappa dengan sulaman kontra berwarna perak. Stereng yang digunakan ialah berbentuk ‘flat bottom’ sesuai dengan imej sporty yang ingin ditonjolkan. Selain daripada itu, unik untuk model RS 3 Sportback ialah sistem informasi pemandu yang memaparkan tekanan boost, suhu minyak dan tidak ketinggalan ialah catatan masa pusingan litar.

Pepatah bahasa Inggeris ada menyebut “a wolf in sheep’s clothing” – perumpamaan yang sangat sesuai untuk Audi RS 3 Sportback ini.

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

1 comment

    • encikpadil on 02/08/2012 at 10:39 AM
    • Reply

    love the car, hate the tax, sigh…

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.