Ford B-MAX: MPV Kompak Dari Pengeluar Amerika Syarikat

Kemelesetan ekonomi global sebenarnya kejutan daripada tidur untuk beberapa pengeluar kereta. Bila menghadapi masalah, mereka sedar daripada lena dan mula bangun. Masa itu barulah eksekutif-eksekutif tinggi perasan yang strategi digunakan adalah salah dan merapu. Sindrom syok sendiri ini memang dipegang oleh firma-firma yang berjaya atau perasan mereka berada di landasan yang betul. Sudahnya bila sambutan pasaran merudum atau bakal pembeli beralih ke jenama lain dengan berbondong-bondong barulah strategi diubah. Ford sebagai syarikat pertama yang menghasilkan kereta dengan skala besar juga tidak dapat lari daripada masalah dan perhatikan contoh ini. Model Ranger adalah pembuka jalan kepada populariti kenderaan pikap di Malaysia, tidak pernah terfikir pada masa itu, pikap akan berjaya sebagai kenderaan dwi kegunaan sama ada untuk kerja atau famili. Tetapi Ford berjaya menerokainya dan dek kerana sambutan yang hangat, pengeluar-pengeluar lain mengeluarkan pikap masing-masing. Dilawan hebat oleh Mitsubishi Storm dan kini carta paling laris pikap dipegang oleh Toyota Hilux. Dalam pada waktu itu, entah kenapa Ford mengambil masa yang begitu lama untuk menghasilkan model pengganti. Mujur mereka sudah sedar dan terkini Ford bakal melancarkan Ranger serba baharu.

Fenomena Ford kini kembali lagi. Jika diperhatikan di jalan-jalan raya sudah banyak Ford Fiesta diselangi barisan-barisan jenama popular lain seperti Proton, Perodua, Toyota dan Honda. Bukan setakat itu, di kawasan rumah saya sendiri sudah mempunyai pusat jualan dan servis Ford dan ini indikator makmurnya bisnes Ford sekarang ini. Mereka telah berjaya mengeluarkan produk yang betul, untuk pasaran yang betul dan pada masa yang betul. Berbeza dengan pengeluar daripada Amerika Syarikat lain yang biasa dengan kereta-kereta besar dengan enjin V, Ford sudah biasa mengeluarkan kereta mengikut citarasa global yang mana itu adalah sifir tepat untuk terus kekal di dalam survival bisnes automotif. Terkini di United Kingdom Ford memperkenalkan B-MAX, sebuah MPV kompak dengan sesaran enjin 1.4 liter.

Dengan B-MAX, Ford kelihatan bangga dengan inovasi pintu gelongsornya yang unik. Pada sebelah sisi, B-MAX tidak mempunyai tiang tengah dan ini membolehkan ruang untuk akses penumpang yang lebih luas. Apa yang Ford buat ialah dengan menggabungkan struktur tiang tersebut pada pintu depan dan sisi berbanding binaan tradisional iaitu tiang pada badan kenderaan. Hasilnya bukaan ruang akses penumpang lebih besar iaitu 1.5 meter lebar. Keluasan tersebut membolehkan penumpang memasuki tempat duduk belakang dengan mudah dan juga senang untuk memuatkan dan menurunkan barang-barangan. Pintu gelongsor pada kedua-dua belah sisi juga sangat berguna di jalan yang sibuk dan ruang parkir yang sempit di mana penumpang tidak perlu menguak pintu dan paling menarik, pemandu dan penumpang hadapan boleh memasuki ruangnya tanpa perlu membuka pintu hadapan.

Selain daripada itu, B-MAX turut menawarkan penggunaan minyak yang efisien melalui ECOnetic Technology. Para pelanggan B-MAX mempunyai beberapa opsyen enjin antaranya enjin tiga silinder Ford EcoBoost. Enjin tersebut boleh didapati dengan dua kuasa output sama ada 100PS atau 120PS. Enjin petrol lain yang ditawarkan ialah 1.4 liter Duratec berkuasa 90PS dan 1.6 liter Duratec berkuasa 105PS. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi Powershift Ford enam kelajuan automatik dengan teknologi klac berkembar termaju. Buat mereka yang mahukan enjin diesel, Ford menawarkan dua versi enjin Duratorq TDCi. Versi pertama ialah 1.6 liter berkuasa 95PS manakala versi kedua pula ialah 1.5 liter berkuasa 75PS. Aneh bunyinya MPV kompak begini ditawarkan enjin diesel tetapi begitulah trendnya di Eropah, mereka lebih gemar enjin diesel dan pastinya ianya lebih menjimatkan dan bersih berbanding enjin diesel di pasaran tempatan. Teknologi enjin diesel dunia sebenarnya telah maju dan senario pasaran dan undang-undang tempatan tidak mempunyai warna sebenar senario itu.

Pakej ECOnetic Technology Ford pula didatangkan standard pada kesemua varian B-MAX. Antara peralatannya ialah stereng berkuasa elektrik (EPS) yang menggunakan kurang kuasa berbanding sistem hidraulik. Peralatan lain ialah Gear Shift Indicator yang memberi isyarat untuk menukar gear pada masa yang paling efisien dan sistem informasi pemandu iatu Ford Eco Mode yang dapat membantu pemandu untuk memandu dengan cara yang lebih ekonomikal. Selain daripada itu, B-MAX turut dilengkapi dengan Smart Regenerative Charging yang dapat mengecas semula bateri pada poin paling ekonomikal dalam kitaran operasi enjin.

Kesan kemelesatan ekonomi global bukan setakat mempengaruhi cara bisnes pengeluar automotif tetapi banyak juga memberi kesan kepada pengguna. Mereka kini tidak mewah berbelanja dan lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan wang. Kereta yang tidak efisien perlu digantikan dan caranya ialah dengan pengecilan (downsizing). Hendak tergelak pun ada apabila Ford yang asalnya daripada Amerika Syarikat yang mewah dengan minyak menfokuskan pada kereta kompak dan enjin kecil. Tetapi itulah hakikatnya, syarikat yang syok sendiri dan hanya fikir dirinya sendiri sahaja yang betul lebih cepat untuk bungkus, dalam erti kata lain, bankrap.

Newspress

-Md Uia-

Klik Untuk Perkongsian Media Sosial //
  • Facebook
  • Add to favorites
  • PDF
  • RSS
  • Print

Muhammad Md Tajudin

8 Comments

  1. Gua 1st….
    Mari kita sebut ramai2…
    EcoBoost…
    Berkuasa lg menjimatkan…

  2. wa first la plak..
    mcm mana mau intro ni….
    no idea la d pg yg sejuk ni…
    mcm best jer keta takda tiang tengah ni…

  3. nice MPV.. tested it last week when my aunt planning to book the Fiesta… i love the LED tail light.. thats all for now

  4. CM Punk…
    gua dah test drive Ford Fiesta maa…mmg mantap handling superb sbb dier ade Traction Control…gua siap layan corner sebelah tgn meter dah cecah 100 km/h tu…tapi sayang sbb saiz kecik rege mahal…langsung kensel

  5. cm punk
    ford ranger=mazda bt50
    chevy colorado=isuzu dmax

    under general motor ada lbih kurang 15 kompeni kete cam gmc,chevrolet,daewoo,opel,vauxhall,holden,suzuki,isuzu,subaru(yg murtad dari jepun dah kembali ke pangkal jln)doghe,dll…

    kesimpulan skrg ni..chevy kat malaysia cam cruze enjin opel,aveo enjin daewoo,optra lak suzuki apa tah gua xigt dh…mujur swift xmurtad jd chevy…haaa best kan jd chevy boleh rojak2…
    tp colorado gua pun akn beli coz enjin isuzu…isuzu pembuat enjin diesel terbaik dunia jo…

    tp ranger baru gua tgk pun mantap….

  6. gua penah pakai triton tp dh jual coz xbest dan punggung jatuh.skrg dh pakai navara.huhuhu…triton bru gua xtest drive lg…

Kata Anda//