PROTON TAWARKAN PEMERIKSAAN KESELAMATAN PERCUMA SEMPENA AIDILFITRI 

Selari dengan tradisi sambutan perayaan Hari Raya, PROTON Holdings Bhd sekali lagi menyediakan pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma kepada pelanggan-pelanggannya di stesen-stesen PETRONAS yang terpilih.

Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan PETRONAS bersempena kempen PETRONAS “Coffee Break”.

Pemeriksaan keselamatan percuma ini sah dari 2 hingga 4 Julai 2016, dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Selaras dengan kempen PETRONAS “Coffee Break” yang telah diperluaskan ke lebih banyak stesen-stesen PETRONAS, wakil-wakil PROTON akan ditempatkan di 10 stesen yang berbeza di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang dan Kelantan.

“Pada 2015, kami hanya berada di 5 buah Stesen PETRONAS untuk inisiatif kesedaran keselamatan oleh PROTON dan disebabkan peningkatan kadar kesedaran di kalangan pemilik Proton, kami berupaya untuk menambahkan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan ini ke 7 buah Stesen PETRONAS semasa musim perayaan Tahun Baru Cina Februari lalu.

Kami bersyukur di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kerana PETRONAS kini mengembangkan capaian kami kepada 10 buah Stesen PETRONAS untuk musim perayaan ini, supaya kami dapat menyediakan pemeriksaan keselamatan percuma kepada lebih ramai orang, terutama mereka yang menggunakan lebuh raya utama untuk perjalanan pulang ke kampung.

Malah, kepada mereka yang bukan dalam perjalanan ke kampung juga boleh mengambil kesempatan untuk membuat pemeriksaan segera bagi memastikan kereta Proton mereka berada dalam keadaan yang baik,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Pemeriksaan keselamatan 20 mata ini termasuk pemeriksaan ke atas sistem brek, suspensi, tayar, bateri, bilah pengelap cermin, tali sawat, lampu dan paras cecair seperti minyak enjin, bendalir brek, bahan pendingin dan pencuci bilah. Bagi memeriahkan lagi sambutan ini, pemilik Proton juga akan dibekalkan dengan beg cenderahati yang diisi kuih-muih dan air mineral sebagai tanda penghargaan di atas sokongan yang diberikan.

Pelanggan boleh singgah di pusat-pusat yang terletak di Stesen PETRONAS, seperti di bawah:

Kawasan Pusat Bandar

– Stesen PETRONAS NKVE Subang, Selangor

– Stesen PETRONAS Penchala Link, Selangor (arah Damansara)

Kawasan Utara

– Stesen PETRONAS Taman Nilam Sari, Sungai Petani, Kedah

– Stesen PETRONAS Bandar Anak Bukit, Alor Setar, Kedah

– Stesen PETRONAS Tok Kangar, Juru, Penang

Kawasan Selatan

– Stesen PETRONAS Air Keroh 3, Peringgit, Melaka

– Stesen PETRONAS Bakri 2, Muar, Johor

Kawasan Pantai Timur

– Stesen PETRONAS Bentong R & R, Bentong, Pahang

– Stesen PETRONAS Gambang Arah Timur, Kuantan, Pahang

– Stesen PETRONAS Taman Guchil Jaya, Kuala Krai, Kelantan

Kempen ini adalah sebahagian daripada kempen keselamatan berterusan di seluruh negara di mana pemilik Proton boleh membawa kereta mereka ke mana-mana pusat servis PROTON untuk pemeriksaan keselamatan percuma.

PROTON percaya kempen keselamatan ini mampu membantu untuk mewujudkan kesedaran kepada pelanggan dan pengguna jalan raya terhadap kepentingan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan, dan menyediakan peluang untuk mendidik dan meningkatkan keselamatan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi Talian Khidmat Pelanggan kami di 1800 888 398 atau emel customercare@proton.com

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.