Range Rover 2012: Model Ikonik Sepanjang Zaman

Range Rover generasi keempat merupakan buah tangan baharu syarikat Land Rover dan merupakan model paling mewah dan berkeupayaan di dalam senarai produk syarikat daripada United Kingdom (UK) itu. Model baharu tersebut lebih ringan, kuat dan dengan perincian yang lebih tinggi mengukuhkan lagi posisinya sebagai SUV mewah dunia. Walaupun fizikalnya nampak lebih kurang sama sahaja dengan model sebelum ini, seolah-olah ditukar lampu depan dan belakang sahaja namun model itu dibangunkan daripada ‘ground up’ sempena dengan semangat inovatif dan rekabentuk ikonik generasi pertama yang menggegar industri automotif sewaktu ianya dilancarkan lebih dari 40 tahun lepas.

Range Rover baharu mencatat rekod apabila menjadi SUV pertama di dunia menggunakan badan monocoque daripada aluminium. Hasilnya, berat badan 39 peratus lebih ringan daripada badan besi pada model sebelum ini dengan angka yang sangat signifikan iaitu sebanyak 420kg. Platform aluminium yang ringan turut menyumbang kepada prestasi serta pemanduan yang lebih baik di samping penjimatan minyak dan emisi C02. Penggunaan aluminium tidak terhenti setakat badan sahaja malah rekaan casis depan dan belakang daripada aluminium turut dibangunkan bersama suspensi udara yang direkabentuk semula. Sementara keselesaan SUV itu dikekalkan, pengendalian dan kelincahannya pula bertambah baik hasil semakan semula sistem suspensi. Rekaan sistem suspensi itu menjadikan Range Rover lebih meyakinkan sewaktu melalui selekoh dengan rasa stereng yang lebih natural dan intuitif.

John Edwards, Pengarah Penjenamaan Global Land Rover berkata, “Range Rover baharu masih lagi mengekalkan karakter utama dan keunikannya iaitu gabungan di antara kemewahan, prestasi dan keupayaan untuk bergerak di pelbagai permukaan bumi. Dengan rekabentuk baharu dan penggunaan material yang ringan berjaya menjadikan model mewah itu lebih baik di dalam aspek keselesaan, perincian dan pengendalian.

Range Rover baharu mempunyai rekabentuk yang kemas dan elegan yang dicetuskan daripada interpretasi baharu identiti Range Rover. Sememangnya saling tak tumpah dengan model lama, Range Rover baharu merupakan evolusi kepada rekabentuk ikonik gaya bahasa model tersebut.

“Merekabentuk model gantian Range Rover selepas legasi kejayaan selama lebih dari 40 tahun adalah tanggung jawab yang besar bagi melindungi DNA ikon tersebut,” kata Gerry McGovern, Pengarah Rekaan dan Ketua Pegawai Kreatif Land Rover.

“Pasukan pereka bekerja keras untuk mendapatkan perkadaran (proportion) yang elegan dan permukaan asal yang merupakan elemen terbaik rekabentuk Range Rover.”

Range Rover baharu menggunakan teknologi Terrain Response® system terkini daripada Land Rover. Sistem itu mampu menganalisa keadaan pemanduan dan secara automatik memilih talaan yang bersesuaian untuk pemanduan di atas pelbagai permukaan bumi. Bagi memastikan kelasakan dan ketahanan, model baharu itu di uji pada permukaan jalan biasa dan off-road secara ekstrem. Proses pembangunannya diuji melebihi sejuta batu dengan masa lebih dari 18 bulan di lebih 20 buah negara dengan cuaca dan permukaan jalan yang ekstrem.

Di dalam kabin, Range Rover baharu menawarkan suasana dalam yang aman sebagai syarat untuk menjadi SUV mewah. Antara kaedahnya ialah struktur badan yang kuat dan lapisan akustik pada cermin depan dan cermin pintu yang berjaya mengurangkan tahap bunyi dari luar kenderaan. Sistem suspensi baharu pula membolehkan jurutera menghasilkan pemanduan yang lebih mewah daripada segi keselesaan dan perincian. Interior yang mewah diinspirasikan daripada gaya rekaan Range Rover terdahulu tetapi disegarkan oleh elemen kontemporari dengan permukaan yang kemas dan elegan dengan material kulit tdan kayu terbaik.

Sudah namanya SUV mewah, Range Rover perlu mempunyai kuasa yang berpadanan. Pelanggan diberi tiga opsyen enjin iaitu V8 petrol supercharge, TDV6 dan SDV8 diesel yang menggabungkan prestasi yang responsif dengan emisi C02 yang cemerlang.

Direkabentuk dan dijuruterakan di pusat pembangunan Land Rover di United Kingdom (UK), model itu bakal diproduksikan di kilang canggih yang baharu di Solihull, UK. Tempahan untuk pasaran di sana bermula pada September 2012 dan Range Rover ini merupakan produk global yang bakal menyaksikannya dijual di lebih 160 buah negara seluruh dunia.

Berkemungkinan tinggi, Malaysia adalah salah satu daripadanya.

Newspress

@muhd_gt

Klik Untuk Perkongsian Media Sosial //
  • Facebook
  • Add to favorites
  • PDF
  • RSS
  • Print

Muhammad Md Tajudin

3 Comments

  1. tadi gua nampak Evoque.. alamak.. setim betul tgk lampu depan dia menyala.. macam nak kenyit suruh beli..dia ingat gua ni tokeh balak agaknye

  2. Berpijak di bumi nyata…
    Dgn corak pendapatan sekarang ni… aku idam Prado cukuplah…

    Ada rezki lebih…. tu lain crita..

    Kenapa ramai org macam aku ni terlampau mementingkan aspek kos dr minat???

  3. sbb utk minat sesuatu kita tgk kos.. lainlaa kita tokeh balak or tokeh kedai bunga sg buloh selain minat membalak dan tanam bunga maka beli kete mahal ni apa laa sangat yer dak kehkeh

Kata Anda//