Suzuki SX4, Kereta Penumpang Versatil

Suzuki SX4 2011.10

Crossover adalah kenderaan yang asing untuk pasaran tempatan. Hakikatnya kenderaan ini adalah versatil, dengan jarak kelegaan bumi yang selesa serta rekaan yang rugged ianya sesuai untuk pelbagai kegunaan, anda boleh memandunya ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, memunggah barang dapur dan kemudian pada hujung minggu keluar bandar meredah hutan kecil untuk memancing dan berkelah.

Baru-baru ini saya diberi peluang untuk memandu uji Suzuki SX4 selama 4 hari 3 malam dan untuk melengkapi ujian tersebut saya menjemput rakan-rakan sepenuh kereta ke luar bandar sebagai simulasi orang berkeluarga dan anak muda dengan gaya hidup aktif.

Suzuki SX4 2011.03

SX4 dibangunkan oleh Suzuki yang turut dijenama semula oleh Fiat sebagai Sedici. Akronim SX4 adalah ringkasan yang menarik, ianya merujuk kepada Sports X-over 4 All Seasons atau dengan sebaris ayat yang pendek ianya adalah kenderaan untuk semua keadaan. Jika diamati lama, SX4 mempunyai persamaan yang hampir dengan kereta paling popular Malaysia, Perodua Myvi dan model konsep Proton Emas. Kereta dengan bumbung tinggi, luas interior yang lega, butang kawalan ergonomik dan bonet belakang leper atau bonet hac. Signatur itu adalah milik Italdesign yang turut merekabentuk SX4.

Selesai urusan dokumentasi dengan Suzuki Malaysia di DRB Hicom, Glenmarie, saya ke Subang Jaya untuk mengambil rakan-rakan, habis brunch [breakfast & lunch] saya dan tiga rakan bertolak menuju ke Johor Bahru [JB].

Suzuki SX4 2011.11

Perasaan pertama sewaktu memandu terasa suspensinya lembut, untuk kereta sederhana tinggi kegunaan keluarga, karakter sebegitu boleh dimaafkan kerana suspensi yang keras dan melantun-lantun adalah perkara terakhir yang patut anda fikirkan apabila membawa penumpang. Walau bagaimanapun jurutera kereta ini faham yang sifat lembut tidak boleh diaplikasikan pada semua keadaan, saya tersenyum dengan respon stereng sewaktu mengambil selekoh, SX4 tidak gelabah serta tenang dan tepat ke arah mana dituju, bahagian belakang kereta tidak membuang manakala olengan pula tidak ekstrem sampai terasa nak terbalik.

Suzuki SX4 2011.21

Laluan yang sebelum ini di kawasan taman perumahan dan jalan raya kini terbuka luas, jalan di hadapan ialah lebuh raya dengan jarak lebih 300 km menuju ke Johor Bahru, kami ada tugasan untuk membuat liputan pusingan pembukaan Kejohanan Rali Asia Pasifik [APRC], SX4 adalah kereta yang bersesuaian dengan format tugasan kali ini di mana kami perlu berkejar bagi merakam gambar di kedudukan terbaik, meredah ladang kelapa sawit, melalui jalan kampung dan kemudian ke dalam bandar sementara menunggu para mekanik melakukan servis kereta-kereta pelumba.

Suzuki SX4 2011.08

Semasa memandu jauh, antara perkara yang saya suka ialah ialah kerusinya, selain dari fungsi standard seperti larasan ke depan, belakang, tegak dan baring, kerusi SX4 boleh direndahkan. Walaupun ciri tersebut bukan ilmu sains roket tetapi ia penting untuk mengimbangi ketinggian crossover ini, maknanya anda boleh duduk rendah dengan tangan pada stereng seterusnya membolehkan pemandu merasa yakin semasa mengambil selekoh dan juga pada kelajuan tinggi. Sama seperti kereta lumba yang mengeksploitasi graviti. Menariknya bumbung SX4 sudah cukup tinggi di mana kepala pemandu susah hendak terhantuk pada siling oleh itu kenapa perlu dilaras rendah? Dari situ boleh diandaikan bahawa jurutera dan pereka tahu apa yang mereka buat, pengendalian yang bagus dan kedudukan pemandu pelbagai tetapan membuktikan bahawa kereta ini mementingkan pemandu.

Suzuki SX4 2011.12

Di atas jalan raya dan lebuh raya prestasi kereta ini memuaskan hati dan selesa dipandu. Transmisi yang dipasangkan adalah automatik 4 kelajuan, saya sudah terbiasa dengan transmisi CVT yang mempunyai karakter berbeza, kuasa tarikan enjin SX4 agak terasa sewaktu mula memecut selepas pegun dan akan kembali normal selepas gear dialihkan oleh komputer dari satu seleksi ke satu seleksi. Keghairahan kotak gear juga berasa kasar apabila pedal minyak ditekan kuat sewaktu hendak memotong. Rasa CVT pula sangat kontra, pecutan selepas pegun agak perlahan dan kemudian kereta akan meluru pergi dan menyeronokkan untuk mereka yang sukakan pecutan tambahan pula gear digunakan pada kadar optimum dan ini mengurangkan penggunaan bahan api.

Suzuki SX4 2011.13

Walau bagaimanapun jangan salah faham, enjin 1.6 VVT SX4 tidaklah haus bahan api, statistik penggunaan minyak yang saya perolehi ialah 12.9 km untuk seliter dan 11.9 km untuk seliter petrol masing-masing dari Kuala Lumpur ke Johor dan berulang-alik dari bandar JB ke Kota Tinggi. Perahan pedal minyak yang ditekan hanyalah setakat kelajuan enjin [rpm] 3 ribu dan meter kelajuan pula menunjukkan bacaan 120 km/j, meter terasa ringan dan sukatan melalui GPS telefon bimbit saya pula menunjukkan kelajuannya adalah bersamaan 115 km/j. Selain dari itu, memandu pada rpm 3 ribu mampu menjimatkan minyak dengan gabungan kelajuan sederhana pada 110 km/j hingga 115 km/j, hasilnya tangki petrol tidak terlalu cepat kosong dan masih selamat di bawah radar kamera polis.

Suzuki SX4 2011.07

Sepanjang tiga hari di JB, format crossover teruji apabila saya dan rakan memandu di dalam ladang kelapa sawit, jalan yang dilalui berhamparan tanah merah dengan bonggolan serta lekuk-lekuk laluan air. Ketinggian lantai dan ketangkasan enjin SX4 benar-benar membantu, kereta ini berjaya meredah laluan tanpa sebarang masalah, saya yakin memandu dan menumpang di sebelah, tidak rasa terumbang-ambing yang kronik walaupun memecut dan sistem brek pula cekap membantu pemandu dalam mengemudi kereta ini. Cermin depan yang luas serta tinggi kereta banyak membantu untuk melihat jauh di hadapan kalau-kalau ada lopak besar dan haiwan melintas.  Penyaman udara juga tidak gagal menjalankan fungsinya pada cuaca panas terik, saya berasa nyaman dan begitu juga dengan penumpang yang tidak pernah mengadu tidak selesa.

Suzuki SX4 2011.20

Asyik menguji kereta ini saya banyak menghabiskan masa di tempat duduk pemandu dan penumpang depan, akibatnya saya terlepas peluang untuk jadi bos di belakang. Dua orang rakan di belakang nampak selesa, lena tidur dan ruang kaki juga tidak sempit di mana kaki boleh bergerak tanpa berlaga lutut dengan kerusi depan. Span kerusi yang sempat saya rasa tidak keras manakala sandaran belakang pula tidak tegak, ringkas cerita sekali duduk terasa keselesaannya. Hairannya sifir keselesaan penumpang bukan suatu yang sukar namun masih ada pengeluar kereta yang gagal dalam bab ini, masih ada kereta tidak kira harga murah atau mahal dengan kerusi keras, seolah-olah papan yang dibalut fabrik atau kulit.

Suzuki SX4 2011.18

Untuk sebuah crossover dengan objektif gaya hidup aktif, ruang mengisi barang adalah penting, interior SX4 tidak lemah untuk meletak botol air, cermin mata dan majalah kerana banyak poket kecil tersedia. Cuma ruang bonet belakang mudah penuh dengan barangan kami berempat, dengan gayaan hac begitulah sifatnya di mana anda harus berkorban dengan ruang. Yang melegakan ialah kerusi belakang adalah jenis boleh lipat 60:40, jika ada basikal dan kargo besar lipatkan sahaja kerusi untuk penggunaan ruang maksimum.

Suzuki SX4 2011.05

Selepas 4 hari bersama saya memulangkan kembali Suzuki SX4 dan saya atau anda boleh memiliki kereta ini dengan harga RM90 ribu. Selain dari diimport sepenuhnya dari Jepun, spesifikasi standard SX4 agak lengkap seperti dua beg udara depan, brek cakera di keempat-empat roda dengan ABS – EBD – BA, radio dengan keupayaan CD – MP3, 8 pembesar suara dengan suis kawalan di stereng, cermin sisi boleh lipat dengan lampu isyarat, roda aloi 16 inci dan penggera dengan immobilizer.

Dengan persekitaran harga kenderaan di Malaysia, nilai SX4 boleh dikatakan berbaloi sesuai dengan fungsi crossover, tambahan pula ini adalah kereta global yang turut dipasarkan di benua Asia, Amerika dan Eropah. Jika dibuat tinjauan pada tanda harga tersebut pesaingnya adalah kereta sedan, kurang versatil.

-Mak/d Uia-

Klik Untuk Perkongsian Media Sosial //
  • Facebook
  • Add to favorites
  • PDF
  • RSS
  • Print

Muhammad

27 Comments

  1. sx4 merupakan kereta ibu sy sejak 2thn lebih, kami berjaya membeli 1st 50 batch yg pertama masuk malaysia di waktu itu. overall tiada lansung masalah dan kualitinya bagus. namun sedikit upgrade telah di lakukan dgn tweaking sedikit ECU dan exzos nya utk performance yg lagi smooth dan better pickup, itu pun sudah begitu lazat ketika meredah dgn lajunya di jalan shortcut dari LPT ke terengganu.

    agak berbangga kerana model ini juga di rebadge sebagai model fiat sedici dan ia pernah menampilkan diri dlm rally global.

  2. Yang baju merah tu model mane plak tu mak? dah macam majalah mempelam aku tengok….

  3. Gua mcm nak beli la plak kete ni…Mak/d UIA pendapat anda buat saya?…model lelaki itu mcm pernah ku lihat tp dimana yaaa…??…hahaha

  4. Sdra Muhammad,

    Terimakasih atas a good write-up dan gambar-gambar tentang SX4.

    Baru saja mendapatkan Sx4 untuk kegunaan isteri ke pejabat.
    So far, ok, cuma agak ringan berbanding dengan kereta continental saya. Cuma berminat nak tahu dari riderXDesign bagaimana dia tweak ecu dan ekzos kereta tersebut. Adakah modifikasi tersebut menggangu warranty kereta tersebut.

    TQ

  5. keter cun…tapi tak nampak jantanlah pulak…kalau otai pompuan pakai memang cun…he..he

  6. Saidi
    Sama-sama, kalau tweak & kantoi memang waranti batal. Karakter kereta dengan ECU moden bergantung kepada gaya pemanduan, kalau jenis bersopan santun kereta pun akan jadi sopan, kalau agresif, kereta pun akan jadi agresif. Kalau nak set balik kena reset ECU semula.

    Caparzo
    Pendapat gua senang je, dengan RM90 ribu lu boleh beli kereta sedan tak pun SX4. Kereta sedan bonet besar tapi rendah, SX4 tinggi tapi bonet tak sebesar sedan.

  7. Mak/d UIA…mekasih…tgh fikir ni nak amik kete yg sesuai dgn femli & pendapatan gua…hehehe

  8. pakai myvi aje.. nnt gua tlg reset ECU lu org sampai laju mcm jazz ok? (jazz laju ker? ptui!)

    Jazz mmg laju..aku dah try test myvi aku dgn jazz member..aku bawak 160km/j,jazz potong selamba je..giler betull laju kete tu

  9. Hai..saya baru saja pergi booking kereta ni. Mulanya saya rasa macam nak ambik Ford Fiesta. Tapi rasa ruangan dalam mungkin kecil berbanding Sx4 sedangkan harga x banyak beza..Tak sabar rasanya nak drive kereta ni ke site…

  10. Tina, mcmana sx4? Da dapat x?

    Saudara Muhammad, sy dlm dilema nk beli swift atau sx4. Sedap bawak yg mana?

  11. Elle…kalo gua mgkn amik SX4 la kot…kalo nak kire sedap bawak Swift la kot…terpulang pada citarasa & budget anda

  12. @Elle

    Tunggu Honda Jazz Hybrid. Kemudian baru buat keputusan. Swift yang ada sekarang pula bakal digantikan dengan model baru, tapi tak tau bila nak lancar.

  13. Saya dah pakai Sx4 Sedan 3 tahun, memang puas hati. Bonet belakang luas. Cuma pick up tu kureng sikit. Kat mana bleh reset ECU tu ek? workshop biasa bleh ke? Skg model Sx4 Sedan dah tak ada dah..

  14. hai smua, sye dh 3thn gna sx4. Laju tu tklh brp. Koman2 pn dpt bedal 180km/j jer, tp baru2 ni, sye ade lak dgr masaalah keta ni. Dier punya motor fan a/c boleh jEm. Myk puas hati beb. Stkt ni sye dh try. 1ltr = 2.80km. Corner klw brani, tekan lagi. Hehehe.

  15. Kenapa ada yg mencarut nih????
    Mcm 2 personaliti yg aku kenal… Azmin Azram (x-Goal Keeper) & Pak Nil…

    Tapi apa kena mengena bangsa & mencarut?????

  16. sy dah guna kereta ni 4 thn. Sy suka dgn designnya yg comel. Tp satu je masalah yg sy x suka iaitu bila bw di jln yg beralun mesti org kat dlmnya melantun-lantun. Macamana nak buat ya?

  17. kat overseas ada sx4 model turbo..aku pnah tengok mamat singapore naik sx4 version turbo..memang cun ganaz..try google sx4.

Kata Anda//