Kisah APV Si MPV

Di tempat kita, Suzuki APV ni bolehlah dianggap sebagai antara jenama MPV yang tidak dianggap sebagai calon pilihan pengguna. Barangkali, dengan rekabentuk yang agak konservatif APV ini seringkali dipinggirkan. Kalau tengok dalam Mudah sekalipun, memang payah nak jumpa apatah lagi nak jumpa atas jalanraya. Hakikatnya, dengan rekabentuk susuk tubuh APV yang kelihatan sasa bak badang perkasa, ianya jelas merupakan kenderaan yang cukup cocok untuk dijadikan sebagai MPV pilihan mak mertua sewaktu pergi bercuti musim perayaan ini.

Baru-baru ini gua telah berpeluang mengunjungi  bandar ketiga terbesar di Indonesia, Bandung. Memandangkan gua ke sana untuk berlibur sambil membawa ahli keluarga seramai enam orang, maka sudah tentu pilihan gua sewaktu berada di Bandung adalah merupakan MPV. Gua telah ditawarkan dengan Avanza genarasi terbaharu atau pun Kijang @ Innova dengan kapasiti 5 orang dewasa dan seorang anak kecil. Namun hati gua terdetik untuk memilih APV  berdasarkan ramalan gua bahawasanya beg yang gua bawa ke Bandung dijangkakan beranak-pinak akibat membeli-belah.

Sewaktu Supir mengambil gua di Bandara, gua memilih untuk di kerusi barisan kedua. Peluhan gua sewaktu mengusung bagasi segera hilang dek kerana corong penghawa dingin yang turut terletak di bahagian belakang. Duduk di kerusi barisan kedua memang dianggap cukup selesa walaupun dihuni oleh 3 orang dewasa dan tak lupa juga anak kecil gua yang dipangku.

Apabila beralih ke kerusi penumpang di hadapan, lu orang akan terasa sedikit seperti menaiki lori kerana ketinggiannya. Namun, jelas itu merupakan satu kelebihan kepada sang Supir sewaktu membelok untuk memarkir / memasuki lorong walaupun dalam keadaan ruang yang agak sempit kerana kadar penglihatan yang cukup jelas di atas kerusi pemandu. Manakala, sewaktu gua memilih untuk duduk di barisan ketiga, lutut gua tidak terjejas teruk berlipat dan apa yang boleh gua simpulkan, ianya masih selesa untuk dihuni oleh orang dewasa. Gua naik Exora duduk di barisan belakang tu pun dah cukup kebas kepala lutut gua.

Dari segi kesedapan dan keselesaan APV  ini, gua rasa pengedaliannya masih boleh dianggap baik. Gua duduk di bahagian belakang tidaklah terasa terhoyang-hayang tercampak ke tingkap sewaktu Supir memandu menuju ke puncak Gunung Tangkuban Perahu yang mana jalanrayanya memang sedap untuk dibuat lumba rali.

Kepelbagaian fungsi APV ini cukup terserlah sewaktu gua berangkat pulang di mana kesemua beg ahli rombongan  berjaya dimuatkan tanpa menghadapi sebarang masalah. Kalau gua menyewa Avanza, dah tentu gua terpaksa meminta Supir untuk memasang Thule di atas bumbung. Dah serupa bas persiaran dua tingkat pula dia punya tinggi nanti.

Suka untuk gua kongsikan dengan Sekutu yang lain, APV ini bolehlah dianggap sebagai popular juga di sana. Senang betul nak jumpa. APV yang jenis pick-up tu pun bersepah buat angkut barang di Pasar Baru. Sebelum terlupa, suka juga untuk gua kongsikan, di pasaran Indonesia APV ini turut dijenamakan semula oleh Mitsubishi sebagai Maven. Penjenamaan semula untuk kenderaan yang sama jantina ini bukanlah perkara asing di Indonesia kerana selain Toyota Avanza, Daihatsu Xenia turut ditawarkan kepada pembeli di sana. Amacam? Betapa luasnya pasaran kenderaan di Indonesia secara amnya dan pasaran MPV secara khususnya. Lu orang sebut sahaja nak jenis yang macam mana. Avanza ada, Xenia ada, Luxio ada, Gran Max ada, Ertiga ada, Evalia (NV200), Exora pun ada. Apa?? Alza?? Maaf, tak masuk senarai.

-Min-

Klik Untuk Perkongsian Media Sosial //
  • Facebook
  • Add to favorites
  • PDF
  • RSS
  • Print

Azmin

Penulis Indie

5 Comments

  1. Nissan Juke bersepah woi kat sana…gua tengah fikir nak minta tukar kerja kat Indo ni…nak beli Juke convert jadi Juke R

Kata Anda//