MRSC Pusingan 2: Rali Jalanan!
Kejohanan rali dunia atau Eropah biasanya dianjurkan di atas permukaan asfal, berbeza dengan rali tempatan yang terkenal dengan trek kelapa sawit. Kelaziman tersebut bakal berubah semasa pusingan kedua Kejohanan Rali Sprint KBS Pennzoil MAM (MRSC) pada 2 dan 3 Oktober ini yang akan dilangsungkan di Taman Sukan Permotoran MAEPS, Serdang dan Litar Antarabangsa Sepang [SIC].
“Kami betul-betul ingin mendekatkan sukan rali kepada masyarakat, selain dari lokasi yang mesra penonton dan bajet yang rendah untuk peserta kami bawakan aksi mendebarkan rali ke atas jalan raya seperti kejohanan dunia dan Eropah, ini adalah pengalaman baru untuk penonton lokal!,” kata Gunaseelan Rajoo,” Pengarah Acara MRSC.
Rali yang dianjurkan ini adalah pusingan kedua gantian yang sepatutnya dilangsungkan pada 31 Julai dan 1 Ogos lepas. Rali tersebut terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir apabila pihak pengurusan MAEPS menerima kunjungan delegasi dari Eropah.
“Saya menerima banyak panggilan dari peserta selepas pusingan kedua dibatalkan, mereka hampa dan ternanti-nanti bilakah pusingan gantian akan dianjurkan dan selepas mendapat pengesahan dari pelbagai pihak saya gembira kerana akhirnya pusingan kedua ini bakal menjadi realiti,” kata Gunaseelan.
Dijangka lebih dari 30 pasukan akan bertanding dalam rali 11 pusingan pada hujung minggu ini dengan pasukan profail tinggi seperti GSR Pennzoil Racing Team dan Felda Rally Team. Pemandu tersohor negara, Sutan Mustaffa Salihin akan membuat penampilan semula setelah lama tidak berlumba rali dan akan memandu Subaru Impreza 4WD Turbo. Menyahut cabaran pelumba senior ialah Mohd Sallehudin dengan Proton Satria 4WD Turbo, Ang Meng Yee dengan satu-satunya Honda Civic Vtec dan barisan pemandu dari PRRC Rally Team.
Selain dari pasukan dan pemandu ternama, pusingan kedua ini juga akan disertai Pasukan Rali 1Belia 1Malaysia (1B1M RT) yang terdiri daripada sepuluh pasangan pemandu dan pemandu arah dengan misi mempertahankan trofi pasukan terbaik yang dimenangi pada pusingan pertama. Pasukan ini ditaja oleh UMW Pennzoil Sdn.Bhd. dan disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Pemandu dan pemandu arah muda 1B1M RT akan menjadikan pelumba dan pasukan senior sebagai penanda aras, saya gembira kedua-dua generasi rali bersaing dalam pertandingan yang sama dan ini adalah strategi serampang dua mata kami untuk melahirkan pelapis sukan rali masa depan,” kata Gunaseelan.
Kejohanan ini diperakui oleh Persatuan Sukan Permotoran Malaysia [MAM], ditaja oleh UMW Pennzoil Sdn. Bhd. dengan rakan sokongan seperti IBIL, One Communications, Cusco Malaysia dan penyedia lokasi, KartQuest Corporation Sdn. Bhd. [MAEPS] dan SIC.
Pelepasan bendera akan dilakukan oleh Exco Pemuda Umno, Mohd Hishamuddin Yahaya, pada Sabtu, 2 Oktober pukul 4.30 petang di MAEPS dan kemudian diikuti oleh empat pusingan perlumbaan. Hari kedua perlumbaan akan dimulakan pada pukul 11.30 pagi dengan tujuh pusingan di SIC.
Untuk maklumat lanjut mengenai kejohanan, layari: http://www.mrsc.com.my
Foto: Pusingan 1 MRSC
-Mak Uia-
Popularity: 11% [?]
Related posts:









hmm..xdak org komen, ni msti sume pakat p tngok mrsc…